/[Siri 20] Kenali CHOBS, produk kosmetik Halal dari Korea Selatan

[Siri 20] Kenali CHOBS, produk kosmetik Halal dari Korea Selatan

Kosmetik halal, tidak melakukan ujian terhadap haiwan dan diasaskan oleh sayuran dan buah-buah, menghasilkan produk-produk yang organik dan berkualiti tinggi. Itulah cogan kata syarikat  yang pengkaji temui di MIHAS ataupun Pameran Halal Antarabangsa Malaysia yang telah berlangsung baru-baru ini di MITEC. Membawa nama CHOBS atau nama penuhnya di dalam bahasa Inggeris, Charm and Health Organic Beauty Store. Sebuah kedai di Korea Selatan yang mengetengahkan konsep memukaukan, sihat dan organik.

Menurut Ted Lee selaku pengurus pemasaran antarabangsa,  produk-produk kosmetik Korea mempunyai permintaan yang tinggi di seluruh dunia. Ini juga termasuklah pengguna-pengguna negara Islam yang amat mengambil berat tentang bahan-bahan yang digunakan. Ini membuatkan mereka berusaha untuk memenuhi setiap permintaan dari pengguna. Syarikat ini memperoleh sijil halal mereka dari ESMA UAE, iaitu pihak berkuasa dari Emirates dalam proses penyeragaman dan Metrologi. ESMA bertanggungjawab dalam pelbagai piawaian dan menyelia sistem dan kawalan produk halal.

Menurut Ted Lee juga, proses audit sijil halal di kilang mereka amat ketat dan dilakukan secara tahunan. Oleh itu, pengguna tidak perlu was-was lagi. CHOBS memperoleh sijil halal secara rasmi pada tahun 2017. Selain itu, mereka juga mendapat sijil dalam perlindungan alam sekitar dan komuniti vegan. Tahukah pembaca, trend clean beauty adalah inovasi terbaru dalam industri kecantikan di Korea Selatan. Bukan hanya selamat dipakai untuk kulit kita, malah mesra alam sekitar.

Produk-produk dari CHOBS merangkumi pelbagai jenis dari pencuci, toner, serum sehinggalah kepada mask muka. Malah, mereka turut mengeluarkan produk untuk kanak-kanak dan bayi juga. Produk-produk mereka sesuai untuk semua jenis kulit muka kerana dihasilkan oleh bahan-bahan asli yang lembut dan menenangkan kulit. Bagi mereka yang mempunyai kulit sensitif, amat digalakkan untuk mencuba produk-produk ini. Bayangkan sheet mask yang 100% dari bahan organik. Pasti hasilnya amat memuaskan hati.

Namun, apabila penulis bertanya bila dan di manakah mereka akan memasarkan produk mereka di Malaysia, En Ted Lee menjelaskan bahawa mereka masih dalam proses untuk memasarkan produk CHOBS di Malaysia. Yang pasti, mereka tidak akan menjual produk-produk ini di pasar raya tetapi lebih kepada di spa-spa yang terpilih. Penulis berharap tiba masanya nanti, mereka akan membuat pengumuman kepada orang ramai. Buat masa ini, pengguna boleh mendapatkan produk-produk ini melalui online seperti di Shopee atau Mudah.

Artikel ini dilaporkan terus daripada kunjungan penulis ke atas Halal Korea sebelum ini.

Komentar

comments

loading...