/Han Byul teruskan penguasaan, Dinda terselamat & manakala Aziz Harun umum tinggalkan pentas Big Stage 2019

Han Byul teruskan penguasaan, Dinda terselamat & manakala Aziz Harun umum tinggalkan pentas Big Stage 2019

 

Pentas “Big Stage 2019” minggu ketiga telah berlangsung dengan penuh emosi, menyaksikan 11 bintang “BBNU” menyampaikan persembahan yang ditugaskan dengan penghayatan masing-masing. Bertemakan ‘Glocal Hits’, bintang yang berasal dari Korea Selatan, Han Byul, sekali lagi mendahului di kedudukan pertama dengan markah terkumpul sebanyak 82.67 peratus. Persembahan cemerlang beliau menerusi lagu “I’ll Never Love Again”, nyanyian asal Lady Gaga mendapat pujian dari ketiga-tiga juri dan tepukan cukup gemuruh dari audiens di dalam dewan. Untuk tiga minggu berturut, Han Byul terus konsisten mendominasi pentas Big Stage di kedudukan tertinggi.

Apakah mampu Han Byul meneruskan penguasaan di Pentas Big Stage 2019 untuk minggu yang ke-4? Apakah kombinasi Han Byul dan Sarah Suhairi mampu mencipta keserasian serta keseimbangan di atas pentas? Korang kena tunggu dan tonton pada Ahad nanti. Penulis memang menantikan paduan suara kedua mereka ini kerana keduanya punya personaliti vokal yang berbeza dan apa yang istimewanya akan Sarah tampilkan kelak sementelah dia adalah juara musim pertama Big Stage. Penulis juga dapat merasakan Han Byul adalah salah seorang calon peserta ke pentas akhir Big Stage 2019. 

Mengekori rapat adalah bintang yang berasal dari Sg. Petani, Kedah, Neeta Manisha, di kedudukan kedua dengan jumlah markah 81.00 peratus. Bintang berusia 25 tahun ini mempamerkan nyanyian yang sangat mantap menerusi lagu popular Ernie Zakri berjudul “Ku Bersuara” dan beliau turut mendapat pujian yang positif dari juri. Selain itu, Santesh, sekali lagi membuktikan kebolehan beliau sebagai penyanyi versatil apabila berjaya menghayati bait-bait lagu, “Di Matamu”, nyanyian asal Sufian Suhaimi dengan begitu baik sekali, dan mempersembahkannya mengikut kepada kreativiti dan emosi jujur beliau. Santesh merekodkan markah sejumlah 79.00 peratus serta diumumkan sebagai “Bintang Pilihan Big Stage” minggu ketiga.

Dalam pada itu, pentas minggu lalu turut menyaksikan tiga bintang ‘antarabangsa’, Chaleeda Gilbert (Thailand), Dinda Permata (Indonesia) dan Aziz Harun (Brunie) berada di kedudukan tiga tercorot. Walaupun persembahan Chaleeda dikatakan meningkat dari minggu-minggu terdahulu dan mendapat pujian dari Juri Tetap, Datuk Seri Siti Nurhaliza, nama Chaleeda sekali lagi diumumkan di kategori terendah. Persembahan Dinda Permata turut dikritik hebat sebagai mengecewakan kerana kegagalan beliau menghafal lirik dan menyampaikan persembahan yang penuh dengan ‘drama air mata’, sehingga beliau diumumkan sebagai peserta yang tersingkir pada minggu itu!

Namun begitu, keputusan mengejut yang dibuat Aziz Harun untuk meninggalkan pentas ‘Big Stage’ telah menyelamatkan Dinda. Aziz Harun membuat keputusan menarik diri kerana memilih untuk menyambung pelajaran. Perjalanan Aziz di pentas besar ini ternokhtah di situ sahaja dan ramai menaruh harapan agar Dinda tidak mensia-siakan ‘pengorbanan’ yang dibuat Aziz itu dan Dinda perlu bangkit di minggu-minggu seterusnya.

Baca juga : Aziz Harun Big Stage 2019 – Tinggalkan seketika cintanya dalam dunia hiburan demi mengejar cita dan impiannya!

Di konsert minggu keempat yang bertemakan “DUOMINASI” pada hari Ahad ini, sudah pasti persaingan akan menjadi lebih sengit kerana kesemua peserta akan digandingkan dan berduet bersama barisan penyanyi sensasi tanah air. Bayangkan Han Byul bergandingan bersama juara ‘Big Stage’ musim pertama, Sarah Suhairi menyampaikan lagu “Just Give Me A Reason” nyanyian Pink, Fieya Julia berduet bersama Sufian Suhaimi menyampaikan lagu “Haram” oleh Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah, Kucaimars bersama Shiha Zikir dengan lagu Hindustan popular, “Janam Janam” dan Santesh bersama Baby Shima menyampaikan lagu, “Roadblock Hatiku”, nyanyian asal Floor 88.

Komentar

comments

loading...