/Kelibat Seo In Guk buat penonton seriau di dalam tvN The Smile Has Left Your Eyes

Kelibat Seo In Guk buat penonton seriau di dalam tvN The Smile Has Left Your Eyes

Cenel tvN jarang mengecewakan penonton dengan hidangan drama yang berkualiti. Kali ini, sebuah naskah terbaru yang diadaptasikan daripada drama Jepun, 100 Million Stars From The Sky seakan-akan tepat pada masanya ketika penonton betul-betul dahagakan drama berbentuk suspens dan misteri, yang turut disuntik dengan elemen melodramatik.

Bayangkan lelaki yang korang temui telah buatkan korang jatuh cinta padanya tapi korang tak menyedari langsung bahawa dia sebenarnya berniat untuk mencabut nyawa korang pada suatu masa nanti? Begitu lah serba-sedikit bagaimana cerita membawa kita mengenali watak Kim Moo Young lakonan Seo In Guk  yang penuh dengan kemisterian kerana selalu muncul berdekatan dengan lokasi pembunuhan beberapa orang gadis.

tvN The Smile Has Left Your Eyes bermula dengan kematian seorang gadis akibat terjatuh dari bangunan apartment. Pada mulanya polis beranggapan gadis ini dibunuh oleh kekasihnya, tetapi detektif Yoo Jin Gook lakonan Park Sun Woong berfikiran sebaliknya. Yoo Jin Gook mengesyaki suspek seorang yang mementingkan kesempurnaan (‘perfectionist’) kerana dapat mengaturkan barang-barang serupa dengan keadaan asalnya, sekaligus menunjukkan suspek bukan kekasih gadis tersebut. Dalam pada masa sama, Yoo Jin Gook selalu bersemuka dengan Kim Moo Young di kawasan perumahannya lalu menimbulkan rasa sangsi yang kuat terhadapnya.

Kim Moo Young bekerja sebagai pengadun arak bir dan membuat kerja-kerja sambilan membaiki. Kedatangan Kim Moo Hyung sebagai penghidang arak bir ke satu tempat yang dihadiri anak-anak orang kaya membuatkannya senang untuk bersemuka dengan gadis-gadis tersebut. Penonton akan disajikan dengan bagaimana Kim Moo Hyung berjaya mengayatkan mereka selain tingkahlakunya yang ‘cool’ dan ‘kasanova’, membuatkan mereka mudah jatuh cinta padanya. Baek Sung Ah (lakonan Seo Eun Su) merupakan pereka seni antik yang akan berkahwin dengan tunangnya, yakni seorang hartawan bernama Jang Woo Sang lakonan Do Sang Woo. Hubungannya dengan Woo Sang tak menentu membuatkan Sung Ah berpaling pada Kim Moo Hyung. Lama-kelamaan, Sung Ah mula menaruh hati pada Moo Hyung.

Dalam pada masa sama, Sung Ah mempunyai seorang kawan bernama Yoo Jin Kang (lakonan Jung So Min) yang berasa ingin tahu tentang tingkahlaku pelik ditunjukkan oleh Moo Hyung. Jin Kang dan Moo Hyung beberapa kali berjumpa dalam pertemuan yang tak dijangkakan. Jin Kang melihat Moo Hyung sebagai seorang yang tak boleh dipercayai kerana mencurangi Sung Ah, tetapi dia tak pernah mendedahkan perangai sebenar Moo Hyung di hadapan kawannya itu.  Kehilangan memori pada waktu kecil lagi membuatkan Jin Kang kurang berwaspada dengan kewujudan Moo Hyung yang tiba-tiba. Disebabkan Moo Hyung pandai mengambil hati Jin Kang dengan kata-kata dan perilakunya yang baik pada kucing peliharaannya,  Jin Kang seakan-akan menaruh perasaan terhadapnya.

Jin Gook, merangkap abang kepada Jin Kang, berasa tak senang dengan kehadiran Jin Kang di sisi Moo Hyung. Tambahan lagi, dia diberitahu ada seorang lagi gadis telah meninggal dunia dan kebetulan Moo Hyung muncul di hadapannya. Adegan episod ke-2 berakhir dengan klu-klu yang menjerumuskan Moo Hyung sebagai dalang kepada pembunuhan yang berlaku itu.

Gandingan Seo In Guk, pelakon yang pernah tercalon Best Actor 5th CARI Kdrama Awards menerusi MBC Shopping King Louis dengan Jung So Min, yang turut tercalon dalam Best Actress CARI Kdrama Awards melalui tvN Because This Is First Life pada tahun lepas sememangnya ditunggu-tunggu. Apakah peranan Jin Kang? Adakah dia menyedari bahawa Moo Hyung mungkin menjadikannya juga mangsa? Bagaimana Jin Gook dapat memastikan adiknya tidak menghampiri Moo Hyung yang berbahaya?

Drama yang penuh mendebarkan ini dapat disaksikan menerusi plantar streaming ‘Viu Malaysia‘ setiap Khamis dan Jumaat, dalam masa 24 jam selepas tayangan berakhir di Korea Selatan.

Komentar

comments

loading...