/[Siri 13] #RespectLisa : Senjata Melawan ‘Haters’ Teragung

[Siri 13] #RespectLisa : Senjata Melawan ‘Haters’ Teragung

          Baru-baru ini riuh mengenai isu rasis yang dikaitkan dengan reaksi peminat Korea Selatan terhadap Lisa Black Pink. Lisa dikatakan menerima komen-komen negatif seperti menyuruh beliau pulang ke Thailand, mengatakan beliau hodoh, berkulit gelap kemudiannya memutihkan kulit, melakukan pembedahan plastik dan sebagainya. Isu ini bukan sahaja melukakan Lisa dan peminat Lisa, tetapi sedikit sebanyak memberi kesan kepada masyarakat Korea Selatan itu sendiri.

            Selain itu, ramai peminat-peminat antarabangsa Lisa meninggalkan komen-komen di pelbagai medium, menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap kekurangan “screen time” untuk Lisa. Contohnya, di rancangan-rancangan Live ataupun di majlis-majlis anugerah, sekiranya ada persembahan dari Black Pink, syarikat televisyen Korea Selatan tidak memberi ruangan yang adil untuk Lisa  berbanding Jennie, Jisoo dan Rose. Peminat-peminat ataupun stan Lisa mengatakan bahagian Lisa sering kali di potong ataupun kamera di alihkan dengan sengaja,  memberi fokus kepada orang lain. Ini membuatkan peminat merasakan ia mempersia-siakan wang yang mereka laburkan wang untuk Lisa.

             Walaupun komen-komen jahat ini lahir dari anti-fan ataupun hater, ia memberi kesan negatif kepada masyarakat Korea itu sendiri. Bahkan, rata-rata mula melabel dan mengupas isu bahawa masyarakat Korea sebagai rasis. Selain itu, mereka juga dilabelkan sebagai masyarakat yang minda tertutup. Ini memperlihatkan isu Lisa dan tanda pagar #RespectLisa turut di bicarakan di Malaysia, Indonesia dan juga tanah air Lisa sendiri, Thailand.

         Di Malaysia sahaja, beberapa portal media telah melaporkan dan mengulas mengenai isu #RespectLisa ini. Rata-rata pembaca juga meninggalkan komen turut mengiakan ataupun berkongsi pengalaman negatif mereka berhubung dengan masyarakat Korea. Ada juga meninggalkan komen bagaimana masyarakat Korea ini memandang rendah terhadap masyarakat Asia Tenggara.

             Sebagai contoh, penulisan Ayman Rashdan Wong mengulas bagaimana keadaan masyarakat Korea ini yang berasal dari masyarakat pertanian secara amnya bersifat agak tertutup. Di tambah dengan negara mereka yang homogenous, masyarakat mereka mempunyai sifat anti orang luar ataupun xenophobia. Di tambah oleh masyarakat Korea ini mempunyai standard kecantikan ideal yang terlalu rigid, menyukarkan lagi penerimaan mereka terhadap masyarakat luar yang lebih bersifat kepelbagaian.

            Bahkan dalam kalangan masyarakat Korea sendiri pernah meluahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap tahap piawaian kecantikan yang begitu tinggi dan rigid serta obses berkulit putih dan cerah bak porselin seperti dikatakan oleh Ayman Rashdan Wong. Penulis teringat ketika bertemu dengan Hyumin A ketika pelancaran buku beliau. Hyumin A pernah berkongsi pengalaman beliau di Korea Selatan dan beliau mengatakan “apa yang penting, untuk menjadi Kpop Idols, mereka sangat memandang dan mementingkan warna kulit (cerah) dan perlunya ada ciri-ciri wajah Asian. Walaupun kini sudah berkurangan, tetapi ciri-ciri ini adalah penting bagi mereka”. Ini memperlihatkan walaupun makin berkurangan tetapi mereka masih mementingkan warna kulit.

           Namun, Hyumin A juga mengatakan, isu ini wujud dari salah faham dan kurang pengetahuan mengenai masyarakat luar. Oleh itu, kita tidak seharusnya menghukum masyarakat Korea Selatan, bahkan yang bertindak memberi komen-komen rasis ini adalah dalam sebilangan yang kecil sahaja. Rakan seperjuangan Lisa, Bam Bam (GOT7) menyampaikan pesanan dari Lisa, yang mengatakan beliau masih lagi okay. Lisa dikatakan walaupun mengetahui mengenai komen-komen negatif ini, tetapi ia hanya dalam sebilangan yang kecil. Mereka yang menyokong dan menyayangi Lisa jauh lebih ramai dan ini membuatkan Lisa kekal positif.

 

           Ini memperlihatkan ramai masyarakat Korea yang bersifat terbuka dan menyokong bukan sahaja Lisa, tetapi idol-idol dari negara lain. Mungkin yang menulis komen-komen negatif itu dari fandom lain yang risau sekiranya kepopularan Lisa akan menggugat artis-artis pujaan mereka. Itu bukanlah isu yang besar bahkan ia adalah suatu yang normal sekiranya anda memahami dunia peminat idol ini. Cuma mungkin kali ini, apabila mereka menggunakan isu ataupun kad bangsa itu, mendatangkan impak negatif yang besar.

           Sekiranya isu negatif ini makin berterusan, ia akan meninggalkan impak negatif terhadap imej masyarakat Korea. Ini adalah suatu perkara yang tidak baik kerana ia boleh memberi kesan negatif terhadap industri pelancongan Korea Selatan dan juga industri hiburan Korea.  Oleh itu, marilah kita sama-sama mengamalkan sikap terbuka dan kurang menghukum mereka yang mungkin hanya salah faham terhadap masyarakat kita. Oleh itu, kita masyarakat Asia Tenggara perlulah lebih terbuka dan memperkenalkan budaya dan latar belakang kita ke negara lain dengan lebih positif.

Akaun Instagram Lisa

           Nota sampingan, berita baik buat peminat-peminat Lisa. Menurut Soompi, Lisa kini memiliki lebih 13 juta pengikut di akaun Instagram. Ini menjadikan beliau sebagai selebriti wanita di Korea yang mempunyai pengikut paling ramai. wooohooooo Go Lisa!!!!

Sumber : Jazminemedia; The Patriots; Lalisa.Info ; Soompi

Komentar

comments

loading...