/[Siri 9] 5 Penggemar KBeauty ini berkongsi tip-tip kecantikan di Youtube

[Siri 9] 5 Penggemar KBeauty ini berkongsi tip-tip kecantikan di Youtube

Sebelum ini penulis tidak pernah menulis mengenai isu solekan ataupun mekap. Kebanyakan penulisan lepas adalah mengenai siri penjagaan kulit. Bagi dunia Kbeauty, solekan berada pada nombor 2. Yang paling penting adalah kulit yang sihat. Sekiranya pembaca perasan, gaya solekan Korea agak nipis berbanding solekan barat.

Hari ini adalah sesi perkongsian informasi mengenai Youtuber terkenal Kbeauty. Penulis memilih lima (5) Youtuber Kbeauty dan mungkin pembaca sudah mengenali mereka. Penulis meminati dan memilih mereka untuk dikongsikan bersama adalah kerana video-video mereka ringkas dan senang untuk di fahami. Selain itu, di antara mereka boleh berbahasa Inggeris dan ada yang berbahasa Korea tetapi menyediakan sari kata untuk memudahkan pemahaman penonton.

TVC-mall WW
  1. PONY

Pony ataupun nama channel YouTube beliau, Pony Syndrome. Memiliki seramai 4.6 juta pengikut di YouTube. Pony atau nama sebenar beliau Hye-Min Park bukan hanya You Tuber yang popular tetapi juga merupakan jurusolek kepada artis popular iaitu CL. Pony pernah satu ketika dahulu viral kerana berupaya mengubah muka beliau seakan-akan wajah Taylor Swift hanya dengan menggunakan solekan sahaja. Beliau juga pernah memuat naik video cara solekan untuk mereka yang memakai hijab yang ditujukan buat peminat-peminat beliau yang beragama Islam. Ramai tidak mengetahui, Pony sebenarnya telah menerbitkan empat buah buku mengenai kecantikan namun semuanya di dalam Bahasa Korea. Selain itu, beliau turut memiliki jenama mekap tersendiri iaitu Pony Effect. Penulis memiliki beberapa alat solek Pony Effect ini. Hasilnya agak memuaskan dan berbaloi untuk dibeli.

  1. Joan Kim

Gadis kelahiran California ini, dilahirkan dan dibesarkan di Amerika Syarikat sebelum berpindah ke Seoul. Dengan jumlah pengikut seramai 335 Ribu, beliau juga dikenali sebagai Joan Keem begitu popular di YouTube di bawah nama Joanday. Beliau mula popular dengan video-video entri seperti travelog sebagai seorang Korea-Amerika di Seoul, tutorial mekap dan ulasan-ulasan produk kecantikan. Beliau pernah bekerja di salah satu sistem televisyen di Seoul sebagai personaliti TV dan pencipta kandungan media.  Penulis mengenali Joan Kim ni saat beliau melawati Malaysia. Beliau dikerumuni oleh remaja-remaja sehinggakan penulis menyangkakan beliau sebagai seorang artis Kpop.

  1. Soo Beauty

Mungkin tidak terkenal seperti Pony dan Joan tetapi penulis menyukai Soo Beauty ini kerana merasakan beliau seorang telus dan “real”. Dengan jumlah pengikut seramai 138 Ribu, anak jati Seoul ini menggunakan platform YouTube untuk berkongsi minat beliau terhadap dunia kecantikan di serata dunia. Video beliau pernah viral mengenai isu Diet IU. Yang mana beliau telah berjaya menurunkan 3 KG dalam masa seminggu dengan mengikut diet yang di amalkan oleh penyanyi popular itu. Diet itu merangkumi sebiji epal untuk sarapan pagi, ubi keledek untuk makan tengah hari dan protein shake untuk makan malam selama seminggu. Namun, beliau tidak menggalakkan orang ramai meniru diet itu kerana ia terlalu drastik dan boleh mengganggu kesihatan. Kebanyakan video-video beliau adalah tutorial mekap, ulasan produk kecantikan dan perkongsian hidup beliau.

  1. WishTrend TV

Penulis mengenali channel YouTube ini apabila salah seorang dari hos mereka Eunice datang ke Malaysia untuk mempromosikan produk penjagaan kulit berjenama Klairs di Mid Valley Megamall. Eunice adalah seorang “beauty guru” tersohor di Korea Selatan. Wishtrend TV ini adalah sebahagian daripada Wishtrend.com yang merupakan sebuah kedai kosmetik atas talian di Korea Selatan.  Channel Wishtrend TV ini bukan hanya mempromosikan produk-produk yang dijual mereka, tetapi juga memperluaskan pengetahuan dan kepakaran di Wishtrend.com dengan membantu para wanita yang menghadapi masalah kulit. Memiliki jumlah pengikut seramai 854 Ribu, saluran ini menampilkan beberapa orang hos dan bukan hanya Eunice semata-semata.

  1. SOKO Glam

Penulis adalah peminat nombor SOKO Glam. Walaupun bukan dari Korea Selatan, channel ini juga sama seperti Wishtrend TV, salah satu platform kepada kedai kosmetik atas talian. Saluran ini digunakan untuk memberi ulasan-ulasan produk yang dijual dan juga tips-tips solekan, penjagaan kulit, trend kecantikan dan berita-berita terkini mengenai dunia Kbeauty. SOKO Glam ini dikawal oleh salah seorang dari pengasas syarikat ini iaitu Charlotte Cho. Charlotte Cho adalah seorang pakar kulit  yang mana telah membantu menghasilkan beberapa produk kecantikan Korea yang popular seperti produk-produk Neogen dan Then I Met You. Charlotte Cho juga pernah menulis sebuah buku mengenai Kbeauty yang berjudul The Little Book of Skin Care yang telah lama menjadi idaman penulis. Channel YouTube SOKOGlam buat masa ini memiliki 83 Ribu pengikut. Mereka juga sangat aktif di Instagram dan Blog.

Komentar

comments

loading...