/Pesona Yeo Jin Goo dan Goo Chan Song “Hotel Del Luna” Berjaya Menawan Kota Singa

Pesona Yeo Jin Goo dan Goo Chan Song “Hotel Del Luna” Berjaya Menawan Kota Singa

Pada 23 September lalu, KMania menerima jemputan dari tvN Asia untuk menghadiri Hotel Del Luna Star Tour bersama Yeo Jin-goo. Kali ini, tvN dan StarHub berganding bahu membawa Yeo Jin-Goo untuk beramah mesra dengan peminat-peminat Singapura dan beberapa rakan media yang terpilih. Kehadiran pengurus Hotel Del Luna ini bersempena tayangan finale siri ini secara rasmi di Singapura dan Malaysia melalui saluran tvN pada 2 Oktober 2019.

tvN

Bersahaja, menawan, mesra berbekalkan wajah yang tidak lekang senyuman dan ketawa, itulah Yeo Jin-Goo di mata kami. Rata-rata peminat yang bertemu penulis menyatakan Jin-Goo sangat mesra dengan peminat yang menyambut beliau di lapangan terbang. Tidak melalui jalan VIP dan ditemani oleh beberapa pegawal keselamatan peribadi, beliau mesra dikerumuni dan menerima hadiah dari peminat. Mereka benar-benar tertawan dengan pelakon yang berumur 22 tahun ini.

Kedatangan Jin-Goo kali ini agak istimewa, bukan sahaja untuk bertemu peminat tetapi turut membawa jiwa Gu Chan-seoung untuk meneroka pengalaman hospitaliti mewah hotel dan acara Halloween di Singapura. Menarikan? Dalam sesi media, Jin-goo menjelaskan beliau sebenarnya tidak takut hantu ataupun sebarang supernatural. Tetapi, beliau lebih takut terhadap benda-benda yang bergerak seperti serangga. Teringat pula penulis terhadap Encik Kunang-kunang yang setia menanti Jang Man-wol. Membawa makna baru pula dalam kisah ini.

Bersempena sesi beramah mesra bersama media dan peminat ini, seramai 70 peminat yang terpilih oleh tvN Asia dan StarHub berpeluang untuk menerima Hi-Touch dan juga peluang untuk berfoto bersama-sama Jin-Goo. Mereka begitu teruja berada di hotel The Capitol Kempinski 2 jam sebelum acara bermula. Memberikan sorakan kuat dan sporting sepanjang berlangsung acara ini. Peminat-peminat dilayan dengan begitu mesra oleh Jin-goo. Tidak kurang juga yang memberi hadiah. Jin-goo menerima kesemuanya dengan senyuman manis. Penulis merasakan ramai yang akan pulang dengan senyuman. Ketawa kecil dan senyuman Yeo Jin-goo akan membuatkan anda turut tersenyum.

tvN

Bagi yang belum mengenali Jin-Goo, beliau telah lama berkecimpung dalam dunia lakonan. Walaupun hanya berumur 22 tahun, pengalaman lakonan beliau sudah 14 tahun. Beliau memulakan lakonan beliau sebagai pelakon kanak-kanak. Popular dari kecil tidak membuatkan beliau bongkak malah beliau akui, pengalaman beliau sebagai pelakon terutamanya skrip-skrip terbaru membantu menyediakan beliau sebagai pelakon yang lebih baik dan memperkukuhkan bakat lakonan beliau lagi.

Selain sesi temu bual bersama media, Jin-Goo turut berkesempatan untuk memperlihatkan bakat lakonan beliau secara spontan. Pengacara memberikan cabaran untuk berlakon dengan hanya 5 saat untuk menjiwai watak. 3 situasi berbeza-beza yang diberikan oleh Jin-goo melakonkan babak-babak ini begitu natural dan asli. Ibarat Gu Chan-seong di depan mata. Babak-babaknya adalah, sekiranya Man-wol tiba-tiba muncul di depan mata beliau di Singapura. Kedua, setelah muncul di Singapura, Man-wol memberitahu beliau telah membeli satu kapal layar mewah dan bagaimanakah reaksi Chan-seong. Yang terakhir pula adalah, bagaimana Chan-seong ingin merayu orang ramai untuk membeli kapal layar itu dengan harga 3 kali ganda. Keceriaan Jin-goo benarnya menggamatkan suasana dewan kecil itu.

Jin-Goo turut menjelaskan berlakon untuk drama dan filem adalah suatu yang amat berbeza. Lakonan filem, beliau akan tahu semuanya di awal dan boleh mempersiapkan diri untuk watak dan jalan cerita sekali gus. Namun, lakonan drama agak berbeza apabila pelakon tidak akan menerima skrip itu sekali gus. Skrip akan datang secara berperingkat dan kadangkala mereka juga tidak tahu arah jalan cerita itu. Jalan cerita juga boleh berubah-berubah. Sebagai pelakon, beliau harus bersedia untuk memberikan yang terbaik.

tvN
tvN

Mengenai Hotel Del Luna, beliau amat menyukai jalan ceritanya yang unik dan mengakui bahawa amat terkejut dengan sambutan terhadap drama ini. Sambutan yang meluas ni menjadi pemangkin untuk beliau kekal seronok ketika penggambaran berlangsung. Walaupun telah tamat, drama ini kekal mendapat sambutan. Ini membuatkan beliau benar-benar gembira dan berterima kasih kepada peminat-peminat. Disebabkan ini, beliau datang ke Asia Tenggara untuk bertemu para peminat yang menyokong beliau. Selain dari sesi bertemu peminat ini, 12 peminat bertuah terpilih untuk bersama-sama Yeo Jin-Goo untuk ke Universal Studio Singapura untuk melawati Halloween Horror Nights 9 di Resort World Sentosa. Mereka memasuki 2 buah rumah berhantu dan menempuhi saat-saat menakutkan bersama-sama. 

Jin-goo Dan Peminat Bertuah – tvN

Di mata penulis pula sepanjang sesi bertemu media dan peminat itu, cukup mudah untuk menyukai Jin-Goo. Jelas terpancar keceriaan dan keikhlasan beliau untuk bersama peminat. Apabila pengacara meminta beliau turun pentas untuk berehat, beliau hanya berada di tepi pentas, minum air dan terus melambai-lambai kepada peminat. Sempoi dan santai, personaliti yang begitu mudah membuatkan peminat jatuh hati dengan beliau.

P/S Jangan lupa ke laman rasmi akaun Kmania (Facebook, Instagram, Twitter & Youtube)  video-video Yeo Jin-Goo di Singapura.

Komentar

comments

loading...