/Han byul kekal pemegang takhta “Kmania Top Star” untuk bulan Oktober 2019

Han byul kekal pemegang takhta “Kmania Top Star” untuk bulan Oktober 2019

Hanbyul, membuktikan popularitinya yang meledak naik dengan begitu pantas sekali di Malaysia bukan boleh dipandang ringan apabila bukan saja diangkat sebagai pemegang takhta Kmania Top Star bagi bulan Ogos 2019, bahkan kekal menerajuinya untuk dua bulan berturut-turut. Hanbyul memperolehi undian sebanyak 239, meninggalkan jauh pesaingnya ke belakang dengan 129 undian ke depan.

Baca lagi : Hanbyul, penyanyi Kpop pertama jadi juara pertandingan nyanyian terbesar di Malaysia

Hanbyul atau nama sebenarnya, Jang Hanbyul, menempa nama sebagai vokalis, LedApple, kumpulan kugiran yang pernah aktif di Korea sekian lama dahulu. Namun, kekangan serta berbagai-bagai onak duri yang terpaksa ditempuhinya sepanjang berada di Korea telah membuatkan beliau mengambil keputusan untuk mengundur diri lantas menyertai program nyanyian terbitan Astro, Big Stage beberapa tahun kemudian, menyebabkan namanya tiba-tiba popular di rantau Malaysia sejak sebulan yang lepas. Puncanya datang daripada persembahan cover lagu nyanyian Nabila Razali yang begitu memukau di atas pentas pada minggu ke-2 rancangan itu sehingga mencetuskan fenomena ‘Hanbyul’ berpanjangan yang rata-ratanya memuji kefasihannya melontarkan longat bahasa Melayu di samping tarian lincahnya yang menggegarkan pentas. Dari minggu ke minggu, Hanbyul gigih membuat persembahan memikat perhatian penonton dan juri, dan akhirnya bergelar juara bukan warga kelahiran tempatan pertama yang  memenangi pertandingan nyanyian terbesar di Malaysia. Bagaimanapun, kehilangan beliau sementara daripada arus industri muzik Malaysia sepanjang bulan November ini seakan-akan menyebabkan namanya semakin kurang diperkatakan. Semoga beliau terus gigih mempromosikan karya nyanyiannya di Malaysia selepas ini.

Kang Ha Neul yang meraih undian sebanyak 110 sekadar berpuas hati di kedudukan ke-2 saja . Kang Ha Neul mengenepikan pemegang tempat kedua sebelum ini, Kang Daniel yang tercicir terus daripada carta Kmania Top 10 Stars untuk bulan Oktober ini apabila meraih undian yang sangat rendah. Apapun, barangkali penangan drama KBS When The Camellia Blooms di samping Gong Hyo Jin telah menaikkan populariti Kang Ha Neul secara tiba-tiba memastikan beliau berada di dalam di kedudukan terbaik sambil dibantu dengan populariti KBS When the Camellia Blooms yang telah pun berjaya merekod rating tertinggi dengan 23.8% dicapainya.

Baca lagi: Kang Haneul nyanyi serangkap lagu perpisahan ‘Stairway To Heaven’ buat Son Dambi

Seperti menepati ramalan, pelakon kacak yang semakin digilainya ramai di atas lakonannya di dalam drama MBC Extraordinary You, Ro Woon SF9 berada di tempat ke-3. Rowoon bukan hanya berjaya mencuri tumpuan ramai kerana penampilannya yang menarik serta memiliki fizikal yang tinggi bahkan dia menjadi tumpuan kerana kemampuan lakonannya yang serba boleh. Pertama, Rowoon yang membawa watak Ha Roo digambarkan seorang yang naif dan pendiam, tidak dikenali dan tidak dipedulikan. Kemudian, Rowoon menampilkan watak Ha Roo bertukar menjadi seorang yang dingin, dan melupakan semua kenanangannya tentang Eun Dan Oh dan setia kepada Baek Kyung (Lee Jae Wook). Hasilnya, peminat kdrama tak dapat melupakan visual lakonannya yang ditunjukkannya walaupun drama telah pun habis bersiaran.

Baca lagi: Rowoon buktikan bahawa dirinya pelakon serba boleh menerusi wataknya dalam “Extra-Ordinary You”

Kita beralih pada posisi nombor keempat, kelima dan keenam pula, yang mana masing-masing diisi oleh Lee Seung Gi, Kim Hye Yoon dan Bae Suzy.  Lee Seung Gi dan Bae Suzy merupakan pasangan pelakon drama aksi bercirikan risikan SBS Vagabond, manakala Kim Hye Yoon pula ialah pasangan cinta Ro Woon di dalam MBC Extraordinary You. “Vagabond” mendapat maklumbalas yang positif selain menerima pujian cemerlang untuk adegan aksi sinematik yang terperinci, berkualiti tinggi dan professional selain secara konsisten meraih ‘ratings’ yang sangat baik melebihi dua digit, telah melonjakkan nama kedua-dua Lee Seung Gi dan Bae Suzy dalam kalangan rakyat Malaysia. Malah, kehadiran Lee Seung Gi ke Malaysia buat pertama kali pada 30 November ini yang dinanti-nantikan sejak sekian lama menambahkan lagi kehangatan tersebut.

Baca lagi: Menuju episode terakhir, “Vagabond” tetap jadi pilihan No.1

Kim Hyang Gi tetap memastikan dirinya berada di dalam kelompok sepuluh selebriti Korea paling popular di Malaysia untuk bulan Oktober ini apabila berada pada posisi no.7 minggu ini, menurun sikit daripada kedudukan no.4 pada minggu ini. Malah, seperti juga Hanbyul, nama Kim Hyang Gi mulai tenggelam untuk diperkatakan sepanjang bulan November ini selepas lebih dua bulan drama Moment of Eighteen habis bersiaran.

Di tempat ke-8 pula telah diisi oleh Byun Baekhyun yang semakin galak menyebarkan pengaruhnya menerusi kumpulan Super M yang diterajuinya dan sebagai anggota tetap EXO yang telah pun membuat kemunculan semula dengan album ‘Obsession’. Baekhyun memastikan rekod pemegang album solo terlaris sepanjang zaman tak disia-siakan olehnya, malah tetap membiarkan dirinya menjadi rebutan gadis-gadis yang mungkin tak tahan lagi melihat kelibatnya beraksi di atas pentas. EXO juga dijangka akan menggegarkan Malaysia lagi dua minggu saja lagi.

Baca lagi: Demi EXO-L, akhirnya EXO akan kembali menggegarkan Malaysia Disember ini!

Di tangga kesembilan dan kesepuluh masing-masing diraih oleh Jang Dong Yoon dan Lee Jae Wook. Lakonan ‘wanita jadian’ Jang Dong Yoon di dalam KBS Tale of Nokdu telah mendapat perhatian rakyat Malaysia yang rata-ratanya terpesona dengan ‘keayuan’ dimiliki oleh pelakon tersebut mengatasi penampilan selebriti-selebriti daripada kalangan kaum hawa. Jang Dong Yoon dijangka akan mengadakan pertemuan bersama peminat di beberapa negara di Asia, dan bakal mengunjungi Malaysia sekali lagi sekiranya Malaysia dimasukkan ke dalam senarai. Manakala, Lee Jae Wook yang dikenali atas lakonannya di dalam MBC Extraordinary sebagai saingan cinta buat Kim Hye Yoon dan Ro Woon, telah mempamerkan watak ‘tsundre’ yang berjaya memikat penonton kdrama. Semestinya ramai seolah-olah terkena penangan sindrom ‘2nd lead’ yang mahu Kim Hye Yoon berbahagia di samping Lee Jae Wook, berbanding Ro Woon.

Secara kesimpulannya, carta Kmania Top 10 Star bulan Oktober 2019 menyaksikan dominasi pelakon-pelakon terutamanya bintang-bintang drama MBC Extraordinary You dan SBS Vagabond. Hanya Hanbyul dan Baekhyun saja idol tersenarai kali ini di atas kerjaya terkini sebagai penyanyi (Lee Seung Gi dan Bae Suzy masih merupakan idol walaupun mereka kini bergiat aktif sebagai pelakon). Buat pertama kalinya juga, BTS gagal tersenarai dalam kelompok sepuluh terbaik bulan Oktober gara-gara mendapat undian yang sangat rendah.

NO.

Top 10 Stars

Name

1 Hanbyul
2 Kang Ha Neul
3 Ro Woon (SF9)
4 Lee Seung Gi
5 Kim Hye Yoon
6 Bae Suzy
7 Kim Hyang Gi
8

 

Baekhyun

( Super M / EXO )

9/10 (*tied*)
Jang Dong Yoon
9/10 (*tied*) Lee Jae Wook

Segala keputusan di atas adalah berdasarkan undian secara atas talian menerusi website kami kmania.info. Untuk mengetahui carta Top 10 ‘Kmania Top Stars’ sila klik pautan seperti di bawah:

Komentar

comments

loading...