/4 sebab ini kenapa perlu tonton drama tvN “Romance is a Bonus Book”

4 sebab ini kenapa perlu tonton drama tvN “Romance is a Bonus Book”

“Romance Is A Bonus Book” akan mula ditayangkan pada 26 Januari ini menerusi rangkaian kabel tvN dan dibintangi oleh Lee Jong Suk, Lee Na Young, Jung Yoo Jin, Kim Tae Woo, Wi Ha Joon, Kim Yoo Mi, serta ramai lagi. Pasti ramai peminat Lee Jong Suk dan Lee Na Young tidak sabar untuk menonton drama ini.

Sinopsis

Drama ini adalah bertemakan komedi romantis dan mengisahkan tentang kehidupan  mereka yang bekerja disyarikat penerbitan yang menghasilkan novel, buku dan majalah. ia juga turut fokus mengenai Kang Dang Yi lakonan Lee Na Young dan Cha Eun Ho yang dibawakan oleh Lee Jong Suk. Drama ini ditulis oleh Jung Hyun Jung yang pernah menghasilkan “I Need Romance” untuk tiga musim, “Discovery of Love,” dan banyak lagi. Manakala sutradara drama jtbc “Life on Mars” & tvN Good Wife – Lee Jung Hyo pula yang mengarahkannya.

TVC-mall WW

Cha Eun Ho seorang penulis yang genius dan merupakan ketua editor termuda di sebuah syarikat penerbitan. Beliau mempunyai personaliti yang menarik, bijak dan mesra biarpun dikatakan ada barannya ketika bekerja. Cha Eun Ho juga punya pakej rupa yang berjaya mencairkan hati ramai orang.

Kang Dan Yi pula seorang yang bersemangat tinggi yang dahulunya dicop sebagai penulis iklan popular.  Apabila gagal dalam temuduga dan terdesak untuk mencari kerja demi kelangsungan hidup, akhirnya Kang Dan Yi, menipu ‘resume’ nya sehinggakan mendapat kerja di syarikat penerbitan buku di mana Cha Eun Ho bekerja. Pelbagai kejadian yang menimpa kedua mereka di mana akhirnya membibitkan perasaan romantis antara satu sama lain.

Kenapa Anda Perlu Tonton “Romance Is A Bonus Book”

Mari penulis kongsikan kenapa anda perlu consider untuk tonton drama ini yang penulis senaraikan dari persepsi sendiri.

1.Gandingan baru Noona – Dongsaeng antara Lee Jong Suk dan Lee Na Young 

Umum ketahui, Lee Jong Suk merupakan peminat Lee Na Young dan pernah menyatakan bahawa aktres berkenaan menepati ciri-ciri wanita idamannya. Semua krew produksi juga mengetahui akan perkara ini, namun untuk mengelakkan rasa malu ketika pengambaran, Lee Jong Suk berpura-pura tidak ambil pusing dan beliau malu-malu kucing untuk menjawab pertanyaan berkaitan perkara tersebut ketika sidang media. Beliau juga melabelkan dirinya sebagai peminat Lee Na Young yang paling berjaya dan bertuah dapat digandingkan bersama idolanya.

Lee Jong Suk pernah membintangi drama yang diklasifikasikan versi noona-dongsaeng bersama Lee Bo Young menerusi “I Can Hear Your Voice”. Gandingan tersebut juga pernah memenangi Best Couple Awards di APAN Star Awards dan Korea Drama Awards sekaligus membuktikan keserasian antara mereka bukanlah rekaan.

Ini membuatkan ramai yang ingin menonton gandingan Lee Jong Suk dan Lee Na Young, sementelah, Jong Suk merupakan peminat setia pelakon wanita tersebut. Apakah Lee Jong Suk akan memberikan yang terbaik untuk menghidupkan keserasian antara mereka atau apakah beliau dapat mengulangi keserasiannya bersama noona Lee Bo Young? Penulis sememangnya menunggu untuk babak antara mereka kerana gandingan mereka ini nampak comel.

2. Kemunculan semula Lee Na Young

Drama terakhir Lee Na Young adalah menerusi “The Fugitive: Plan B” (KBS) pada tahun 2010. Selepas lapan tahun menyepi dari dunia drama tv sejak mendirikan rumahtangga bersama pelakon Won Bin, pasti ramai peminat menantikan kemunculan semula beliau.

Lee Na Young mula dikenali menerusi drama “Ruler of Your Own World”. Bila ditanya apakah penyebab untuk beliau kembali ke skrin kecil, Lee Naa Young memberitahu, ” Semasa saya membaca skrip untuk dua episode pertama, ianya nampak sangat menarik dan menghiburkan sementelah skripnya telah dihasilkan dengan baik. Karakter yang diwujudkan sangat bersesuaian dan menghidupkan lagi jalan ceritanya. Jadi saya memutuskan untuk menerima tawaran tersebut tanpa sebarang keraguan kerana saya percayakan pengarah dan penulis skrip saat pertama kali kami berjumpa. “

Apakah “Romance is a Bonus Book” mampu mengembalikan semula kegemilangan beliau untuk terus berlakon kerana suaminya juga (Won Bin) dikhabarkan turut memberikan semangat kepada beliau untuk kembali berlakon.

Penulis sendiri tidak sabar untuk menonton Lee Na Young kembali beraksi membawakan watak Kang Dang Yi yang dipenuhi elemen komedi dan romantis memandangkan kali terakhir beliau membawakan watak yang agak berat.

3. Gabungan hebat penulis skrip, Jung Hyun Jung dan pengaran Lee Jung Hyo

PD nim bersama para pelakon

Seperti yang diketahui, naskhah Jung Hyung Jung amat dikenali menerusi “Five Children”, “Discovery of Love”, and triologi “I Need Romance”. Karya beliau yang terdahulu menepati apa yang diperlukan untuk sesebuah drama yang bertemakan rom-com kerana ia ditulis dengan begitu baik, realistic, penuh emosi dan dalam masa yang sama meninggalkan kesan kepada penonton. PD Lee Jung Hyo akan turut serta bersama Jung Hyun Jung sebagai pengarah kreatif, yang mana bakatnya telah diaplikasikan dalam menjadikan “The Good Wife” dan “Life on Mars” drama yang mengagumkan.

Penulis menunggu untuk menyaksikan drama rom-com yang bukan biasa-biasa, bilamana penulis rom-com terhebat bergabung dengan pengarah yang sangat kreatif.

4. Drama rom-com pertama Lee Jong Suk dan lakonan terakhir sebelum memulakan khidmat ketenteraan

Pastinya drama ini paling dinanti-nantikan oleh peminat aktor berkenaan. Tahun lepas, Lee Jong Suk yang juga pemenang Popular Actor di 6th CariKdrama Awards, hanya membintangi sebuah drama pendek berkisarkan kisah benar berjudul “Hymn of Death”. Dengan genre yang agak berat, penulis merasakan sebahagian penonton tidak menggemari drama sebegitu, jadi mereka menantikan drama “Romance is a Bonus Book” untuk menyaksikan lakonan mantap Lee Jong Suk.

Drama bergenrekan rom-com juga adalah yang pertama buat aktor tersebut selepas beliau debut pada 2010. Lee Jong Suk ingin menamoilkan sisi beliau yang berbeza menerusi drama ini. Jika sebelum ini beliau seringkali membawakan watak-watak lelaki sempurna dengan suntikan elemen fantasi, kali ini menurutnya watak yang di bawakan lebih realistik dan matang. Ujarnya, “Sebelum ini saya banyak membawakan developing-type characters, tetapi  kali ini agak berbeza kerana karakter Cha Eun Ho sendiri hampir sempurna.” Lee Jong Suk juga merupakan peminat setia karya Jung Hyun Jung, dan disebabkan itu, beliau bersetuju untuk menerima tawaran untuk membintangi drama ini.

Akhirnya, apa yang paling dinanti-nantikan oleh peminat terjawab. Lee Jong Suk akan menjalani khidmat ketenteraannya dalam tahun ini selepas beliau mohon penangguhan pada tahun lepas. Beliau juga memberitahu, “Saya berfikir untuk mendaftar khidmat tentera tahun ini. Sebab itu saya ingin menamatkan pengambaran drama ini dengan baik. Saya mahu tunjukkan kepada peminat sisi baru lakonan saya. Lagipun, ini kali pertama saya melakonkan drama genre rom-com dan Lee Na Young banyak membantu saya, jadi saya dapat lakukan dengan baik,”. Mungkinkah kali ini Lee Jong Suk akan menyumbangkan lagi suaranya untuk runut bunyi drama ini seperti yang pernah beliau lakukan menerusi  lagu ” Come To Me” dan “Would You Know” untuk drama “While You Were Sleeping” ? Penulis menantikannya dengan penuh positif.

Nampaknya, “Romance is a Bonus Book” merupakan drama terakhir Lee Jong Suk sebelum menjalani khidmat ketenteraan selama lebih kurang 18 bulan. Pasti beliau akan dirindui oleh para peminatnya dan mungkin cafe.89mansion (cafe milik Lee Jong Suk) akan menjadi destinasi pengubat rindu para peminat.

Zaful WW

Apa yang pasti, dengan penambahan karakter-karakter lain yang turut dibintangi oleh Jung Eugene, Wi Ha Joon, Kim Tae Woo, Kim Yoo Mi, Jo Han Chul, Kim Sun Young, Kang Ki Doong dan Park Gyu Young akan melengkapkan serta menghidupkan lagi drama ini. Penulis tidak sabar untuk melihat keserasian setiap penonton dalam mempersembahkan karakter masing-masing.

“Romance is a Bonus Book” akan memulakan tayangan perdananya pada 26 Januari (Sabtu) menerusi rangkaian tvN mulai jam 9.00 KST. Kepada pengguna Netflix dinegara-negara Asia, drama ini boleh ditonton menerusi rangkaian tersebut mulai 5 Februari. Nampaknya, penulis perlu mencari alternatif lain untuk menonton drama ini, kerana ia tidak akan ditayangkan di stesen-stesen tv berbayar kita.

Info tambahan:

Malaysia kini sudah mempunyai kelab peminat rasmi Lee Jong Suk sendiri

Untuk pengetahuan anda, sebelum ini, Malaysia tidak mempunyai sebarang kelab peminat rasmi Lee Jong Suk. Jika dilihat, antara kelab peminat aktor berkenaan yang aktif adalah di Indonesia, Myanmar dan Thailand. Kadangkala, kunjungan selebriti Korea ke setiap negara bergantung kepada permintaan dan keaktifan kelab peminat selebriti berkenaan. Lee Jong Suk pernah dikhabarkan bakal mengunjungi Malaysia, namun ia masih belum membuahkan hasil yang positif.

Dengan tertubuhnya WithJS Malaysia yang kini aktif di Instagram dan aplikasi Whatsapp, ia menjadi satu hub untuk semua peminat aktor berkenaan berkumpul serta bertukar pandangan. Mereka juga sangat mengharapkan kedatangan Lee Jong Suk ke Malaysia suatu hari nanti bagi merealisasikan impian mereka. Pasti sahaja sekembalinya beliau dari tamat jalani khidmat ketenteraan dan kembali aktif dalam industri hiburan. Dan untuk menunjukkan sokongan terhadap Lee Jong Suk untuk drama terakhirnya, WithJS Malaysia turut membuat sumbangan ketika majlis sidang media “Romance is a Bonus Book” dengan kerjasama kelab peminat global Lee Jong Suk.

Apapun, jom tonton trailer drama tvN “Romance is a Bonus Book” yang pasti membuatkan anda teruja

 

Selamat menonton semua!

Sumber : (1) | (2) | (3) | (4)

Photo credited as appeared

Komentar

comments

loading...