/Hanbyul merampas takhta Kmania Top Stars milik Lee Ji Eun IU untuk bulan September 2019

Hanbyul merampas takhta Kmania Top Stars milik Lee Ji Eun IU untuk bulan September 2019

Hanbyul, membuktikan popularitinya yang meledak naik dengan begitu pantas sekali di Malaysia bukan boleh dipandang ringan apabila diangkat sebagai pemegang takhta Kmania Top Star bagi bulan Ogos 2019, sekaligus merampas takhta tersebut daripada tangan Lee Ji Eun (IU). Hanbyul yang baru pertama kali dimasukkan ke dalam carta Kmania Top 10 Stars, meraih undian yang sangat tinggi dengan 440, dibezakan hanya 44 undian saja daripada pesaingnya yang berada pada kedudukan nombor dua.

Gambar dikreditkan pada pemiliknya.

Hanbyul atau nama sebenarnya, Jang Hanbyul, menempa nama sebagai vokalis, LedApple, kumpulan kugiran yang pernah aktif di Korea sekian lama dahulu. Namun, kekangan serta berbagai-bagai onak duri yang terpaksa ditempuhinya sepanjang berada di Korea telah membuatkan beliau mengambil keputusan untuk mengundur diri lantas menyertai program nyanyian terbitan Astro, Big Stage beberapa tahun kemudian, menyebabkan namanya tiba-tiba popular di rantau Malaysia sejak sebulan yang lepas. Puncanya datang daripada persembahan cover lagu nyanyian Nabila Razali yang begitu memukau di atas pentas pada minggu ke-2 rancangan itu sehingga mencetuskan fenomena ‘Hanbyul’ berpanjangan yang rata-ratanya memuji kefasihannya melontarkan longat bahasa Melayu di samping tarian lincahnya yang menggegarkan pentas.  Dari minggu ke minggu, Hanbyul gigih membuat persembahan memikat perhatian penonton dan juri, bagi melayakkannya dalam senarai artis yang akan menggondol gelaran juara Big Stage pada 6 Oktober 2019 nanti.

Baca lagi : Han Byul Buktikan Oppa Korea Boleh Berdangdut dan Bergelek di Pentas Big Stage 2019

Walaupun bersaing sengit dengan Hanbyul, namun undian saat-saat akhir dibuat menjelang tengah malam 1 Oktober 2019 telah memastikan idol paling sensasi di Korea dan juga Malaysia kala ini, Kang Daniel terpaksa berpuas hati di kedudukan ke-2 saja dengan 396 undian. Meskipun begitu, bekas pemegang takhta Kmania Top Star bulan Julai ini menunjukkan prestasi yang agak baik apabila melonjak naik daripada kedudukan no.7 berbanding bulan lepas. Sudah semestinya, populariti Kang Daniel yang mencanak naik tiba-tiba dalam tempoh sebulan ini disebabkan kemunculannya di Malaysia julung-julung kalinya sejak bergelar penyanyi solo selain kerap aktif menghasilkan program sendiri demi merapatkan dirinya lebih erat dengan peminatnya, Danity.

Baca lagi: Tak cukup dengan konsert? Kang Daniel bawa anda pula mengembara bersamanya di Youtube

Kang Daniel ketika berada di Malaysia baru-baru ini.

Kita beralih pada kedudukan nombor ketiga dan keempat pula, yang mana masing-masing diisi pasangan pelakon drama jtbc Moment of Eighteen, Ong Seung Wu dan Kim Hyang Gi. Masing-masing berjaya melompat satu anak tangga berbanding pada kedudukan bulan lepas. Ong Seung Wu yang baru dinobatkan pemenang Best Rookie Actor 2019 Korea Drama Awards membuktikan populariti bekas penyanyi Wanna One itu bukan sekadar idol semata-mata, malah kariernya mungkin akan diperluaskan ke dalam bidang lakonan secara serius pada satu masa nanti.

Baca lagi : [Analisis] Lakonan ‘debut’ Ong Seung Wu dalam jtbc Moment of Eighteen dapat pujian menggunung media Korea

Tidak semena-mena tempat ke-5 telah berjaya diisi oleh Irene Red Velvet buat pertama kali sejak setahun yang lalu. Irene pernah berada di kedudukan no.2 dalam carta Kmania Top Star bulan September 2018 di belakang Taehyung. Barangkali keputusan diambilnya untuk membuka laman instagram sendiri baru-baru ini telah mendekatkan dirinya dengan peminat di Malaysia yang semestinya masih mengagumi kecantikan dimiliki oleh idol bergelar feminis itu.

Baca lagi : IU sah bakal diterbangkan ke Malaysia hujung Disember ini buat julung-julung kalinya!

Seterusnya, peminat drama Hotel del Luna bakal dikejutkan pula dengan kedudukan IU yang jatuh terperosok ke tangga ke-6 setelah menjadi pemegang takhta Kmania Top Star bulan lepas, seperti pernah dialami oleh Kang Daniel sebelum ini. Namun begitu, populariti IU jangan dipandang enteng berikutan perancangannya untuk menjejakkan kaki ke Malaysia pada bulan Disember ini buat pertama kali dalam kerjayanya selaku penyanyi, telah menyebabkan riuh seketika di media sosial. Malah, stadium sebesar Axiata Arena yang mampu memuatkan puluhan ribu peminat, dipilihnya sebagai tapak konsert jelajahnya di Malaysia. Buat yang mula meminati IU kerana lakonannya, jangan lupa saksikan IU beraksi di atas pentas sebagai penyanyi pula.

Dalam meniliti kedudukan seterusnya, Jungkook BTS dan Lee Dong Wook pula masing-masing mengisi tempat ke-7 dan ke-8. Memandangkan Jungkook menjadi satu-satunya ahli BTS tersenarai kali ini selepas Taehyung pula tersingkir keluar, barangkali kontroversi yang mengikatkannya dengan seorang pembuat tatoo pada awal bulan September lalu membuatkan Jungkook memasuki carta Kmania Top Stars semula. Umum diketahui, BTS baru saja dibenarkan bergiat secara aktif semula selepas diarahkan berehat selama sebulan. Manakala, Lee Dong Wook mendapat perhatian semula disebabkan penampilannya sebagai pembunuh bersiri dengan wajah penuh menggerunkan di dalam drama OCN Strangers From Hell. Lee Dong Wook baru-baru ini telah menyinggah ke Manila sempena sambutan terpenting di negara itu.

Yeo Jin Goo melambai-lambai kepada peminat ketika berada di Singapura.

Tempat ke-9 pula berjaya diisi oleh Yeo Jin Goo. Seperti juga IU, penangan drama tvN Hotel del Luna yang masih lagi terasa selain kehadiran Yeo Jin Goo di negara jiran pada dua minggu lepas membantu mengukuhkan popularitinya. Cuma berbanding carta bulan lepas, prestasi Yeo Jin Goo lebih baik kali ini apabila berjaya melompat satu anak tangga.

Baca lagi : Pesona Yeo Jin Goo dan Goo Chan Song “Hotel Del Luna” Berjaya Menawan Kota Singa

Akhir sekali, Gong Hyo Jin yang sinonim dengan gelaran ratu drama komedi romantik pujaan rakyat Malaysia berjaya menempatkan dirinya ke dalam carta Kmania Top Stars di posisi no.10. Pemenang Popular Actress CARI Kdrama Awards sebanyak dua kali ini sedang membintangi drama terbaru, KBS When The Camellias Blooms bersama Kang Ha Neul. Sudah pastinya, kemunculannya di dalam arena drama korea sangat dinanti-nantikan oleh mereka mendahagakan lakonan aktress yang versatil tersebut.

Secara kesimpulannya, carta Kmania Top 10 Star bulan September 2019 memperlihatkan lebih ramai pelakon dengan enam orang berjaya mengisi ruangan carta, yang mana dua daripadanya juga ialah idol.  Buat pertama kalinya juga, penyanyi berbangsa Korea yang menumpang rezeki di Malaysia, iaitu Hanbyul telah merangkul takhta Kmania Top Star.

NO.

Top 10 Stars

Name

1 Hanbyul
2 Kang Daniel
3 Ong Seung Wu
4 Kim Hyang Gi
5 Irene (Red Velvet)
6 Lee Ji Eun IU
7 Jungkook (BTS)
8

 

Lee Dong Wook
9

 

Yeo Jin Gu
10 Gong Hyo Jin

Segala keputusan di atas adalah berdasarkan undian secara atas talian menerusi website kami kmania.info. Untuk mengetahui carta Top 10 ‘Kmania Top Stars’ sila klik pautan seperti di bawah:

Komentar

comments

loading...