/(Update) September ini sajikan 12 drama Korea terbaru untuk tontonan anda!

(Update) September ini sajikan 12 drama Korea terbaru untuk tontonan anda!


Annyeong yorobun,

Bulan September semakin menghampiri. Pejam celik-pejam celik, kita pun semakin menuju ke penghujung tahun 2018. Baiklah, seperti biasa, drama Korea sentiasa menampilkan karya-karya baru setiap bulan. September ini menyaksikan drama lakonan So Ji Sub, Lee Min Ki dan Seo Hyun Jin, Seo In Guk dan Jung So Min, D.O dan Nam Ji Hyun, Kim Dong Wook, Choi Daniel, Song Seung Hoon, Seo Kang Joon dan ramai lagi yang akan berentap untuk menjadi drama pilihan penonton.

Kami berikan 12 pilihan drama Korea terbaru dari pelbagai genre untuk anda tonton.

1. The Ghost Detective (KBS)

“The Ghost Detective” adalah sebuah drama bertemakan seram dan misteri. Ia mengisahkan detektif Lee Da-il (Choi Daniel), seorang penangkap hantu, cuba untuk menyelesaikan kes-kes misteri dengan bantuan pembantunya Jung Yeo-bulu (Park Eun-bin). Jung Yeo Bulu juga meminta Lee Da Il untuk menyiasat kes kematian misteri yang melibatkan adik-beradiknya. Lee Da Il sering bertembung dengan seorang wanita misteri yang sering mengenakan dress merah bernama Seon Woo-hye (Lee Ji-ah) yang muncul di setiap tempat kejadian.

Skrip “The Ghost Detective” ditulis oleh Han Ji-Wan (SBS  – “Wanted”) dan diarahkan oleh Lee Jae-Hoon ( KBS – “Chief Kim”). Drama ini akan mula ditayangkan 6 September ini setiap Khamis dan Jumaat jam 9 malam menerusi Astro KBSW Ch 391 dan 392 (HD).


2. Big Forest (tvN)

“Big Forest” adalah suatu percubaan baru tvN untuk menggabungkan drama dan program variety. Drama ini adalah bertemakan komedi mengisahkan bekas top star dan ‘ah long’ yang mana akhirnya bergabung dalam mengharungi kehidupan.

Shin Dong-Yub (Shin Dong-Yub) adalah bekas top star yang kini semakin malap popularitinya. Jung Sang-Hoon (Jung Sang-Hoon) pula adalah seorang ayah tunggal dan bekerja sebagai ‘ah long’ (skim pinjaman wang haram). Manakala Im Cheong-A (Choi Hee-Seo) adalah ibu tunggal berketurunan Korea-China. Mereka tinggal di Daerim Neighborhood Seoul, Korea Selatan dan berjuang untuk mencari nafkah dalam meneruskan kehidupan seharian.

“Big Forest” akan ditayangkan setiap hari Jumaat jam 11 malam bermula 7 September ini.

3. 100 Days My Prince/100 Days Husband (tvN)

“Hundred Days Husband” berkisarkan tentang seorang putera mahkota bernama Lee Yool dari kerajaan Joseon yang hilang selama seratus hari, dijumpai oleh Hong Shim lakonan Nam Ji Hyun dalam keadaan di mana mereka terpaksa menyamar sebagai suami isteri sementara. Mereka menguruskan kedai terkemuka di Joseon sebagai protes melawan cukai yang amat tinggi dikenakan kepada rakyat marhaen oleh bangsawan paling celaka di Joseon lakonan Jo Sung Ha sehingga digelar ‘bapa cukai negara’.  Mungkin mempunyai sedikit persamaan dengan drama MBC “Ruler Master of Mask”, drama ini dikatakan mengambil inspirasi daripada trilogi filem Jason Bourne.

kredit foto – twit serenadyo

tvN Hundred Days Husband akan diarahkan oleh Lee Jong Jae yang terkenal dengan sutradara drama OCN Duel dan ditulis oleh No Ji Sul (“SBS My Lovely Girl”, “SBS Scent of Woman”). Turut membintangi drama ini adalah Jong Sung Ha, Do Ji Han, Lee Min Ji, Kim Seon Ho, Heo Jeong Min dan Choi Woong. Drama ini akan menggantikan “Let’s Eat 3” mulai 10 September ini dan akan bersiaran setiap Isnin dan Selasa jam 9.30 malam. tvN Hundred Days Husband ini juga boleh ditonton menerusi saluran 8tv (ch 708) pada setiap Isnin dan Selasa, jam 10.20 malam mulai 18 September ini.

4. Hand: The Guest (OCN)

“Hand: The Guest” menceritakan kisah seorang psikis, paderi, dan detektif. Mereka bertiga akan menentang kejahatan yang berlaku disebabkan oleh kuasa-kuasa aneh  dikalangan masyarakat Korea. Drama ini pasti dapat memberikan sesuatu yang istimewa kerana ianya akan menggabungkan tiga orang yang berbeza akan mengusir semangat serta roh-roh jahat menggunakan kuasa ghaib.

Kim Dong Wook akan memainkan watak utama sebagai Yoon Hwa Pyung, yang dilahirkan dengan kuasa psikik. Dengan memiliki kuasa istimewa itu, dia bertindak sebagai pawang yang akan mengusir roh-roh jahat. Yoon Hwa Pyung seorang yang sangat bersemangat serta santai tetapi dalam masa yang sama dia diselubungi kegelapan. Di sini Kim Dong Wook akan menampilkan impak dua sisi wataknya yang berbeza.

Kim Jae Wook pula memainkan peranan sebagai Choi Yoon, seorang paderi  yang dingin dan sinis. Dia boleh mengetahui kuasa-kuasa aneh yang ada disekitarnya dan berkebolehan untuk mengusir kuasa tersebut. Namun, disebabkan personalitinya itu membuat ramai orang tidak menyenanginya.

Jung Eun Chae memainkan watak Kang Gil Young, seorang detektif dalam skuad jenayah di Hong Il-dong. Dia seorang yang bersemangat serta fokus dalam kerjaya penyiasatannya. Biarpun berhadapan dengan pelbagai kes walaupun melibatkan kes yang dasyat serta serius, dia langsung tidak mempercayai kuasa-kuasa ghaib serta pengamal-pengamalnya.

Drama ini ditulis oleh Kwon So Ra dan Seo Jae Woon serta diarahkan oleh Kim Hong Sun turut dibintangi oleh Park Ho San, Lee Won Jong dan Ahn Nae Sang. “Hand: The Guest” akan mula ditayangkan pada 12 September ini setiap Rabu dan Khamis jam 11 malam di OCN.

5. My Only One

“My Only One” dibintangi oleh Uee, Lee Jang Woo, Choi Soo Jong, Na Hye Mi, Park Sung Hoon, Yoon Jin Yi dan Jung Eun Woo. Drama ini menceritakan bagaimana seorang anak mengharungi kehidupan selepas ayahnya muncul secara tiba-tiba setelah 28 tahun. Kim Do Ran (dimainkan oleh Uee), seorang ceria dan sentiasa positif walaupun berhadapan dengan kesukaran. Namun, hidupnya menjadi haru-biru apabila ayah kandungnya Kang Soo-Il (Choi Soo-Jong) muncul selepas 28 tahun, dan memberitahu Do Ran mengapa dia harus menyembunyikan identitinya selama ini.

Lee Jang Woo pula akan membawakan watak Wang Dae Ryuk, seorang pengarah yang kacak di syarikat Wang Ho Foods. Walaupun  keperibadiannya yang lembut, Dae Ryuk juga seorang yang bercita-cita tinggi dan sentiasa memberikan sebagai peneraju di Wang Ho Foods.

Skrip drama ini ditulis oleh Kim Sa Kyung, yang telah menghasilkan beberapa skrip sebelum ini seperti  “Likable or Not,” “Loving You a Thousand Times,” My Love By My Side,” “Here Comes Mr. Oh,” dan “Blow Breeze.” Hong Seok Gu pula akan bertindak sebagai pengarah drama yang sebelum ini pernah  mengarahkan “Marry Me, Mary!” “Cheer Up, Mr. Kim!” “Golden Cross,” “Perfect Wife,” dan “Girls’ Generation 1979.”

“My Only One” akan ditayangkan di stesyen tv KBS mulai 15 September depan setiap Sabtu dan Ahad, bagi menggantikan drama “Marry Me Now”.

6. The Beauty Inside (JTBC)

 

“The Beauty Inside” adalah drama berdasarkan filem komedi romantis tahun 2015 yang popular dengan tajuk yang sama. Drama ini akan menceritakan kisah cinta Han Se Gye (Seo Hyun Jin), seorang pelakon A-list yang mesti menghabiskan seminggu setiap bulan untuk tinggal di dalam tubuh orang lain, dan Seo Do Jae (Lee Min Ki), seorang lelaki yang brilliant namun menderita prosopagnosia (ketidakupayaan untuk mengenali wajah orang lain), tetapi hanya boleh mengecam Han Se Gye. Kehidupan mereka berubah setelah keduanya bertemu.

7. The Third Charm (JTBC)

 

Drama terbaru JTBC – “The Third Charm” bertemakan romantik komedi. Drama ini mengisahkan tentang  percintaan yang terjalin selama 12 tahun dan turut menyajikan kisah percintaan bagi pencinta dari umur 20 sehingga 32 tahun.

Seo Kang Joon akan membawakan watak On Joon Young, seorang yang sangat teliti dalam setiap apa yang dirancangnya agar semua berjalan seperti yang dikehendaki. On Joon Young bukanla seorang yang peka dengan trend fesyen kerana ia digambarkan seorang model pelajar terbaik, berumur 20 tahun dan perwatakkannya sangat skema, berkaca mata, sentiasa memakai seluar jeans yang dilipat hujungnya, berstoking putih serta kasut yang sentiasa bersih. Antara satu perkara yang tidak termasuk dalam rancangannya adalah hubungannya dengan Lee Young Jae, seorang yang becok serta tergolong dalam kategori makcik bawang yang mana akhirnya dia bertemu secara tidak sengaja ketikamengikuti group blind date.

Lee Young Jae, dilakonkan oleh Esom, yang mana hampir sepenuhnya mempunyai personaliti berlawanan dengan Joon Young. Lee Young Jae seorang yang bersikap spontan, penuh emosi, dan sangat jujur. Beliau mengharungi zaman  kanak-kanak yang sukar kerana Young Jae dan kakaknya membesar tanpa belaian ibu bapa. Di usia 20 tahun, Lee Young Jae terpaksa melupakan hasratnya untuk belajar di koleh dengan bekerja sebagai pembantu di salon rambut.

Produser drama  “The Third Charm” turut mengeluarkan komen, “Semasa bertemu janji, kadang kala anda tidak merasakan seseorang itu tidak begitu istimewa ataupun cantik di mata anda, namun dengan pesona yang sukar digambarkan, ia boleh membuatkan anda jatuh cinta. Ini yang dikatakan “The Third Charming” kerana dua insan yang bercinta ini lebih mengetahui bagaimana jalan cerita kisah percintaan mereka.”

“The Third Charm” akan disiarkan 21 September ini setiap Jumaat dan Sabtu selepas berakhirnya drama “My ID is Gangnam Beauty.”

8. Bad Papa (MBC)

“Bad Papa” adalah sebuah drama bertemakan aksi, kekeluargaan dan penuh dramatik. Ia mengisahkan tentang seorang lelaki yang memilih untuk menjadi seorang yang jahat demi menjadi seorang ayah yang baik.

Jang Hyuk akan membawakan watak Yoo Ji Chul, seorang suami, ayah dan bekas juara tinju. Kehidupannya berubah 360 darjah, saat beliau kehilangan kemasyhuran, wang dan keluarga sekaligus. Populariti seorang peninju handal yang semakin merudum membuatkan kehidupan Yoo Ji Chul jadi gelap dan berputus asa. Namun, Yoo Ji Chul tiba-tiba menemui ‘ubat’ yang sangat efektif untuk mengubah nasibnya. ‘Ubat’ misteri itu membawanya kembali bertarung di atas ring sebagai mixed martial arts fighter dan perlahan-lahan, beliau kembali mencari keluarganya.

“Bad Papa”  diarahkan oleh Jin Chang Kyu dari “Rebel: Thief Who Stole the People” dan ditulis oleh Kim Sung Min. Antara bintang lain yang membintangi drama ini adalah Son Yeo Eun, Lee David, Jun Man Sik, Jung Sung Hoo, Kim Jaekyung dan Shin Eun Soo.

Drama ini akan bersiaran di MBC pada 1 Oktober depan setelah empat episode drama “Risky Romance” ditangguhkan berikutan beri laluan kepada Sukan Asia 2018. 

9. Terius Behind Me (MBC)

 “Terius Behind Me” adalah sebuah drama bertemakan romantik komedi misteri.  So Ji Sub akan membawakan watak Kim Bon, seorang lagenda agen ops hitam yang berkhidmat di National Intelligence Service (NIS). Jung In Sun pula akan memainkan peranan Go Ae Rin, seorang ibu tunggal yang mendapati dirinya terperangkap dalam misi menyelesaikan konspirasi dengan Kim Bon. Son Ho Jun pula akan memperlihatkan buat pertama kalinya akan membawakan watak antagonis sebagai Jin Yong Tae, seorang penipu serta dalang kepada semua kejadian misteri yang berlaku oleh Go Ae Rin dan Kim Bon.  Im Se Mi pula akan membawakan watak sebagai Yoo Ji Yeon, seorang ejen perisikan di NIS dan turut menyintai Kim Bon dalam diam.

“Terius Behind Me” akan menyatukan penulis skrip “Shopping King Louie” – Oh Ji Young dan PD Park Sang Hoon yang terkenal dengan mini siri ” Romance Full of Life “. Drama ini akan ditayangkan pada 28 September ini, jam 7:50 malam di saluran Oh!K (Ch 394)

10. The Smile Has Left Your Eyes / 100 Million Stars Falling From the Sky (tvN)

 

Drama ini adalah remake sebuah drama Jepun yang dikeluarkan pada tahun 2002 yang bertajuk “Sora Kara Furu Ichioku no Hoshi.” “The Smile Has Left Your Eyes” adalah drama bertemakan melodrama misteri.

Ia mengisahkan misteri tentang Kim Moo Young (lakonan Seo In Guk), seorang lelaki berbahaya, free-spirited yang digambarkan sebagai monster. Jung So Min pula membawakan watak Yoo Jin Gang, seorang wanita yang baik hati yang mahu menjadi penyelamat Kim Moo Young, sementara Park Sung Woong akan memainkan peranan Detektif Yoo Jin Gook, abang kepada Yoo Jin Gang.

 

Dekektif Yoo Jin Gook menyiasat satu kes pembunuhan seorang pelajar wanita di sebuah universiti. Beliau fokus kepada penyiasatan dan dengan harapan segalanya akan selesai. Adiknya, Yoon Jin Gang telah bertemu dengan Kim Moo Young yang hilang memorinya sewaktu kecil. Kim Moo Young digambarkan seorang yang jahat, sehinggakan Yoo Jin Gook mengesyaki Moo Young terlibat dalam kes pembunuhan yang sedang disiasatnya. Yoo Jin Gook berusaha untuk memisahkan Moo Young dan Jin Gang setelah keduanya dilamun cinta.

Drama ini akan mempertontonkan kisah hidup dua orang yang ditakdirkan bertemu dan bagaimana mereka akan meneruskan perjalanan kehidupan mereka kerana keduanya punya cerita hidup yang berbeza.

“The Smile Has Left Your Eyes” turut dibintangi oleh Seo Eun Soo, Do Sang Woo, Hongbin VIXX, Go Min Si, dan Kwon Soo Hyun. Drama ini akan ditayangkan pada 26 September setiap Rabu dan Khamis bagi menggantikan drama “Familiar Wife” di tvN.

 

11. The Player (OCN)

“The Player” merupakan sebuah drama aksi komedi (action-packed crime story) yang mengisahkan perjalanan pasukan elit ketika mereka menyelesaikan beberapa kes. Ia juga merupakan sebuah pasukan yang dianggotai oleh empat orang yang memiliki bakat yang berbeza.

Song Seung Heon akan membawakan watak Kang Ha Ri seorang penipu (con artist) yang genius, kacak, pantas dan berani.  Krystal pula akan membawakan watak sebagai Cha Ah Ryung yang membesar sendirian selepas ditinggalkan oleh ibu bapanya dan merupakan seorang pemandu yang berbakat besar. Lee Si Eon akan membawa peranan Lim Byung Min, seorang penggodam yang brilliant, dan Tae Won Suk akan mengisi satu lagi kekosongan kumpulan ini sebagai akan mengetepikan pasukan itu sebagai fighter terhebat, Do Jin Woong.

Projek ini akan diterajui oleh pengarah Go Jae Hyun dari drama “Black” dan “Sindrom”. Manakala skrip ditulis Shin Jae Hyung, yang memenangi Anugerah Best Rookie Novelist di 2011 Korea Detective Literature Awards. “The Player” akan ditayangkan sebanyak 14 episode bermula 29 September pada pukul 10:20 p.m. di OCN. Drama ini akan mengisi slot tayangan Sabtu dan Ahad.

12. Room No.9 (tvN)

Semuanya tertumpu kepada watak Jang Hwa Sa lakonan pelakon veteran Kim Hae-sook, seorang penjenayah unik yang kini sedang menunggu hukuman mati. Dia bertemu Eul Ji Hae Yi (Kim Hee Sun), seorang peguam yang licik serta cantik, dan takdir yang bertentangan telah menukar kedua-dua mereka. Kunci takdir dipegang oleh Ki Yoo Jin (Kim Young Kwang) yang bijak dan manis namun menyembunyikan sesuatu.

Banduan Jang Hwa Sa adalah pembunuh terkenal di sebalik kes “Pembunuhan Serangan Racun” yang menggemparkan negara. Setelah menunggu selama 33 tahun untuk menetapkan tarikh hukumannya, dia akhirnya pasrah dengan takdir. Namun sesuatu yang amat mengejutkan apabila disuatu hari dia bangun dari tidur sebagai peguan Eul Ji Hae Yi. Digelar  “Icon of Rudeness,” peguam Eul Ji Hae Yi adalah seorang yang lick serta akan melakukan apa sahaja untuk menang dan tidak memperdulikan sesiapa yang dianggap lemah. Eul Ji Hae Yi bukanlah seorang yang perlu dicontohi dan bagaimanakah pula kehidupannya sebagai seorang banduan setelah bertukar dengan Jang Hwa Sa?

“Room No.9” akan mula ditayangkan pada 29 September ini pada jam 9 malam di tvN.

 

Komentar

comments