/Review Burn The Stage : The Movie (dari pandangan peminat biasa)

Review Burn The Stage : The Movie (dari pandangan peminat biasa)

Hari Khamis lalu adalah tayangan perdana filem berkisar kumpulan kpop terkenal Bangtan Boys atau lebih dikenali sebagai BTS, “Burn The Stage : The Movie”. Filem ini hanya ditayangkan di  pawagam-pawagam GSC  yang terpilih di Malaysia. Yang paling menarik ianya ditayangkan serentak pada 15 November di seluruh dunia. Penulis telah diminta oleh seorang kawan (seorang peminat BTS atau dikenali sebagai ARMY) untuk bantu membelikan tiket dan seperti sangkaan penulis jualan tiket filem tersebut sangat laris. Laman Facebook GSC dihujani permintaan peminat untuk menambahkan lagi dewan dan pawagam. GSC telah bersetuju menunaikan permintaan permintaan dan dapatlah penulis membeli tiga tiket filem. Turut dikhabarkan server GSC juga turut “down” ketika itu.

Penulis hanyalah peminat Kpop biasa yang tahu lagu-lagu hits BTS dan bukanlah seorang “ARMY”. Anda boleh dikategorikan sebagai “ARMY” jika anda mendengar semua lagu-lagu BTS serta boleh menyanyikan liriknya dengan baik, hadir ke konsert mereka dan membeli produk-produk yang dikeluarkan oleh BTS. Eh, jangan risau dengan pandangan penulis. Anda masih lagi “ARMY” biarpun anda tidak mampu ke konsert mereka asalkan anda mengetahui dengan baik tentang ahli-ahli BTS dan sejarah penubuhan mereka serta sentiasa ikuti perkembangan terkini kumpulan tersebut.  Tan Sri Tony Fernandes juga telah memberikan petunjuk yang positif menerusi akaun instagram beliau, bahawa BTS mungkin akan  kembali ke Malaysia.

“Burn The Stage : The Movie” mengisarkan kisah perjalanan tujuh (7) ahli BTS – RM, Jin, Suga, J-Hope, Jimin, V dan Jungkook mengadakan konsert jelajah “BTS Wings”. Ini termasuklah kenangan mereka menjadi artis Kpop yang pertama menghadiri dan memenangi Anugerah Billboard di Amerika. Ia juga turut merangkumi kisah di belakang pentas ketika mereka mengadakan konsert di Chile, Thailand, Australia dan banyak lagi di mana mereka turut diuji dengan kecederaan fizikal.  Filem ini turut menunjukkan sisi ahli BTS apabila mereka berehat dari soroton lampu-lampu pentas dan sorakan peminat.

Trailer “Burn The Stage : The Movie”

Sebagai seorang peminat Kpop, penulis boleh memahami perjalanan serta liku-liku yang dihadapi oleh seorang idola kerana ianya adalah impian yang sama untuk semua idola. Mereka gembira di atas pentas , sorakan peminat adalah penyokong utama dalam kerjaya mereka untuk terus menghiburkan peminat.  Namun penulis juga berharap jika pihak produksi filem ini turut memasukkan satu atau dua lagu penuh  dari jelajah konsert mereka untuk lebih istimewa.

Filem ini memang didedikasikan khas untuk “ARMY”. Penulis ada terdengar seorang peminat yang duduk berdekatan ketawa tiba-tiba walaupun saat itu hanyalah scene seorang dari ahli BTS memegang segelas wain.  Penulis tidak rasa lucu tetapi penulis faham , apa sahaja aksi yang BTS lakukan, ianya boleh mengukir senyuman dibibir para “ARMY”. Filem “Burn The Stage” mungkin kelihatan mendatar bagi bukan peminat Kpop. Namun jika anda memilih untuk menjadi seorang penghibur, filem ini boleh menjadi inspirasi  bagaimana kerja keras yang dilalui boleh membawa pulangan yang membanggakan.

BTS bukan sahaja memberikan kenangan manis serta aksi-aksi yang jarang diperlihatkan sepanjang filem ini bahkan merema juga turut memberikan kejutan lain di akhir filem. Tertera dilayar pada akhir tayangan tertulis pesanan BTS; SPECIAL THANKS TO OUR WINGS, ARMY (Terima kasih khas untuk peminat kami, ARMY).

“Burn The Stage” masih ditayangkan di pawagam-pawagam GSC yang terpilih sehingga 18 November. Jadi pada yang belum lagi menonton, anda masih lagi berpeluang untuk berbuat demikian.

Gelagat “ARMY” disekitar “Burn The Stage” movie screening di GSC.

Komentar

comments

loading...