/Aroha Malaysia terpaku bila Cha Eun Woo ucap “Sayang, aku cinta padamu”

Aroha Malaysia terpaku bila Cha Eun Woo ucap “Sayang, aku cinta padamu”

Cha Eun Woo anggota kumpulan Astro telah mengadakan pertemuan bersama peminat di Kuala Lumpur pada 27 Oktober 2019 yang lalu. Kuala Lumpur merupakan destinasi dalam rangka lawatan solo ‘1st Asia Fanmeet’, Cha Eun Woo Just One 10 Minute yang di bawakan oleh penganjur MacpiePro. Just One 10 Minute bermaksud 10 minit sahaja diperlukan untuk dipukau dan terpesona dengan aura Cha Eun Woo. Ya pada pertemuan tersebut Aroha (nama panggilan peminat Cha Eun Woo) telah terpukau dengan beliau dalam pertemuan selama 3 jam tersebut.

Apabila lampu dipadam, Cha Eun Woo muncul lengkap berpakaian tradisional Korea, Hanbok dengan mendendangkan Please Remember lagu runut bunyi dari drama Rookie Historian Goo Hae Ryung. Apabila ditanya tentang pakaian tersebut, beliau menerangkan ia dipakai semasa berlakon dalam drama tersebut.

 

Cha Eun Woo ditanya apakah perasaan dia mengadakan pertemuan solo bersama peminat tanpa rakan-rakan ahli Astro yang lain. Dengan agak berseloroh dia menyatakan rasa agak sunyi dan kesepian tetapi disebabkan Aroha terubat rasa kesepian tersebut. Pertemuan dengan Aroha pada malam itu katanya membawa kegembiraan. Jadi sudah tentulah Aroha juga rasa sangat teruja bertemu depan-depan dengan Cha Eun Woo. 

Segmen pertama nak membuktikan Cha Eun Woo bukan sekadar paras rupa sahaja. Segmen yang diberi nama Challenge! CHApago ini menguji memori Cha Eun Woo. Setelah bertukar gaya boy next door lengkap dengan memakai topi merah, prop pentas turut ditambah dengan loceng besar dan Cha Eun Woo duduk di bawahnya. 

Soalan pertama ditanya semasa promo Rookie Historian Goo Hae Ryung apakah drama tagline yang digunakan?  Jawapan diberikan dengan menulis di atas board tetapi sebenarnya dia pun tak yakin sangat jadi hanya Nang-Ja yang betul lagi pun dah lama katanya. Walau bagaimanapun drama tagline yang Cha Eun Woo paling suka dan masih ingat sampai sekarang adalah “Semoga panjang umur dan menjadi milikku selama-lamanya”. Yang paling mengujakan bila Cha Eun Woo menujukan ayat tersebut kepada Aroha beserta dengan muzik latar untuk mengambil mood

“AROHA, semoga panjang umur dan menjadi milikku selama-lamanya. Saranghaeyo!”

Seterusnya bila Cha Eun Woo ditanya apakah reaksi Yi Rim (watak Cha Eun Woo) bila Goo Hye Ryung meminta putus perhubungan disebabkan Yi Rim bertunang dengan perempuan lain. Bagi Cha Eun Woo babak tersebut antara yang agak sukar jadi dia terangkan dulu apakah situasi yang berlaku sebelum tu. Yang mengusik perhatian pada ketika ini adalah pada masa Cha Eun Woo masih berfikir-fikir akan jawapannya tiba-tiba terdengar suara Aroha suara lelaki menjerit Fighting! 

Jawapan yang diberi oleh Cha Eun Woo untuk babak tersebut adalah menangis teresak-esak kesedihan. Menangis adalah babak yang paling susah untuk dibuat tetapi kalau betul-betul menjiwai watak tentulah boleh menangis secara automatik tetapi menurut Cha Eun Woo dalam babak lain semasa buku dia dibakar, dia sangat susah nak menangis pada masa itu jadi bermacam perkara kelakar berlaku di balik tabir untuk buat dia menangis.

Untuk pertanyaan apakah lagi watak yang Cha Eun Woo ingin lakonkan seterusnya, dia menyatakan teringin nak berlakon watak sebagai seorang pelajar sambil disambut sorakan dari Aroha. Semestinyalah watak sebagai pelajar memang sangat sesuai dengan Cha Eun Woo.

Segmen kedua pula adalah C.M.I (Cha Eun-Woo Much Information). Segmen ini bertujuan supaya Aroha dapat mengenali sisi lain Cha Eun Woo selain di atas pentas. Antara yang ditanya adakah Cha Eun Woo mempunyai telefon bimbit? Dia memberikan jawapan tentulah ada sebab boleh digunakan untuk mengambil gambar selfie dan boleh digunakan untuk mengambil gambar Aroha juga katanya sambil tersenyum nakal. Selain itu dia suka mendengar muzik dan menonton muzik video di Youtube. Antara yang disukai adalah lagu dari runut bunyi Pinocchio yang berkaitan Love and Friendship. 

Cha Eun Woo turut ditanya apakah warna kasut yang dia akan pakai berdasarkan gambar yang dipaparkan di skrin. Sama ada warna kelabu atau warna khaki. Gambar tersebut menunjukkan Cha Eun Woo sedang memilih kasut untuk dipakai. Dia sendiri tak ingat tapi gaya Cha Eun Woo pada ketika itu sangat serius berfikir akan jawapannya sampai emcee dan penonton sebut ‘tembak jer lah’. Akhirnya jawapan yang diberi memang tepat sebab jawapan yang dipilih adalah warna khaki.

Soalan seterusnya yang ditanya apakah warna yang menggambarkan dirinya. Setelah berfikir dengan serius juga, Cha Eun Woo memberikan jawapan warna biru. Nampaknya Cha Eun memang sentiasa serius dalam apa sahaja yang dia akan buat.

Bila tanya bagaimana pula dengan Malaysia. Apakah warna yang ada dalam fikiran dia bila terfikir tentang Malaysia? Cha Eun Woo menyatakan sebelum datang ke Malaysia dia ada membaca tentang Malaysia di laman web. Apa yang dia nampak adalah pemandangan yang cantik dengan langit membiru jadi warna untuk Malaysia adalah warna langit, warna biru cair.

Soalan lain yang ditanya berkenaan nama panggilan lain Cha Eun Woo. Nama tersebut adalah ‘Face Genius’ yang bermaksud ‘budak bertuah yang tampan’ (penulis direct translit kat sini dari ayat lucky boy with good look :P)

Seterusnya Cha Eun Woo ditanya apa dia akan buat lagi 10 tahun? Dia jawab terus bersama Astro dan terus berlakon. Diharap Aroha juga terus bersamanya.

Apa pula nama panggilan yang Cha Eun Woo mahu berikan kepada Aroha Malaysia? Menurut Cha Eun Woo Hanuel yang bermaksud sky atau langit sesuai untuk Aroha Malaysia. 

Cabutan bertuah yang pertama, Aroha yang bertuah dapat topi yang dipakai ketika itu. Ketika nombor dipanggil, emcee menyebut Donkey untuk abjad D terus Cha Eun Woo tertanya-tanya ‘Haa??’. Lantas emcee menerangkan dah jadi satu budaya di Malaysia bila sebut abjad akan sebut perkataan akronim. Jadi sambil mengangguk-nganguk faham, Cha Eun Woo turut menggunakan akronim Donkey untuk nombor yang bermula dengan abjad D. Semasa cabutan seterusnya Cha Eun Woo juga sangat serius dengan nombor-nombor yang dia akan ambil siap mengintai ke dalam kotak nombor untuk memastikan semua bahagian tempat duduk dapat peluang. ‘Sweet’ kan?

Cha Eun Woo turut mempersonakan Aroha pada malam tersebut dengan menyanyi sambil bermain piano dengan membawakan lagu dari Justin Bieber, ‘Love Yourself’. Aroha turut bersama menyanyikan lagu tersebut.

 

Yang paling mengejutkan selepas klip-klip video ditayangkan dan Cha Eun Woo kembali ke pentas dengan duduk di sisi kanan pentas. Dia mendendangkan lagu Bahasa Malaysia. Semasa muzik kedengaran dan bait-bait pertama dinyanyikan Aroha bagaikan terpinga-pinga sebab tiba-tiba bahasa tersebut difahami dan terus masing-masing menjerit keterujaan dengan berkata itu lagu Melayu!! Ya Cha Eun Woo menyanyikan lagu dari Aizat Amdan bertajuk ‘Sampai Ke Hari Tua’.

Segmen ketiga Cha!possible menguji sisi Cha Eun Woo sebagai seorang atlit atau ahli sukan. Dia diberikan misi untuk memanah tepat ke tengah papan dan ada denda yang akan dikenakan jika tidak berjaya. Kemudiannya bermain bola keranjang dengan memasukkan bola ke dalam jaring dalam tempoh tertentu. Bola tersebut akan ditandatangan dan diberikan kepada Aroha melalui cabutan bertuah.

Denda yang dikenakan adalah menari dan menyanyi mengikut rentak muzik sambil memakai cekak  bunny dan sarung tangan bunny. Aroha yang menonton keletah dan kecomelan Cha Eun Woo yang selamba mengikut rentak muzik menjadi semakin teruja dan bersorak kesukaan. Walaupun cekak tersebut asyik jatuh ke muka, Cha Eun Woo tetap meneruskan misi dia menari mengikut rentak tersebut.

Segmen terakhir Made By Cha Eun Woo dimana Cha Eun Woo menunjukkan skill seni dalam diri dia dengan melukis di atas kipas tradisional korea. Bila ditanya oleh emcee adakah dia pandai melukis? Secara berseloroh Cha Eun Woo berkata dia pernah menang pertandingan dalam mata pelajaran pendidikan seni semasa di sekolah rendah. Jadi sambil melukis Cha Eun Woo bercerita matapelajaran seni adalah subjek kegemaran dia jadi dia berharap Aroha akan suka dengan hasil kerjatangan dia. 

Kipas yang pertama Cha Eun Woo sambil tersengih-sengih lukis mata hidung dan mulut beserta tandatangan dan bertanya kepada Aroha, “Bagaimana? suka tak?” Sudah tentulah Aroha jawab suka sebab apa sahaja hasil tangan Cha Eun Woo tentulah sangat istimewa. Kipas seterusnya Cha Eun Woo lukis bintang di langit yang menggambarkan Aroha Malaysia dan seterusnya ada juga melukis tentang anggota Astro yang lain. Cha Eun Woo turut menyanyi mengikut muzik latar lagu dari kumpulan dia sendiri iaitu Astro.

Pada ketika ini juga, Cha Eun Woo bertanya bagaimana nak sebut terima kasih dalam Bahasa Malaysia. Aroha berebut-rebut menjerit menyebut ‘terima kasih’ jadi sambil tersenyum simpul Cha Eun Woo pun sebut terima kasih dalam Bahasa Malaysia. Kemudiannya dia bertanya lagi bagaimana dengan Saranghaeyo? Bila emcee sebut Aku Cinta Padamu, Aroha sebut cakaplah Aku Sayang Kamu. Terus dengan wajah yang keliru Cha Eun Woo bertanya apa beza Sayang dengan Cinta? Jadi emcee terangkan maksudnya lebih kepada perasaan macam my darling, honey. 

Jadi ayat yang dituturkan oleh Cha Eun Woo selepas itu adalah “Sayang, terima kasih” dan “Sayang, aku cinta padamu” Pandai Cha Eun Woo bermulut manis dan mengambil hati 1,900 Aroha yang hadir pada malam tersebut. Tentulah Aroha sangat gembira terutama sekali di akhir fanmeet tersebut ada high-touch bersama peminat tetapi penulis tak dapat peluang tersebut.

Cha eun Woo turut mendendangkan lagu Rainbow Falling dari runut bunyi ‘My ID is Gangnam Beauty’ dan lagu You & Me pada malam tersebut.

Semua gambar-gambar adalah dari MacpiePro and Fantagio Music.

Komentar

comments

loading...