/Aura Lee Seung Gi tak pernah gagal buat peminat terpaku dan jatuh cinta berkali-kali sepanjang ‘Vagabond Voyage’ di Kuala Lumpur

Aura Lee Seung Gi tak pernah gagal buat peminat terpaku dan jatuh cinta berkali-kali sepanjang ‘Vagabond Voyage’ di Kuala Lumpur

Lee Seung Gi akhirnya menjejakkan kaki ke Malaysia selepas tujuh tahun. Namun, impak penampilannya tidak pernah kurang bahkan semakin mendapat perhatian ramai peminat di Malaysia. Jika tidak masakan Airen (kelab peminat Lee Seung Gi) Malaysia tidak sabar-sabar untuk bersemuka secara langsung dengan artis kegemaran mereka.

Bertempat di Menara PGRM pada 30 November, telah berlangsung 2019 Lee Seung Gi Asia Fan Meeting ‘Vagabond Voyage’ di Kuala Lumpur yang di bawakan oleh IMC Live Global. Seramai lebih kurang 1,800 orang peminat telah menghadiri fan meeting tersebut. Tidak hanya dihadiri oleh peminat tempatan, bahkan turut dihadiri oleh peminat dari luar seperti Jepun, Taiwan, Korea, Filipina, Thailand dan Indonesia. Jarak destinasi sedikit pun tidak menghalang mereka untuk memberikan sokongan kepada kepada Lee Seung Gi. Selain itu, Malaysia merupakan destinasi terakhir bagi siri jelajah fan meeting Lee Seung Gi ini. Mungkin mereka tidak mahu melepaskan peluang untuk turut serta memeriahkan perjalanan aktiviti ini.

Di luar perkarangan dewan, terdapat beberapa booth jualan yang menjual barangan rasmi Lee Seung Gi, dan minuman ‘buble tea’ Gong Cha di mana Lee Seung Gi adalah dutanya yang baru. Semestinya ruangan bergambar sebagai kenang-kenangan buat peminat juga disediakan oleh penganjur. Kelihatan juga beberapa jambangan bunga yang dikirimkan oleh kelab peminat Lee Seung Gi dari beberapa negara sebagai tanda sokongan dan kasih sayang terhadap fan meeting ini.

Sewaktu menantikan masa untuk memasuki dewan, kedengaran Lee Seung Gi sedang melakukan rehersal. Kebetulan ketika pengawal membuka sebentar pintu masuk itu, penulis dapat melihat Lee Seung Gi yang mengenakan t-shirt berwarna hijau sedang menyanyikan lagu untuk sesi sound check.

Lebih kurang jam 7 malam, lampu di dalam dewan ditutup dan peminat mula menyorak nama Lee Seung Gi. Tidak lama selepas itu lampu dewan berkelipan meriah menyorot ke dewan pentas dan penyanyi, pelakon, pengacara itu keluar dengan menyanyikan lagu berentak balada “Because You’re My Woman”. Suara Lee Seung Gi berkumandang dalam dewan PGRM sekaligus buat peminat tak lepas peluang untuk menikmati persembahannya yang penuh penghayatan.

Owen Yap bertindak sebagai pengacara majlis kemudian muncul di atas pentas bagi memulakan acara. Saat sesi mukadimah ringkas oleh Lee Seung Gi, dewan jadi gamat dengan keterujaan peminat dapat bertentang mata lagi dengan pujaan mereka. MC kemudian bertanyakan kepada Lee Seung Gi, apakah dia masih mengingati kenangan pada tahun 2012 ketika kali pertama dia mengunjungi Malaysia. Lee Seung Gi kemudian menjawab, ” Ya, saya masih mengingatinya. Peminat di Malaysia sentiasa memberikan aura yang sangat bertenaga dan sokongan yang mereka berikan memang tidak ternilai”. Lalu MC bertanyakan pula pada penonton, siapa yang pernah menyertai fan meeting pertama Lee Seung Gi dan apakah figura itu masih sama atau semakin bertambah kacak? Penonton kebanyakkannya pernah hadir dan menyatakan bahawa Lee Seung Gi kini bertambah kacak dan lebih charming.

MC  Owen : Boleh kongsi apa maksud ‘Vagabond Voyage’ ini dengan kami?

Lee Seung Gi (LSG) : Nama ‘Vagabond’ itu diambil dari drama terbaru yang saya lakonkan, manakala  perkataan ‘Voyage’ juga boleh memberi maksud pengembaraan. Oleh itu, fan meeting ini bermaksud satu pengembaraan untuk menemui para peminat.

Acara fan meeting Lee Seung Gi dibahagikan kepada tiga segmen iaitu, “Big Data: Update Talk”, “Variety Talk: Entertainer Corner” dan “Date With Lee Seung Gi.”

Segmen pertama : “Big Data: Update Talk”

Untuk segmen pertama, terdapat tiga kata kunci yang mewakili aktiviti yang telah Lee Seung Gi lakukan sejak dia menamatkan khidmat tenteranya, iaitu Fan-meeting, Variety dan “Vagabond”. Tatkala kata kunci pertama didedahkan, terpapar di skrin sorotan fan meeting Lee Seung Gi yang terdahulu dan apa yang pasti pujaan ramai ini senantiasa cuba membuatkan peminat sentiasa gembira bersamanya.

MC Owen : Apa perbezaan yang boleh anda rasa dari segi penerimaan peminat sepanjang siri jelajah fan meeting ini?

LSG : Kesemuanya menunjukkan reaksi yang bersemangat namun dalam cara yang berbeza. Peminat di Malaysia ni memang sangat bersemangat. Saya dapat rasakan aura yang kuat.

Maka peminat di Malaysia bersorak gembira sambil mengiyakan fakta dari Lee Seung Gi. Peminat Malaysia sentiasa berikan sokongan yang padu pada artis kegemaran mereka.

Beralih kepada kata kunci yang kedua, “Variety” sambil diskrin memaparkan sorotan penglibatan Lee Seung Gi dalam rancangan variety. Sepanjang lebih kurang dua tahun ini, Lee Seung Gi telah menyertai rancangan SBS “All The Butlers” atau dikenali juga di Malaysia “Master in the House”, SBS “Little Forest” dan yang terkini Netflix “Busted Season 2.” Ini membuatkan Lee Seung Gi memberitahu bahawa dia agak sibuk untuk tempoh dua tahun ini. Seperti biasa, MC sempat bertanya tentang penglibatan Lee Seung Gi dalam rancangan variety.

MC Owen : Apa pengalaman yang kamu dapat apabila buat rakaman dengan penglibatan kanak-kanak dalam “Little Forest”?

LSG : Sangat seronok sebenarnya bekerja dengan kanan-kanak. Apa yang memenatkan, bila mereka taknak masuk tidur.

MC Owen  : Macam mana pula dengan rancangan “Busted” Musim Kedua ni?

LSG : Saya rasa rancangan ini agak berbeza (daripada segala rancangan variety yang pernah disertainya) kerana saya dapat tunjukkan sisi berbeza saya kepada penonton.

MC Owen : Siapa antara ahli rancangan “Busted” musim kedua yang kamu rapat dan ada  keserasian eh?

LSG : Erm, Sehun (EXO) [dan disambut sorakan kuat dari penonton di bawah yang mungkin juga peminat EXO]. Saya rasa boleh masuk dengan dia dan kami dapat berkomunikasi dengan baik. Dah jadi agak rapat sejak menyertai rancangan tu.

Terpapar di skrin kata kunci yang ketiga iaitu “Vagabond” dan sekeping gambar Lee Seungi bersama PD dan Suzy.

MC Owen : Yang ditengah-tengah tu, adakah dia kekasih Suzy?

LSG : Bukanlah. Itu pengarah drama tersebut, Yoo In Shik.

MC Owen : Itulah saya rasa pelik. Takkan kekasih Suzy yang cantik tu kan (dalam nada berjenaka)

Sorotan drama “Vagabond” yang memaparkan adengan Lee Seung Gi dan Suzy dipaparkan diskrin. Lee Seung Gi kelihatan malu-malu pabila ianya sedang ditayangkan. Penonton pula menyorak keterujaan melihat aksi mesra mereka. Adengan aksi yang dilakukan sendiri oleh Lee Seung Gi turut dipaparkan. MC turut memuji kerja keras yang ditunjukkan oleh pelakon “My Gilfriend is a Gumiho” itu dan bertanyakan soalan yang penulis kira, soalan cepumas.

MC Owen : Antara adengan aksi dan romantik, mana yang lebih mudah untuk dilakonkan?

LSG : Saya rasa aksi romantik (peminat tunjukkan reaksi yang seolah-olah Lee Seung Gi dan Suzy memang pasangan yang serasi)

Sejurus selepas itu segmen pertama tamat dan segmen kedua dimulakan.

Segmen kedua : “Variety Talk: Entertainment Corner”

Dalam segmen ini, skrin memaparkan sorotan aksi Lee Seung Gi dalam rancangan variety “Master in the House” dan “Little Forest”. Pelbagai aksi dan ragam memikat hati telah ditunjukkan Lee Seung Gi dalam rancangan tersebut. Para peminat rancangan itu turut bersorak tatkala melihat sedutan aksi-aksi yang menghiburkan. Terpapar juga sedutan video di mana Lee Seung Gi diumumkan sebagai penerima hadiah utama “Daesang” di SBS Entertainment Awards 2018 menerusi rancangan “Master in the House”.

LSG : Wah, melihatkan sedutan video itu, saya rupanya dah lakukan pelbagai aksi.

Saat ditayangkan aksinya menjaringkan bola digelanggang bola keranjang dengan begitu bersahaja namun riak wajahnya nampak terkejut dalam rancangan “Master in the House”, MC telah mempersiapkan tiang gol untuk meminta Lee Seung Gi menjaringkan bola seperti dalam video tersebut.

Lee Seung Gi kemudian menyahut cabaran itu dan turut berkata setiap bola yang berjaya dijaringkan ada upahnya kepada peminat. Dia kemudian mempamerkan aksinya di atas pentas dan setiap kali bola berjaya dijaringkan atau tidak mendapat reaksi dari penonton seolah-olah mereka yang sedang melakukan aksi tersebut. Akhirnya lima orang peminat bertuah berjaya memenangi sekeping poster yang telah ditandatangani Lee Seung Gi.

MC Owen memberikan sedikit masa rehat buat Lee Seung Gi untuk menukar pakaiannya sebelum segmen ketiga dimulakan. Peminat menyorak nama Lee Seung Gi sebelum pujaan ramai itu tampil kembali ke atas pentas dengan pakaian berwarna putih.

Segmen ketiga : “Date With Lee Seung Gi”

Rasanya segmen ini paling dinantikan oleh penonton. Mana tahu, ada rezeki dapatlah bertemu depan-depan pelakon “Vagabond” itu di atas pentas. Untuk makluman anda, menerusi rancangan 1 day 2 nights, Lee Seung Gi memperlihatkan aksinya yang suka memasak. Disebabkan itu, untuk segmen “Date With Lee Seung Gi” Lee Seung Gi ingin menyajikan makanan Malaysia untuk peminatnya yang bertuah. Dia memilih untuk menyediakan popia basah. Sewaktu dalam proses penyediaan, Lee Seung Gi telah memasukkan dua keping cheddar cheese ke dalam kuali dan ini membuatkan dewan menjadi riuh. Ramai memberitahu, “Oppa, kenapa masukkan keju dalam kuali, nanti melekat.” ” Oppa, salah tu, letakkan terus dalam popia tu.”. Namun apa yang mengejutkan, tujuan dia meletakkan cheese sedemikian rupa untuk membuatkan cheese itu sedikit cair dan nampak ‘melting’. Hebatkan oppa!

Peminat dari Taiwan telah terpilih untuk merasai popia hasil air tangan Lee Seung Gi. Rata-rata sedikit kecewa kerana tidak terpilih untuk merasai popia itu apatah lagi apabila peminat bertuah itu disuap sepotong popia oleh Lee Seung Gi. Dia juga sempat bercanda agar peminat itu tidak akan apa-apa selepas memakan popia itu. MC Owen juga menyambung sambil berkata, “Saya rasa mungkin dia tidak sanggup nak makan dan akan simpan je popia tu.”

Selepas aksi suap popia, penonton dibahagikan kepada dua kumpulan di mana sebelah kanan adalah kumpulan A dan di kiri kumpulan B. Tujuh peminat dari setiap kumpulan dipilih untuk sesi permainan meniru gaya yang dipaparkan diskrin. Mana-mana pemain yang gayanya sama seperti Lee Seung Gi dan gambar diskrin dikira pemenang, manakala yang kalah akan tersingkir. Nampaknya kumpulan A memenangi permainan tersebut dan setiap mereka menerima hadiah saguhati daripada Lee Seung Gi.

Namun apa yang membuatkan penulis begitu mengkagumi Lee Seung Gi turun dari pentas dan bertemu peminatnya serta peluang bergambar dengan mereka. Penulis dapat rasakan Lee Seung Gi memang menghargai peminat dan ingin sentiasa mendekati mereka yang telah menyokongnya selama ini. Ramai peminat ambil peluang untuk bergambar dengan Lee Seung Gi. Maklumlah, bukan selalu kan.

Apabila MC Owen mengumumkan bahawa acara kini berada dipenghujungnya, peminat seolah-olah tidak percaya masa berjalan begitu pantas. Seakan mengetahui perasaan peminat, MC memberitahu Lee Seung Gi pada hari dia perlu kembali ke Dewan Wawasan PGRM untuk fan meeting kali kedua. Sedang pelontar lagu “Losing My Mind” bersiap sedia untuk sesi bergambar bersama seluruh hadirin, lampu dewan digelapkan. Terpapar diskrin sebuah video yang dihasilkan peminat khas untuknya dengan memuatkan pelbagai aksi dirinya termasuk ketika dia menamatkan perkhidmatan tenteranya. Penulis dapat rasanya Lee Seung Gi sedikit terharu menonton video tersebut dan dalam masa yang sama dirinya tidak henti mendapat kasih sayang daripada peminat. Peminat menyalakan light stick masing-masing sebagai tanda sokongan.

LSG : Ini benar-benar memberikan saya kekuatan untuk menjadi lebih bahagia pada hari-hari yang akan datang untuk bersama-sama dengan AIREN. Saya akan bekerja lebih keras dari sekarang. Ini janji saya!

Terdahulu, Lee Seung Gi ada menyatakan bahawa drama “Vagabond” berkemungkinan akan ada sambungannya. Bagaimanapun, tidak keputusan yang muktammat mengenainya. Dia juga sempat berpesan kepada peminat agar menunjukkan minat yang mendalam terhadap “Vagabond” musim kedua jika ada. Lee Seung Gi juga turut menyertai satu  rancangan baru berbentuk pengambaran bersama Jasper Liu yang akan mengembara dibeberapa destinasi. MC memberitahu Lee Seung Gi agar pengambaran rancangan itu diadakan di Malaysia dan penonton bersorak tanpa menyokong kenyataan MC. Lee Seung Gi juga sempat bertanya samada dia boleh kembali ke Malaysa tanpa terikat dengan apa-apa aktiviti (saja-saja bercuti), lalu peminat seraya menjawab, datanglah pada bila-bila, kami sentiasa menanti kehadiran anda.

Dia juga sempat berkongsi perancangan muziknya dan memberitahu untuk kembali merakamkan lagu serta menghasilkan album pada masa yang akan datang.

LSG : Saya ingin berkongsi cerita bersama peminat saya. Harap anda dapat berikan sokongan.

Lee Seung Gi menyampaikan lagu “Return” dan “Delete” dengan penuh penghayatan kerana keduanya lagu berentak balada. Kemampuan vokalnya juga boleh diberikan pujian kerana berjaya mencapai note tinggi dengan baik. Penonton menyalakan light stick dan lampu ditelefon bimbit serta digerakkan mengikut irama lagu tersebut. Ada diantaranya turut sama menyanyikan lagu-lagu itu.

Fan meeting bersama Lee Seung Gi diakhiri dengan 2 lagu berentak rancak iaitu “Smile Boy” dan “Let’s Go On A Vacation.” Dia juga turut meminta penonton untuk turut sama menyanyi. Ramai penonton kemudian bangun, bergerak mengikut muzik dan turut sama-sama menyanyi. Berakhirnya dua lagu tersebut, maka tamatlah fan meeting bersama Lee Seung Gi. Benar, masa berlalu sangat pantas dan penulis juga mengharapkan agar masa dapat ditambah lagi atau diadakan lagi pada esok hari. Apapun, semua faham akan tuntutan kerja Lee Seung Gi. Terima kasih Lee Seung Gi kerana menghiburkan kami, dan bersama mencipta kenangan manis ini. Semga bertemu lagi di lain masa.

Buat pihak penganjur IMC Live Global, terima kasih kerana memberikan peluang berharga ini kepada KMania. Terima kasih kerana telah menganjurkan acara ini dengan jayanya. Semoga kita juga dipertemukan lagi dalam acara-acara kelolaan penganjur di masa hadapan.

Komentar

comments

loading...