/[Ulasan Kdrama] jtbc Life : ★★★★☆

[Ulasan Kdrama] jtbc Life : ★★★★☆


Life

oleh xyla73
Rating Keseluruhan Drama: 7.5/10

1. Cerita (8/10)

Jika ada yang bertanya adakah drama ini bagus dan berbaloi untuk ditonton, jawapan saya ya tetapi bukan untuk semua orang. Drama ini bukan untuk mereka yang sukakan ‘action based’ drama atau plot cerita yang ringan. Ia juga bukan drama berbentuk thriller yang memberikan jawapan pada setiap persoalan di penamat cerita. Bagi sesiapa yang telah menonton hasil terdahulu penulis ini, Lee See Yeon iaitu Secret Forest / Stranger, mungkin akan berasa kecewa apabila anda menjangka Life bergenre yang sama seperti Secret Forest. Hakikatnya Life adalah drama yang lebih berbentuk ‘slice of life’ yang berlatarbelakangkan bisnes, politik & pentadbiran di sebuah hospital. Bagi sesiapa yang melalui pengalaman bekerja di sektor yang mengamalkan birokrasi, mungkin anda boleh relate dengan apa yang penulis cuba sampaikan. Sedikit tips mengenai bila waktu yang sesuai untuk menonton drama ini. Yang paling penting elakkan daripada menonton selepas waktu bekerja kerana anda perlu fokus untuk memahami apa sebenarnya yang penulis ingin sampaikan. Anda perlu memilih waktu di mana minda anda betul2 di dalam keadaan ‘clear’ dan tidak berserabut contohnya pada hujung minggu.

Life bermula dengan misteri kematian seorang pengarah di sebuah hospital, Sangkook University Hospital yang berlaku di rumah timbalannya. Namun ini bukanlah fokus utama drama ini kerana ada isu yang lebih besar iaitu perubahan dasar yang diperkenalkan oleh Presiden Goo Seung Hyo untuk menukar beberapa polisi di hospital itu untuk lebih menjana keuntungan. Ini sudah tentunya ditentang oleh staf di hospital tersebut kerana bertentangan dengan idealisme yang mereka dokong iaitu hospital adalah institusi yang sepatutnya memberi perkhidmatan dengan tidak mengira latar belakang pesakit. Presiden Goo yang dilantik sebagai CEO oleh pemegang saham hospital itu adalah seorang yang ‘business minded’ dan tidak mempunyai latar belakang dalam bidang perubatan. Ini mendatangkan masalah di kalangan staf di hospital itu kerana mereka menganggap bahawa beliau tidak memahami perjalanan atau bagaimana sesebuah hospital itu beroperasi.

Drama ini mengupas ‘struggle’ dalaman setiap jentera di dalam hospital ini, daripada Presiden Goo yang memegang jawatan teratas sehinggalah kakitangan bawahan seperti doktor2 pelatih dan jururawat dan juga watak2 sampingan seperti Ye Seon Woo, adik kepada Ye Jin Woo yang lumpuh setelah mengalami satu kemalangan. Watak2 di dalam drama ini adalah watak2 yang biasa kita temui di tempat kerja. Ada ketua yang sanggup backup anak2 buahnya apabila ada kesilapan dan ada juga ketua yang mementingkan diri sendiri. Ada pekerja yang cukup berdedikasi seperti Dr. Joo dan tak kurang juga yang mengambil kesempatan untuk melepaskan diri daripada melakukan tugas mereka dengan mengalihkan tugas mereka kepada rakan sekerja. Ia juga mengupas dilema yang biasa dihadapi di dalam sesebuah hospital iaitu kekurangan doktor yang mengakibatkan mereka ‘overloaded’ dan menyebabkan berlakunya kecuaian yang tidak disengajakan. Drama ini membawa kita menilai dari kedua2 perspektif, dari kacamata Presiden Goo yang lebih berorientasikan bisnes dan dari kacamata kakitangan hospital yang lebih arif tentang selok-belok hospital dalam memberikan perkhidmatan kepada orang awam.

Antara kelebihan drama ini terletak pada dialognya. Terdapat beberapa dialog yang membuatkan penonton berfikir. Salah satunya ialah di mana terletaknya nyawa sama ada pada jantung ataupun otak. Juga keluhan seorang doktor pelatih tentang apa yang mereka dapat setelah mereka berhempas-pulas belajar di universiti. Persoalan ini dihadapi oleh hampir semua orang kerana setiap tugas mempunyai cabaran yang tersendiri. Mungkin drama ini akan lebih menarik sekiranya penulis dapat menyelitkan lagi banyak unsur humor. Satu-satunya unsur humor datang daripada setiausaha Presiden Goo tetapi itu pun agak ‘subtle’. Walaupun ada sedikit unsur ‘romance’ tetapi ini tidak begitu penting untuk jalan cerita dan tidak mendatangkan apa-apa impak. Penamat cerita yang lebih berbentuk ‘open ending’ juga mungkin antara sebab kenapa drama ini kurang popular. Namun bagi saya penulis mengambil pendekatan yang betul di dalam menamatkan cerita memandangkan tema drama ini yang lebih berbentuk realiti kehidupan dan bukannya drama berbentuk misteri atau thriller.


2. Keberkesanan Lakonan (9/10)

1. Cho Seung Woo [Best Actor]

Beliau merupakan antara pelakon Korea yang mempunyai aura dan karisma tersendiri. Setiap kali beliau muncul di skrin, tumpuan penonton akan memihak kepadanya. Berbeza dengan wataknya di dalam Secret Forest, wataknya kali ini memberikannya peluang menunjukkan ‘acting range’ yang lebih meluas. Beliau amat cemerlang membawa watak Presiden Goo yang agak ‘multi layered’. Postur badan, gerak langkah, intonasi suara dan mimik muka memang menjadi yang mencerminkan seorang CEO yang berketrampilan. Beliau menunjukkan air muka yang tegas dan kadang2 sinis di dalam babak di mana Presiden Goo berhadapan dengan staf hospital itu. Tetapi apabila berhadapan dengan pengerusi Hwa Jeong Group, beliau menjadi seperti seorang yang patuh dan hormat kepada orang atasannya. Begitu juga apabila beliau bersama dengan orang yang rapat dengannya secara peribadi seperti ibunya atau rakannya di dalam hospital itu, beliau menunjukkan air muka yang ramah. Wataknya digambarkan seolah-olah watak antagonis pada awalnya tetapi penonton dibawa untuk lebih memahami wataknya di penghujung drama bahawa beliau hanyalah menjalankan tugas seperti yang diamanahkan.

2. Woo Jin Ah

Watak Lee No Eul yang dilakonkan oleh Won Jin Ah tidak cukup memberi impak untuk dicalonkan sebagai Best Actress. Watak beliau agak tenggelam jika dibandingkan dengan watak-watak lain di dalam drama ini.

3. Yoo Jae Myung [Best Supporting Actor]

Beliau memegang watak sebagai Dr. Joo Kyung Mun yg sangat berdedikasi. Walaupun berjawatan ketua tetapi sangat komited terhadap pesakit. Beliau adalah satu-satunya doktor yang bukan graduan daripada Sangkook University yang menyebabkan beliau dipulaukan oleh doktor2 lain. Beliau boleh nembangkitkan rasa simpati penonton kerana air mukanya yang kadang-kala seperti seseorang yang patut dikasihani. Beliau menterjemahkan watak Dr. Joo dengan baik, seorang yang pakar di dalam bidangnya tetapi kurang mahir di dalam bidang kepimpinan dan interpersonal skills. Wataknya kali ini berlawanan dengan watak yang dibawakannya di dalam Secret Forest.

4. Moon So Ri [Best Supporting Actress]

Beliau memegang watak Dr. Oh Se Hwa, ketua jabatan neurosurgery wanita yang pertama yang kemudiannya dilantik sebagai pengarah hospital itu melalui undi dengan menewaskan Dr. Joo. Beliau sangat meyakinkan sebagai seorang doktor yang berkarisma. Intonasi suara dan lirikan matanya cukup menggambarkan beliau seorang ketua yang disegani..

3. Aspek teknikal (Lakon layar, teknik pengarahan, sinematografi) (7/10)

Sebagaimana kebanyakan drama Netflix Original Series yang lain, dari segi teknikal agak memuaskan. Lighting yang digunakan bersesuaian, tidak terlalu kelam dan tidak terlalu cerah. Dapat dilihat secara visual yang ia lebih berkualiti daripada drama-drana yang disiarkan di saluran publik di Korea. Muzik latar belakang pula bagi saya agak keterlaluan dan lebih sesuai digunakan untuk drama bergenre thriller. Mungkin ini adalah penyebab kenapa sebahagian penonton menjangkakan drama ini bergenre thriller tetapi kecewa apabila mengetahui yang ia bukan drama sedemikian.

.

4. Skor muzik (3/5)

(Penulis tak memberikan sebarang komen)


5. Kebarangkalian untuk tontonan semula (3/5)

(Penulis tak memberikan sebarang komen)

Rating Keseluruhan Drama: 7.5/10

(Anda boleh tonton siri ini di Netflix : https://www.netflix.com/my/title/81011508 )

Komentar

comments

loading...

Admin Kmania.