Festival Filem Korea 2018 kembali lagi mulai 27 September ini di GSC Mid Valley

Festival Filem Korea 2018 selama 4 hari menawarkan peluang kepada peminat di Malaysia untuk menonton filem Korea secara percuma.

Berikutan sambutan positif tahun lepas, Festival Filem Korea, yang dianjurkan oleh Kedutaan Republik Korea, dengan bangganya membawakan misi lain kali ini untuk memperkenalkan pelbagai variasi filem Korea kepada penonton di Malaysia bermula 27 sehingga 30 September di  GSC Mid Valley.

Apa yang membuatkan festival filem tahun ini istimewa ialah ianya akan ditayangkan di skrin LED pawagam pertama di Malaysia iaitu di GSC Mid Valley. Ini bertujuan untuk mempertontonkan dan mempromosikan kandungan kreatif Korea menerusi teknologi canggih Samsung Onyx LED Cinema dengan memberikan pengalaman sinematik terbaik kepada para penonton.

2018 telah menjadi tahun yang penuh berprestij untuk Korea kerana telah berjaya menganjurkan Sukan Olimpik PyeongChang Musim Sejuk dan penampilan sulung gabungan pasukan hoki ais Korea Utara dan Korea Selatan.  Untuk meraikan peristiwa-peristiwa penting ini, sebanyak lima buah filem yang mantap dan bertepatan akan mengambil bahagian untuk ditayangkan sempena Festival Filem Korea 2018. Antara filem-filem yang bakal ditayangkan adalah seperti berikut;

Run -Off (2016)

Filem yang bertemakan komedi, kesukanan dan penuh drama ini mengisahkan perjalanan pembentukan pasukan hoki ais wanita kebangsaan pertama Korea Selatan. Turut membintangi filem ini adalah Soo Ae, Oh Dal-Su, Oh Yeon Seo dan Kim Seul Gi. “Run-Off” atau nama lainnya “Take Off 2” merupakan sekuel kepada filem “Take Off”(2009) lakonan Ha Jung Woo, Kim Dong Wook dan Kim Ji Suk yang juga mengisahkan tentang perjalanan skuad atlet kebangsaan Korea Selatan.

Dong Ju – The Portrait of a Poet (2016)

Ia merupakan filem bertemakan biografi hitam-putih yang berdasarkan kehidupan penyair terkenal Korea, Yun Dong Ju. Filem ini mengisahkan catatan perjalanan Yun Dong Ju yang berjuang untuk kemerdekaan Korea di zaman pemerintahan Jepun. Filem lakonan Kim Ha Neul dan Park Jung Min ini telah banyak memenangi pelbagai anugerah antaranya hadiah utama kategori filem dan pelakon baru filem terbaik (Park Jung Min) di Anugerah Seni Baeksang kali ke-52.

Green Days: Dinosaur and I (2011)

Filem animasi Korea ini telah dicalonkan pada Festival Filem Animasi Antarabangsa Annecy 2011 (salah satu daripada empat festival filem animasi antarabangsa). Green Days: Dinosaur and I berlatarbelakangkan di kawasan luar bandar sekitar tahun 1970 dan mengisahkan momen-momen perjalanan kehidupan seorang gadis pelajar sekolah tinggi yang menuju ke alam dewasa. Antara pelakon yang telah menyumbangkan suara untuk filem animasi ini adalah Park Shin Hye,Song Chang Eui dan Oh Yeon Seo.

Detective K: Secret of the Lost Island (2014)

Detective K: Secret of the Lost Island adalah sebuah filem bertemakan aksi, komedi dan pengembaraan. Ia mengisahkan Detektif Joseon yang terkenal – Kim Min (Kim Myung-min) cuba menjejaki mereka yang bertanggungjawab mengedarkan sejumlah besar barangan perak palsu yang mungkin berkaitan dengan kehilangan ratusan gadis. Filem ini turut dibintangi oleh Kim Myung Min, Oh Dal Su dan Lee Yeon Hee .

The Face Reader (2013)

Filem “The Face Reader” membawa kepada pengenalan seni fisiologi kuno. Ia mengisahkan Nae-Kyung (Song Kang-Ho), seorang anak bangsawan dan mempelajari fisiognomi sehinggakan beliau menjadi pembaca wajah yang mahir di era Joseon. Beliau mampu mengetahui keperibadian, mentaliti dan tabiat seseorang hanya dengan melihat wajahnya. Kerana itu, beliau telah diseret ke kancah perebutan kuasa  antara Putera Soo Yang (Lee Jung-Jae) dan Kim Jong-Seo (Baek Yoon-Sik).

“The Face Reader” dibintangi oleh pelakon popular seperti Lee Jung-jae, Kim Hye-Soo, Song Kang-ho, Lee Jong-Suk dan Cho Jung-Seok. Filem ini telah memenangi enam anugerah di Anugerah Grand Bell yang ke-50 termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik (Han Jae-rim), dan Pelakon Terbaik (Song Kang-ho)

Bagaimana untuk mendapatkan tiket menyaksikan filem-filem ini di pawagam?

Untuk menebus tiket percuma, pertama sekali, anda mesti “screenshot / print screen” gambar artikel yang anda sedang baca sekarang ini (kmania.info) atau mana-mana foto atau artikel berkaitan Festival Filem Korea 2018 yang disiarkan secara dalam talian dari media rasmi Korean Embassy dan GSC. Ini melayakkan anda untuk mendapatkan DUA keping tiket percuma dari kaunter tiket GSC Mid Valley. Penebusan bermula dari 20 September dan seterusnya sementera tiket masih ada dengan menggunapakai konsep siapa cepat dia dapat.

Bila filem-filem ini akan ditayangkan?

Boleh rujuk pada gambar di bawah untuk mengetahui bila filem yang ingin anda tonton akan ditayangkan.

Untuk sebarang maklumat lanjut, anda boleh layari www.facebook.com/koremy.eng dan www.gsc.com.my. Jadi, jangan ketinggalan untuk ikut serta menonton filem-filem Korea yang hebat ini dengan menebus tiket percuma dengan segera bermula 20 September ini.

Komentar

comments

You may also like...