/[Siri 18] Si cilik pun mampu bergaya dengan solekan khas sebegini

[Siri 18] Si cilik pun mampu bergaya dengan solekan khas sebegini

Peningkatan populariti pelakon kanak-kanak dan rancangan-rancangan variasi atau realiti melibatkan kanak-kanak adalah bukan satu perkara yang luar biasa di Korea Selatan. Kini, syarikat-syarikat kosmetik juga mula mengeluarkan alat solek yang ditujukan khas untuk kanak-kanak. Hari ini, penulis ingin mengupaskan isu alat solek dan kanak-kanak sebagai satu trend baru di Korea Selatan. Kita sering mendengar atau membaca isu-isu bagaimana kanak-kanak tidak digalakkan memakai alat solek. Bukan sahaja tidak bersesuaian dengan peringkat umur, bahkan kandungan bahan kimia di dalam alat solek juga boleh memudaratkan kulit wajah si manis.

Industri kecantikan Korea Selatan kini mula meninjau ke arah generasi muda, menjadikan ia sebagai satu trend yang makin mendapat tempat di hati kanak-kanak. Namun, peningkatan trend ini sedikit sebanyak mencetuskan perbincangan dalam masyarakat Korea Selatan. Rata-rata menyuarakan kebimbangan sebagainya isu tahap piawaian kecantikan yang tinggi telah memberi kesan negatif kepada wanita dewasa, bagaimana pula sekiranya kesan sama mula terpalit kepada kanak-kanak. Adakah kanak-kanak akan dibelenggu dengan pemikiran bahawa memiliki rupa paras yang cantik menjadi pengukur kejayaan dalam kehidupan mereka. Sekiranya kepentingan terhadap paras rupa mula disemai pada umur begitu muda, apakah kesan jangka masa panjang untuk generasi akan datang.

Menurut temu bual bersama The Washington Post, kesedaran terhadap kecantikan dalam kalangan kanak-kanak ini turut bermula dengan permainan seperti anak patung dan sebagainya. Selain itu juga, ramai mengatakan mereka meniru dan mengikut ibu-ibu mereka. Di Korea Selatan kini, turut terdapat pelbagai iklan-iklan yang menggalak penggunaan alak solek dalam kalangan kanak-kanak. Sebagai contoh, memaparkan gambar kanak-kanak perempuan berpakaian seragam sekolah sedang memakai gincu bibir.

YouTube juga menjadi salah satu platform utama dalam menggalakkan penggunaan kosmetik ini. Salah satunya, saluran Lime Tube, salah satu videonya memperlihatkan kanak-kanak ini yang berumur 7 tahun, ingin memakai alat solek seperti ibunya. Video ini memperoleh 4.3 juta tontonan dan beberapa video lagi yang memperlihatkan kanak-kanak perempuan berkongsi rutin solekan untuk sekolah dan sebagainya lagi. Lime Tube juga memperlihatkan pengalaman mengunjungi Spa ShuShu dan memperoleh sebanyak 298 193 jumlah tontonan untuk video itu sahaja.

Pelopor bagi alat solekan khusus untuk kanak-kanak ini adalah sebuah syarikat yang bernama ShuSHu Cosmetic. Shushu Cosmestic atau Shushu Paint ini merupakan  di antara jenama yang paling popular di Korea Selatan. Memperkenalkan produk-produk yang dihasilkan dari bahan-bahan natural, selamat dan di dalam bungkusan yang comel. Seperti ShuShu Fancy Girl Sun Stick, Sun Cushion, Lip Magic Crayon, pewarna kuku yang berasaskan air dan pelbagai lagi.

Selain itu, mereka juga mempunyai beberapa Spa kanak-kanak di Shopping Mall terkenal di Korea Selatan seperti Hyundai, Lotte dan Shinsegye. Sekiranya anda peminat rancangan Return of Superman, pasti pernah lihat mask muka berbentuk arnab yang sering digunakan di dalam rancangan terbabit. Tetapi jangan risau, bukan hanya boleh di dapati di Korea Selatan, tetapi kini mula mengeksport produk-produk mereka ke Singapura dan Thailand dan sedang dalam proses untuk meluaskan lagi pasaran mereka.

Sumber: The Washington Post; The Korea Times, ShuShu Paint

Komentar

comments

loading...