/Safiya Kang, Pemilik Restaurant Makanan Halal Korea ; Manis Kitchen

Safiya Kang, Pemilik Restaurant Makanan Halal Korea ; Manis Kitchen

Pada 3 April lalu, berlangsungnya  Seminar Halal Kolaborasi antara Korea-Malaysia yang  bertempat di Hotel Grand Millennium Kuala Lumpur. Penulis berkesempatan untuk berkenalan dan berbicara bersama Safiya Kang, selaku Pengurus Kanan Pentadbiran Persatuan Muslim Korea ataupun Korean Muslim Federation (KMF).

Saling bertukar butiran peribadi dan berbual, penulis mendapati Puan Safiya juga merupakan pemilik restoran Manis Kitchen di Korea. Restoran ini terkenal dengan menjual makanan-makanan snek halal di kawasan Itaewon. Lokasi Manis Kitchen ini betul-betul berhadapan dengan Masjid Seoul. Puan Safiya juga agak popular malah pernah dipaparkan di dalam TV3, Astro dan TV Indonesia dan Brunei.

Menu-menu popular seperti Tteopokki, tteokkpchi,  “Corn Dod”,Odeng ataupun “Fish Cake”, Daichi Strawberi dan pelbagai lagi menu makanan ringan yang sedia ada di Manis Kitchen. Selain makanan ringan, pengunjung juga boleh merasa makanan seperti nasi goreng, ayam goreng, Japchae, kimbap mini dan pelbagai lagi. Kesemuanya di jamin Halal oleh ahli jawatan kuasa halal di KMF.

Apabila bertanyakan kenapa beliau memilih nama Manis, Safiya menjelaskan selain makanan jalanan (street food), mereka turut menjual makanan manis seperti Macaroon dan Meringue Cookies. Beliau turut menggambarkan restoran ini juga bersifat manis dan beliau berharap ia akan menjadi satu tempat yang memberi pengalaman manis dan nyaman kepada pengunjung.

Mengenai latar belakang puan Safiya, beliau mula bekerja bersama dengan KMF dari tahun 2008 dan memeluk agama Islam pada tahun pada tahun 2015. Sebagai seorang Muslim, minat beliau terhadap mengusahakan makanan halal timbul apabila melihat ramai pelancong Muslim tidak mempunyai banyak peluang dan pilihan terhadap makanan jalanan Korea yang begitu popular. Beliau berhasrat untuk membuka restoran halal untuk menyediakan pelbagai pilihan terhadap pelancong dan juga masyarakat tempatan yang menganut agama Islam.

Tambahan beliau lagi, disebabkan oleh populariti K-pop, K-drama dan makanan Korea, pelancong Muslim di Korea semakin hari semakin meningkat. Ini memperlihatkan peningkatan dalam permintaan terhadap makanan halal. Pada masa yang sama, permintaan terhadap lebih banyak restoran Korea yang halal.

Penulis turut menanyakan isu mengenai status halal makanan jalanan di Korea terutamanya sering kali viral di media sosial mengenai isu sijil halal palsu. Safiya tidak menafikan isu ini. Beliau menjelaskan terdapat banyak kes penyalahgunaan logo halal dan juga logo palsu terutamanya untuk makanan jalanan di Myeong-dong. Pihak KMF terutamanya ahli jawatan kuasa Halal, telah pun melaporkan kepada Datuk Bandar Seoul dan mencadangkan untuk menguatkuasakan kes ini dan mengambil tindakan yang segera terhadap mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan logo ini.

Penulis juga menyatakan isu, makanan halal di Korea selalunya agak mahal berbanding makanan lain. Ini menurut Safiya, harga makanan halal ini bergantung kepada keputusan pemilik restoran. Keputusan pemilik selalunya setelah mempertimbangkan semua perbelanjaan. Beliau turut bertanya kepada penulis, tentang jenis-jenis makanan Korea halal di Malaysia dan membandingkan harga dengan di restoran beliau.

Penulis ingin mengetahui kenapa Malaysia sering kali menjadi sasaran untuk memasarkan makanan Korea. Safiya menjelaskan beliau sering kali ke Malaysia dan selain ke Kuala Lumpur, beliau juga pernah berkali-kali ke Kuching, Perlis dan pelbagai lagi. Pengalaman-pengalaman ini memberikan imej-imej positif mengenai Malaysia. Beliau mengatakan kebanyakan pelancong Muslim terdiri daripada rakyat Malaysia. Tambahan beliau lagi, rakyat Malaysia mempunyai pemahaman yang baik terhadap budaya Korea dan memiliki keperibadian yang sangat baik. Ini mendorong beliau dan juga pengusaha makanan Korea lain untuk datang ke Malaysia.

Selain daripada Malaysia, penulis juga bertanyakan negara manakah lagi yang mungkin menarik minat beliau terutamanya sekiranya beliau ini meluaskan perniagaan beliau pada masa akan datang. Safiya menjelaskan, di sebabkan minat beliau terhadap makanan halal dan negara-negara Islam, beliau lebih cenderung ke arah negara-negara di Asia Tenggara seperti Singapura, Indonesia dan Brunei. Terutamanya, mereka yang menyukai sos cili manis yang dibuat oleh beliau sendiri.

Penulis tampilkan beberapa gambar-gambar dan video istimewa dari Safiya dan Manis Kitchen untuk tatapan pembaca. Sekiranya anda ke Korea, jangan lupa singgah dan kirim salam kepada Safiya dari KMania ya. Kepada yang bakal berkunjung ke Korea, anda boleh mengunjungi restoran ini yang terletak berhadapan pintu masuk masjid Korea di Itaewon. Ini lebih memudahkan pada anda untuk mencari lokasi yang lebih tepat.

Manis Kitchen, Korea 

36 Usadan-ro 10-gil, Yongsan-gu, Seoul (서울용산구우사단로10길36)
02-6407-5454
Opens every day from 10 am to 8 pm (Except PH)

Anda juga boleh ikut laman instagram Safiya Kang dan Manis Kitchen untuk informasi yang lebih lanjut.

Komentar

comments

loading...