/[Siri 6] Gerakan Musnahkan Mekap Korea Semakin Menjadi-jadi?

[Siri 6] Gerakan Musnahkan Mekap Korea Semakin Menjadi-jadi?

#EscapeTheCorset

Terdahulu, pada tahun 1968 pada hari berlangsungnya pertandingan Miss America, telah berlangsung satu tunjuk perasaan dalam kalangan wanita. Mereka bukan sahaja membawa sepanduk, meluahkan perasaan tidak puas hati, bahkan mereka membakar barangan seperti pakaian dalam, kasut tumit tinggi, alat solekan, bengkung, majalah wanita dan semua barangan yang mereka sifatkan sebagai alat-alat penyeksaan wanita.

7 September 1968

Tunjuk perasaan ini dilakukan kerana mereka menganggap bahawa pertandingan ratu cantik ini satu representasi objektifikasi wanita, meletakkan satu tekanan dalam bagaimana perilaku dan standard kecantikan seorang wanita, memperlakukan mereka seperti daging, objek seksual dan ketika itu terdapat isu perkauman dalam pertandingan ratu cantik.

Walaupun ketika itu, hal ini menerima pelbagai maklum balas, namun mereka yang menyertai sesi tunjuk perasaan ini mengakui bahawa mereka amat seronok dan berasa begitu gembira dan bebas. Bagi mereka, pertandingan Miss America adalah satu cara untuk menyampaikan mesej mereka seluruh negara.


Oleh itu, apakah perkaitan hal ini dengan Kbeauty? Jangan terkejut ya para pembaca. Baru-baru ini bermula satu gerakan dalam kalangan wanita Korea Selatan yang disebut sebagai Escape The Corset. Gerakan ini mula popular di rangkaian media sosial dengan tanda pagar #EscapeTheCorset.

SBS News

Gerakan ini memperlihatkan sebilangan wanita Korea selatan memperlihatkan wajah polos di Twitter, Instagram dan beberapa laman komuniti atas talian yang lain. Selain itu, mereka juga memuat naik video-video mereka memusnahkan produk-produk kecantikan, alat solek, dan memotong pendek masing-masing sebagai tanda protes terhadap standard kecantikan sempurna di sana. Golongan ini adalah sebahagian dari gerakan yang makin meningkat untuk melawan standard yang memerlukan wanita menghabiskan masa berjam-jam untuk mekap dan menghadapi rejim kulit wajah yang begitu rumit untuk mencapai wajah idaman mereka semua.

SBS News

Di Korea Selatan, tahap piawaian kecantikan yang begitu tinggi dan rigid dan rata-rata begitu obses pembedahan plastik. Bagi mereka cantik dan sempurna itu adalah, berkulit putih dan cerah, bermata besar, hidung mancung, kaki yang langsing dan panjang, bibir merah dan berwajah kecil. Menjadi ciri-ciri ini sebagai penanda aras sebagai cantik, menyebabkan berjuta-juta wanita berusaha untuk memiliki rupa yang sama. Pernahkah pembaca menonton drama My ID Is Gangnam Beauty, pelbagai mesej yang tersirat mengenai isu ini di dalam drama terbabit. Penulis merasakan drama ini banyak menekankan isu-isu tekanan sebagai wanita untuk kelihatan cantik, namun makna cantik itu sepatutnya berbeza-beza dengan setiap orang, masyarakat dan budaya.

SBS News

Wanita-wanita yang melakukan gerakan ini adalah mereka yang begitu rimas dan muak dengan rutin-rutin kecantikan ini sehinggakan menyamakan alat solekan seperti penyeksaan memakai  bengkung atau korset. Persamaan ini dilihat kepada zaman dahulu, ketika golongan wanita terpaksa memakai bengkung sebagai sebahagian dari pakaian mereka selama bertahun-tahun untuk mencapai bentuk badan yang seragam.

SBS News

Keputusan untuk menolak alat solekan ini sebenarnya adalah hanya sebahagian kecil dari kempen melawan standard kecantikan. Rata-rata semakin ramai wanita mula mempromosikan sikap dan kesedaran badan yang positif. Ramai juga mula mencabar kepada definisi kecantikan yang begitu rigid dengan harapan, mereka bukan hanya melawan objektifikasi seksual wanita bahkan mengubah status wanita yang dilihat seolah-olah di bawah kaum lelaki.

Lina Bae

Salah satu pejuang gerakan ini adalah Lina Bae, yang sebelum ini merupakan Youtuber Mekap tersohor dan kini beliau lebih kepada mempromosikan mesej-mesej postif dan lebih kepada kehidupan peribadi beliau. Namun, bagi Lina, apabila beliau mula mendengar perihal #EscapeTheCorset ini, beliau membuat keputusan untuk membaca komen-komen di akaun Youtube beliau. Apa yang disedari oleh beliau adalah kebanyakan komen adalah dari remaja-remaja sekolah yang menyatakan mekap memberi mereka kekuatan untuk ke sekolah. Itu menjadi satu titik perubahan bagi beliau, beliau kemudiannya membuat videoyang membawa mesej kepada golongan muda ini untuk berasa selesa dengan diri sendiri tanpa memakai mekap dan sesungguhnya tidak memakai mekap itu adalah sesuatu yang okay. Video itu kemudian ditonton sebanyak 5.5 juta kali dan pengikut beliau bertambah kepada 147 000 orang.

Seperti yang dijangkakan, gerakan ini tidak diterima positif oleh semua pihak bahkan mereka yang mempelopori gerakan ini sering kali menerima komen serta ugutan yang agak kasar dari segelintir masyarakat. Tapi pada masa yang sama, jenama solekan di Korea Selatan ada yang menerima hal ini dengan baik. Sebagai contoh Missha telah mengeluarkan satu iklan memaparkan seorang gadis berambut pendek dan memiliki freckles pada wajahnya. Dengan tagline ” Get out, Expose your flaws and follow your own standards rather than others”. Pada pendapat penulis, ia satu pesanan yang positif dan perlu diperdengarkan kepada setiap wanita di dunia.

Trend ini sebenarnya sebahagian daripada satu usaha yang lebih besar untuk mencabar mentaliti masyarakat yang masih ke arah patriarki. Gerakan ini juga dikatakan terinspirasi daripada gerakan Hollywood #metoo yang mana telah mengegarkan dunia politik dan masyarakat. Arah aliran ini juga memperlihatkan peningkatan dalam bilangan rekod wanita yang menuntut kesamaan gender dan melawan isu-isu seperti penggambaran haram, penyembunyian kamera tertutup, pengintipan  dan serangan seksual terhadap wanita.

p/s. Dalam beberapa tahun ini, artis-artis Hollywood juga mula untuk memberanikan diri muncul di acara-acara rasmi dengan wajah polos yang mula dipopularkan oleh Alicia Keys.

Sumber : SBS News ;Cosmetics Business; The Guardian ; The New York Times

Artikel terdahulu:

Siri 1: https://kmania.info/2018/10/23/siri-1-misteri-di-sebalik-kecantikan-selebriti-korea-yang-putih-berseri/

Siri 2: https://kmania.info/2018/10/29/siri-2-seminggu-bersama-produk-kosmetik-dari-pure-theory/

Siri 3: https://kmania.info/2018/11/09/siri-3-10-langkah-penjagaan-kulit-kbeauty-yang-anda-perlu-tahu/

Siri 4: https://kmania.info/2018/11/13/siri-4-tujuh-selebriti-korea-ini-berkongsi-tip-tip-kecantikan/

Siri 5: https://kmania.info/2018/11/24/kenali-jenis-jenis-masker-muka-kbeauty/

Komentar

comments