/3 sebab kenapa perlu tonton drama “Hymn of Death”

3 sebab kenapa perlu tonton drama “Hymn of Death”

Drama khas tiga episode “Hymn of Death” lakonan Lee Jong Suk dan Shin Hye Sun akan disiarkan di SBS 27 November ini dan ia juga turut mendapat perhatian pihak Netflix untuk menayangkannya menerusi cenel mereka. “Hymn of Death”  adalah sebuah drama yang diadaptasi dari sebuah filem (juga tajuk yang sama) keluaran tahun 1991. Bertemakan romantik, melodrama dan kisah sejarah, drama ini berdasarkan sebuah kisah benar tentang kisah cinta antara penyanyi bersuara soprano pertama Korea, Yun Sim-deok dan penulis skrip yang genius,  Kim Woo-jin.

Lee Jong Suk akan membawakan watak sebagai Kim Woo Jin dan Shin Hye Sun sebagai Yun Sim-deok.

Oleh kerana kisah ini mendapat perhatian ramai, perjalanan kisah cinta mereka yang indah dan bertukar tragis ini telah dipersembahkan semula dalam pelbagai me termasuk filem, drama dan dipentaskan secara muzikal.


Sedikit informasi mengenai filem “Hymn of Death” atau “Death Song”.

Filem “Death Song” menceritakan kisah Yun Sim-deok,  seorang wanita Korea yang sedang mengikuti pengajian menyanyi di Universiti Tokyo pada tahun 1920-an, dan beliau telah jatuh cinta dengan seorang lelaki Korea, Kim Woo Jin yang mengikuti pengajian sastera. Bagaimanapun, di saat itu, Kim Woo Jin telahpun berkahwin.  Mereka berdua meninggalkan Jepun bersama-sama, dan kembali ke Korea dengan menaiki kapal. Namun semakin mereka menghampiri destinasi yang dituju, mereka merasakan semakin hampir mereka akan berpisah.  Mereka mengambil keputusan terjun ke dalam laut untuk mati bersama.

Filem yang dikeluarkan pada tahun 1991 telah diarahkan oleh Kim Ho Sun itu telah dibarisi pelakon seperti Chang Mi-hee ( yang memegang watak Yun Sim-deok), Lim Seong Min (sebagai Kim Woo-jin),Lee Geung-young (Hong Nan-pa), Kim Hye-ri (Yun Seong-deok), Kim Seong-su (Lee Yong-mun) dan Jo Min-ki (Hong Hae-seong).

Terdahulu, kisah hidup Yun Sim-deok pernah difilemkan pada tahun 1969 dengan tajuk “Yun Sim-deok” arahan An Hyeon-cheol dan dilakonkan oleh Moon Hee. Namun, tiada maklumat lanjut berjaya penulis temui berkaitan filem ini.

Sebelum penulis bekalkan tiga sebab kenapa anda perlu menonton drama ini, biarlah penulis menceritakan sejarah kisah Yun Sim-deok dan Kim Woo Jin.

Siapa Yun Sim-deok dan Kim Woo Jin

Yun Sim-deok dilahirkan di Pyongyang pada tahun 1897 dan kedua dari empat beradik. Beliau  terkenal dikalangan adik-beradiknya kerana mempunyai bakat muzik yang luar biasa dan pelajar pertama Korea yang mendapat biasiswa dari  Kerajaan untuk belajar seni muzik vokal di Tokyo Music School. Beliau juga merupakan orang Korea pertama yang memasuki institusi berkenaan.

Yun Sim-deok memiliki personaliti yang ceria. Ketika mengikuti siri jelajah pementasan teater ketika belajar di Tokyo, beliau bertemu dengan Kim Woo-jin buat kali pertama yang merupakan ‘mastermind’ bagi pementasan tersebut. Kim pada masa itu sedang mengikuti pengajian kesusasteraan Inggeris di Waseda University. Siri jelajah ini diadakan bagi mengumpul dana untuk membantu sekumpulan pekerja Korea di Jepun. Sepanjang siri jelajah pementasasn teater ini yang kemudiannya diadakan di Korea, Yun Sim-deok dan Kim Woo-jin menjadi semakin rapat.

Dilahirkan dalam keluarga pemilik tanah besar di Wilayah Jeolla, Kim sudahpun berkahwin. Isteri dan anak-anaknya ketika itu tinggal di Korea. Kim Woo Jin adalah seorang pengkritik sastera profesional pertama dalam sejarah kesusasteraan Korea. Beliau juga seorang penyair, penulis esei dan dramatis yng begitu bernilai dalam bidang teater Korea dan kesusasteraan. Ahli sejarah kesusasteraan Korea dan para penyelidik teater Korea moden memberi perhatian khusus terhadap pandangan beliau mengenai kesusasteraan. Kim Woo Jin sangat berpengetahuan luas tentang kesusasteraan Barat dan beliau telah mengambil pendekatan dasar pandang ke barat dari segi teknik penghasilan novel sastera terutama dengan output nya yang dramatik. Biarpun dikhabarkan hasilnya  mungkin sederhana namun ia  sangat unik berbanding dengan karya-karya penulis-penulis Korea yang lain pada tahun 1920-an.

Pandangan artistik Kim Woo Jin dibentuk di bawah pengaruh rasionalisme metafizik Schopenhauer, teori nilai relativist Nietzsche dan falsafah kehidupan intuitif Bergson. Kim tidak menghadkan dirinya pada konvensyen sastera realisme yang popular di kalangan intelektual Korea tetapi tidak lama kemudian beliau menunjukkan minat terhadap ekspresiisme Jerman avant-garde yang mengiktiraf opsyen baru teater dan ekspresi artistiknya yang tidak terbatas. Bercerita soal isu sosial, Kim Woo Jin adalah pengarang drama pertama dalam sejarah kesusasteraan Korea apabila menghasilkan karya berunsurkan romantis.

Pada tahun 1923, menjadi tahun permulaan Yun Sim-deok bergelar penyanyi soprano professional pertama Korea. Debut pertamanya ketika membuat persembahan di Pusat Pemuda di Jongro, Seoul. Namun selepas beberapa persembahan, beliau sedar ianya tidak menjanjikan pendapatan yang lumayan. Adalah menjadi kelaziman bagi pelajar yang dihantar ke luar negara oleh kerajaan untuk bekerja sebagai guru di sekolah awam selepas pulang ke tanaj air. Yun menunggu untuk sebulan tetapi beliau tidak diberikan tawaran mengajar. Yun semakin terkenal sebagai penyanyi utama negara, namun oleh kerana kesempitan hidup beliau akhirnya memutuskan untuk menjadi penyanyi pop dan pelakon sebagai kelangsungan hidup.

Sejak dari itu, Yun terlibat dalam beberapa skandal sehinggakan beliau dikatakan akan berkahwin dengan orang kaya di Wilayah Hamgyeong. Kim Woo-jin, yang kembali ke Korea pada masa yang sama, mahu meneruskan kerjayanya dalam bidang kesusasteraan dan drama. Namun, hasratnya itu ditentang keluarga dan membuatkan beliau meninggalkan rumah serta memutuskan untuk kembali ke Jepun pada tahun 1926.

Pada masa yang sama juga, Yum Sim-deok kembali ke Jepun kerana  syarikat rakaman Jepun Nitto di Osaka menawarkan untuk merakam lagu-lagunya pada bulan Julai 1926. Apabila selesai sesi rakaman pada 1 Ogos, Yun Sim-deok meminta pengarah syarikat itu untuk merakamkan sebuah lagi lagu bertajuk ‘In Praise of Death.’ Ia berdasarkan pada muzik klasik Barat ‘The Waves of the Danube,’ di mana beliau sendiri yang menulis liriknya. Terdahulu, Yun Sim-deok menghantar telegram kepada Kim Woo-jin dan memintanya datang ke Osaka. Beliau mengugut untuk membunuh diri sekiranya Kim Woo-jin tidak datang.  Kim menerima telegram di Tokyo dan bergegas ke Osaka untuk berjumpa dengan Yun. Pada 4 Ogos, kedua-duanya melompat ke laut dalam dari sebuah kapal penumpang yang membawa mereka dari Simonoseki ke Busan. Pada ketika itu,kedua-duanya berusia 29 tahun.

Kisah bunuh diri seorang wanita moden dan kekasihnya si suami orang mencetuskan fenomena di Korea. Album terakhir Yun mencatat kejayaan luar biasa apabila terjual sebanyak 100 ribu salinan yang mana angka tersebut dianggap luar biasa pada masa itu. Lirik lagu ‘In Praise of Death’ berbunyi, “Oh, kehidupan, kamu berjalan melalui padang belantara yang luas. Ke mana kamu pergi? ” Ramai yang membayangkan lagu ini, yang menampilkan suara sedih Yun dan liriknya yang melambangkan hidup ini adalah sia-sia. Ini adalah kata-kata terakhir beliau yang menggambarkan kekecewaanya terhadap realiti budaya hidup negara asalnya yang lemah dan halangan bersifat Confucianism yang hebat.

Jom dengarkan lagu “Death Song” nyanyian asal Yun Sim-deok dan dinyanyikan semula oleh Bada

Tiga (3) sebab mengapa anda perlu menonton drama “Hymn of Death”.

1.Versi filem telah diiktiraf filem terbaik

Filem “Death Song”  telah diiktiraf sebagai filem terbaik dibeberapa anugerah. Ia juga turut memenangi beberapa anugerah  lain termasuk kategori utama dan teknikal, antaranya pelakon wanita terbaik, pelakon lelaki terbaik, pelakon pembantu terbaik, Screenplay terbaik, Pengarah terbaik dan beberapa anugerah lagi di Chunsa Film Art Awards 1991, Blue Dragon Film Awards 1991 dan di Grand Bell Awards 1992. Anda boleh lihat penuh anugerah yang telah digondol filem ini di SINI.

Dengan kemenangan yang diperoleh, boleh dikatakan keseluruhan proses pembikinan filem serta mereka yang terlibat telah memberikan yang terbaik sehingga berjaya mencuri perhatian juri dan para penonton. Filem terbaik adalah satu pengiktirafan yang dinantikan para penggiat filem yang menandakan kualiti hasil kerja  dan kejayaan mereka berkomunikasi dengan penonton menerusi persembahan karya ini.   Ini membuatkan ramai yang ingin menonton kisah ini dalam bentuk drama pula.

2. Gandingan pelakon yang hebat

Sebahagian para pelakon “Hymn of Death”

Drama ini dibintangi oleh Lee Jong Suk, Shin Hye Sun, Lee Ji Hoon, Lee Sang Yeob, Kim Won Hee, Shin Jae Ha, Kim Myung So,Oh Eui-Sik, Hwang Young-Hee, Jang Hyun-Sung dan Bae Hae-Sun. Kesemuanya merupakan pelakon yang berbakat besar dan amat mencintai dunia lakonan. Untuk makluman, Lee Jong Suk, Shin Hye Sun serta Lee Ji Hoon pernah membintangi drama KBS – School 2013. Drama ini menjadi gelanggang penyatuan semula tiga pelakon ini selepas lima tahun. Di samping itu, boleh dilihat majoriti pelakon drama ini adalah barisan mereka yang pernah membintangi drama SBS – While You Were Sleeping kerana drama “Hymn of Death” diarahkan oleh pengarah drama tersebut,iaitu Park Soo Jin.

Kim Won Hee, Hwang Young Hee, Lee Sang Yeob dan Lee Jong Suk masing-masing telah memenangi Popular Ahjussi, Popular Ahjumma, Popular Villain dan Popular Actor di 6th CariKdrama Awards 2017 menerusi drama “While You Were Sleeping”. Bahkan drama itu juga turut memenangi Favorite drama dianugerah yang sama.

Bakat lakonan pelakon utama (Lee Jong Suk dan Shin Hye Sun) tidak dapat disangkal lagi kerana mereka telah membintangi pelbagai drama serta filem dan mendapat pengiktirafan dengan memenangi pelbagai anugerah. Tidak hairan populariti yang diraih hari ini adalah hasil kerja keras masing-masing. Kedua-dua pelakon ini punya pengikut yang tersendiri kerana mereka sentiasa memastikan untuk memberikan persembahan yang terbaik. Mereka begitu tulus, dan penuh bersemangat dalam kerjaya masing-masing kerana mereka begitu cintakan dunia lakonan. Bahkan, Lee Jong Suk tidak mengenakan sebarang bayaran untuk membintangi drama ini kerana beliau amat menyukai naskhah ini dan sebagai tanda sokongan kepada tuan pengarah.

Disebabkan drama ini berkisar kisah cinta yang tragis, penulis begitu berminat untuk melihat keserasian Lee Jong Suk dan Shin Hye Sun sebagai pasangan yang bercinta. Apakah mereka berdua berjaya menghidupkan watak sebenar Kim Woo Jin dan Yun Sim-deok? Apakah penyampaian mereka kelak akan dapat menarik perhatian penonton seperti mana dalam versi filem? Bukan apa, karya sebegini akan sentiasa berkait dengan ekspressi muka dan permainan emosi. Seandainya, persembahan mereka tidak melepasi tahap sepatutnya, drama ini pasti akan menjadi hambar. Apapun, penulis percaya dengan kehebatan bakat dua pelakon ini dalam menghidupkan karakter masing-masing.

3. Mengupas sisi yang berbeza dari versi filem

“Death Song” adalah tajuk sebuah lagu paling popular yang dinyanyikan oleh penyanyi soprano pertama Korea, Yun Sim Deok yang diterbitkan pada tahun 1926. Kisah hidup Yun Sim Deok telah difilemkan dan dipentaskan secara muzikal. Bagaimanapun, drama terbitan SBS ini (arahan Park Soo Jin dan skrip ditullis oleh Jo Soo-Jin) akan menampilkan sesuatu yang berbeza, kerana ia bukan sahaja menceritakan tentang kisah cinta tragis Yun Sim Deok dan Kim Woo Jin, tetapi ia akan memaparkan kisah tentang siapakah sebenarnya Kim Woo Jin yang selama ini tidak ditonjolkan kepada umum. Menurut pengarah drama ini, beliau yakin Lee Jong Suk dapat menggambarkan watak Kim Woo Jin dengan sempurna sebagai seorang pencinta yang setia dan seorang lelaki yang penuh dengan cita-cita.

Kim Woo Jin seorang pengarah teater yang mengetuai persatuan teater pelajar Korea di Jepun. Beliau sangat menyanjung bahasa ibundanya (Korea) meskipun berada jauh dari tanah air dan sangat cintakan bidang penulisan. Disebabkan rasa cinta terhadap negaranya yang waktu itu di bawah pemerintahan Jepun, menerusi persatuan tersebut beliau menghasilkan karya-karya yang bersifat cintakan tanah air. Semasa Kim Woo Jin ingin membuat pementasan teater, di situlah beliau bertemu dengan Yun Sim Deok yang bertindak sebagai penyanyi.

Jom tonton teaser drama ini

Sudut pandang penulis

Bagi pendapat penulis sendiri, sesebuah karya yang berdasarkan kisah sebenar sememangnya satu genre yang berat. Disamping untuk mengekalkan ‘originality’, pemilihan tenaga kerja termasuk pengarah serta penulis skrip dan pelakon adalah sesuatu yang perlu dititikberatkan. Dan bagi naskhah yang diadaptasi, olahan skrip serta aspek teknikal termasuk pengarahan dan sinematografi perlu disuntik dengan sedikit elemen segar agar naskhah ini mampu menambat hati penonton. Disamping itu ia akan memberikan kesegaran yang baru kepada karya ini. Begitulah juga harapan yang penulis letakkan untuk drama “Hymn of Death” ini.

Penulis pasti, mereka yang pernah mengikuti kisah Yun Sim-deok dan Kim Woo Jin menantikan drama ini. Mungkin mereka ingin melihat kemampuan pelakon generasi kini membawakan watak berkisar sejarah dan juga ingin mengetahui siapa sebenarnya Kim Woo Jin. Rata-rata ada mengatakan Kim Woo Jin seorang yang curang terhadap isteri dan anak-anak. Penulis juga inginkan kepastian, apakah kehadiran Yun Sim-deok mengisi ruang-ruang kosong yang tidak mampu diisi oleh isterinya atau perkahwinan Kim Woo Jin itu sebenarnya bersifat politik kerana ayah beliau adalah orang yang berpengaruh. Berapakah nilai cinta dan kasih sayang Yun Sim-deok dan Kim Woo Jin sehinggakan mereka beranggapan hanya kematian yang akan menyatukan mereka.

Apapun, penulis menantikan drama ini kerana tertarik dengan plot ceritanya yang penuh tragis. Apakah ia nanti berjaya merobek perasaan penulis atau sebaliknya. Mendengarkan lagu “Death Song” ini sendiri, penulis dapat membayangkan betapa sedihnya perjalanan hidup Yun Sim-deok ini sehingga penulis beranggapan semasa lagu ini ditulis adakah beliau telahpun memilih untuk mati sebagai pengakhiran hidup bersama dengan orang yang dicintai suatu ketika nanti.

Jadi, jika anda seperti penulis ingin menonton drama ini, anda boleh mengikutinya di cenel Netflix.

Sumber : KBSworld | CEJSH

Komentar

comments