/Donghae & Eunhyuk, buktikan mereka hargai & menyayangi peminat di Malaysia!

Donghae & Eunhyuk, buktikan mereka hargai & menyayangi peminat di Malaysia!

Kehadiran sub-unit dari kumpulan idol Super Junior, Super Junior D&E dari Korea Selatan telah berjaya menghimpunkan hampir 3000 peminat yang digelar Ever Lasting Friend (E.L.F) di Stadium Malawati Shah Alam pada tanggal 4 hb Mei 2019 yang lalu. Dengan kehadiran hujan yang membasahi tanah Shah Alam sebelum bermulanya konsert jelajah Asia bersempena perlancaran mini album baru mereka (Danger) walaupun cuaca agak terik di belah pagi, bagi peminat-peminat dari Malaysia ini bukanlah perkara yang pelik. Kerana bagi M-ELF, kumpulan Super Junior sememangnya sinonim dengan hujan. Tidak kira sama ada salah seorang atau seluruh ahli kumpulan dengan nama jolokan Suju ini, bumi Malaysia semestinya akan dibasahi hujan (walaupun adalah situasi biasa hujan di petang hari dalam peralihan monsun di sini 🤣).

Pengumuman yang singkat dari pihak penganjur MIC Entertainment mengenai tarikh konsert dan tarikh penjualan tiket ditambah lagi tiada pengumuman khas dari syarikat naungan Suju (SM Entertaiment) mahupun Label SJ, langsung tidak mengganggu gugat keinginan ELF untuk bersama merasai kehebatan stage performance dari sub-unit D & E yang merupakan sub-unit rasmi kelima dari kumpulan idol Super Junior. Ini terbukti apabila semasa hari penjualan tiket secara offline pada 13hb April yang lalu, peminat telah membanjiri Sunway Velocity Mall seawal 7 pagi bagi mendapatkan tiket, bahkan dikatakan ada yang mula beratur sejurus setelah pihak penganjur mengumumkan tarikh tiket penjualan offline demi untuk mendapatkan tiket yang diidamkan. Semestinya ELF tidak akan melepaskan peluang untuk bertemu dengan idol kegemaran mereka kali ini setelah kali terakhir mereka berkunjung di sini dalam konsert KWave 2 Music Festival yang telah diadakan di Stadium Merdeka lebih daripada setahun yang lalu.

Malaysia merupakan negara yang dipilih sebagai negara pertama bagi konsert jelajah Asia setelah D&E memulakan konsert kick-off mereka di tanah air sendiri selama dua hari pada 13hb dan 14hb April yang lalu. Status mereka yang bertalu-talu di media sosial instagram menunjukkan keterujaan mereka untuk bertemu M-ELF dan mempersembahkan kehebatan tarian serta keharmonian nyanyi mereka buat para peminat semakin tidak sabar untuk mengukir memori indah bersama. Konsert yang bermula tepat jam 4.30 petang, dihangatkan dengan persembahan lagak berani dari Donghae yang terjun dari platform yang agak tinggi dan disambut oleh penari-penari di bawah. Konsert yang berlangsung selama hampir 2 jam 30 minit dengan diserikan bersama kerlipan lightstick super-bong rasmi ELF berwarna sapphire blue yang telah dikawal secara automatik mengikut rentak lagu dan lampu menjadikan suasana di dalam stadium begitu indah dan memberikan aura seperti di konsert Super Show! Admin pun begitu kagum sekali dengan suasana tersebut!

Dengan membahagikan sebanyak 4 segmen sepanjang konsert dijalankan; Black-Red-Yellow-Blue, duo D&E yang lahir pada tahun 2011 dengan lagu debut Oppa Oppa ini berjaya menggunakan pentas dengan sepenuhnya dalam mendendangkan lebih dari 20 buah lagu popular meraka selain berinteraksi dengan para peminat. Props seperti pistol air (Dancing Out) dan scooter (Motorcycle) yang digunakan memberikan kelainan apabila mereka berdua mengelilingi stadium terutama di bahagian rockzone, di mana telah berlaku aksi-aksi lucu ‘pergaduhan’ apabila ada di antara peminat yang menyimbah air kepada mereka berdua. Aksi mereka memasak dan memakan ramen sambil menyanyi dan menari di atas pentas juga telah membuatkan para peminat ketawa tanpa henti.

 

Di akhir konsert, Eunhyuk menyatakan bahawa betapa bersyukurnya mereka dapat kembali ke tanah di mana video muzik ‘Dancing Out’ mereka dirakamkan pada lebih 10 tahun yang lalu. Beliau juga menzahirkan kelegaan apabila maknae Super Junior; Kyuhyun bakal mengakhiri latihan ketenteraan pada 7hb Mei dan mereka bakal berkumpul seluruh ahli kumpulan lengkap bagi memberikan kepuasan dalam industri muzik buat peminat yang sudah lama menanti kemunculan Super Junior dengan ahli lengkap. Donghae yang senang menggunakan tiga bahasa (bahasa korea, bahasa inggeris & bahasa cina) sekali gus pada malam itu pula memberi jaminan bahawa beliau akan lebih berusaha dalam menggubal & menghasilkan lagu yang akan memberikan kepuasan dan kelainan buat semua peminat. Mereka berdua juga berharap supaya ELF akan sentiasa memberi sokongan dan dorongan agar muzik mereka berdua terutama bagi kumpulan Super Junior semakin dikenali dan disukai oleh seantero dunia.

Komentar

comments

loading...