Impian merasai pengembaraan ke Temasya Sukan Olimpik PyeongChang 2018 dengan PyeongChang KORAIL Pass

Sukan Olimpik Musim Sejuk PyeongChang 2018 kini semakin hampir. Untuk kali ini, kami kongsikan sedikit informasi mengenai KORAIL Pass dan apa aktiviti yang ingin KMania lakukan dengan PyeongChang KORAIL Pass.

Apa dia KORAIL Pass?

Untuk pengetahuan anda, Perbadanan Keretapi Korea (KORAIL) menjual tiket kereta api eksklusif untuk para pelancong antarabangsa atau penduduk asing yang tinggal di Korea. Tiket istimewa ini membolehkan anda menikmati perjalanan tanpa had ke atas perkhidmatan keretapi yang dikendalikan KORAIL untuk tempoh perjalanan tertentu. Tiada sebarang had untuk anda menaiki keretapi ini atau ke mana arah tuju perjalanan anda sepanjang tempoh pas ini.

Pass KORAIL ini adalah untuk kegunaan pelancong yang melancong  di Korea. Pemegang Pas KORAIL boleh menggunakan semua perkhidmatan kereta api yang ditawarkan oleh KORAIL, termasuk KTX berkelajuan tinggi dan keretapi pelancongan biasa.

PyeongChang KORAIL Pass

Sempena penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk PyeongChang 2018, PyeongChang Korail Pass diperkenalkan.  Seperti juga Korail Pass, ianya dikhaskan untuk pelancong asing untuk menggunakan semua perkhidmatan keretapi yang ditawarkan oleh KORAIL, termasuk KTX berkelajuan tinggi dan keretapi pelancongan biasa . Pastinya pass ini diperkenalkan bagi memudahkan para pelancong asing untuk bergerak atau sama-sama turut serta di setiap tempat acara sukan olimpik ini.

Pemegang pass PyeongChang Korail boleh menikmati perjalanan ke seluruh Korea termasuk Pyeongchang, Gangneung, dan Jeongseon dari 1 Februari 2018 hingga 25 Mac 2018. Tiada sebarang had untuk anda menaiki keretapi ini atau ke mana arah tuju perjalanan anda sepanjang tempoh sah PyeongChang Korail Pass.

Perkhidmatan KTX

Korea Train EXpress (KTX) adalah sistem kereta api berkelajuan tinggi Korea Selatan yang dikendalikan oleh Korail. Pembinaan bermula pada kelajuan tinggi dari Seoul ke Busan pada tahun 1992. Perkhidmatan KTX telah dilancarkan pada 1 April 2004.

KTX beroperasi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon dengan hentian di Stesen Seoul, Stesen Yongsan menuju Busan dan Gwangju, dan dari Stesen Suseo di Gangnam dengan stesen perantaraan di New Dongtan City dan Stesen Jije Subway Seoul 1 di Pyeongtaek. Laluan  baru dari Wonju ke Gangneung sedang dalam pembinaan untuk laluan perkhidmatan pada Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang.

Pada mereka yang pernah berkunjung ke Korea, pastinya anda pernah menaiki KTX ini dan menyimpan kenangan sewaktu menikmati perkhidmatannya.

Bagaimana Untuk Membeli?

PyeongChang Korail Pass boleh dibeli menerusi laman rasmi di www.letskorail.com/pyeongchang. Jualan tiket akan bermula pada 10 Disember 2017. Bagaimanapun, semuanya tertakluk pada perubahan tanpa sebarang notis.

KMania dan PyeongChang Korail Pass

Seandainya diberikan peluang untuk menikmati PyeongChang Korail Pass, rasanya kesemua tempat ingin kami jelajahi. Temasya Sukan Olimpik ini diadakan sekali saja setiap empat tahun, jadi semestinya kita perlu menghargai peluang yang diberikan sebaiknya.

Memulakan perjalanan di Wilayah Gangneung, ambil KTX dari stesen Gangneung sahaja.

Alangkah indahnya dapat menjejakkan kaki ke Ojukheon House dan Ojukheon Municipal Museum. Ianya merupakan sebuah tempat bersejarah di mana bermulanya kehidupan Shin Saimdang dan dikelilingi oleh pepohon buluh yang rendang dan menyamankan. Bangunan-bangunan yang terdapat di Ojukheon House adalah diperbuat daripada kayu tertua di Korea, bahkan ianya telah dijaga serta diperlihara disetiap generasi. Kisah hidup dan sejarah Shin Saimdang juga turut difilemkan sebanyak 30 episod bertajuk Saimdang The Light’s Diary. Pengunjung juga boleh melihat barangan bersejarah berkaitan di dalam muzium ini, melhat monumen Shin Saimdang dan juga anaknya. Kepada yang telah menonton drama tersebut ini adalah peluang keemasan kerana kita dapat memahami dengan lebih mendalam mengenai sejarah apabila aktiviti teori dan fizikal dilakukan pada waktu yang sama. Kebetulan, penulis juga memang menonton drama Shin Saimdang ini.

Setelah penat mengeliling dan memahami sejarah di Ojukheon House, kita boleh menyejukkan tekak disekitar Anmok Coffee Street. Wah, jika berada di sini, penulis sendiri pasti rambang mata untuk memilih tempat bagi menikmati kopi yang sungguh beraroma. Ini kerana terdapat berbagai cafe yang kesemuanya menawarkan pelbagai jenis kopi. Mungkin lebih dari dua jenis kopi yang penulis akan cuba dengan suasana cafe yang santai sambil menikmati pemandangan laut.

Tidak ketinggalan penulis ingin melihat karya seni yang artistik, kreatif, elegan dan innovatif di Hassla Artwork yang menghadap laut timur. Ianya mengujakan penulis kerana kreativiti mereka telah menghasilkan sesuatu yang patut dibanggakan.

Dikesempatan yang ada, tidak dilupakan untuk mengunjungi Jumunjin Breakwater bagi menikmati sendiri serta merakamkan kenangan indah di mana Eun Tak bertemu dengan Dokkaebi buat kali pertama dalam drama Goblin.

Tidak sah sekiranya tidak mencuba makanan popular di Gangneung ini iaitu Sondubu Jigae di Chodang Dubu Village, selatan Pantai Gyeongpo yang sangat terkenal dengan tauhu. Pasti rasanya hebat jika dapat menikmati Spicy Seafood dan Soft Tofu Stew.

Paling yang ingin dicuba ialah Jeongdongjin Rail Bike untuk  menikmati pemandangan laut yang indah serta udara yang menyegarkan sepanjang perjalanan menyusuri landasan bersejarah ini. Sambil menenangkan fikiran, boleh juga bersukan dengan mengayuh pedal di rail bike ini.

Penulis juga ingin berkunjung ke Gangneung Ice Arena untuk memberikan sorakan kepada atlet Malaysia iaitu Julian Yee. Pasti ianya memberikan satu perasaan yang sukar digambarkan kerana dapat menyokong atlet tempatan di luar negara. Inilah salah satu sumbangan yang mampu penulis berikan dengan bersorak penuh kesukanan.

KTX PyeongChang Station

Festival Salji Daegwallyeong

Dari stesen Gangneung, naik sahaja KTX untuk ke stesen PyeongChang pula. Di PyeongChang, jangan lepaskan peluang ke Festival Salji Daegwallyeong  yang dijadualkan pada 7 Feb – 22 Feb 2018 (tertakluk pada perubahan). Jika berkesempatan, penulis sendiri mahu menjejakkan kaki ke sana. Maklumlah penulis bukanlah berasal dari negara yang mempunyai musim salju. Oleh itu, ini merupakan peluang keemasan untuk merasai sendiri nikmatnya bermain salji dan membuat orang salji. Pelbagai aktiviti disediakan sepanjang festival ini antaranya pertandingan menyanyi, marathon terbuka dan banyak lagi. Mungkin juga boleh belajar bermain ski.

Dari stesen PyeongChang terus sahaja ke stesen Jinbu kerana penulis ingin pergi ke  Yongpyong Resort untuk melihat sukan ski dengan mata kepala penulis sendiri. Mungkin juga penulis dapat merasai pengalaman bermain ski walaupun risikonya agak tinggi sampai boleh terjatuh atau terpeleset kaki. Teringin juga merasai timbunan salji menuruni tubuh sendiri ala-ala adegan di dalam drama Winter Sonata dan Goblin.

Alpensia Ski Resort

Boleh juga jejakkan kaki ke Alpensia Ski Resort untuk merasai sendiri bagaimana sukan ski jumping dimainkan. Tempatnya juga antara tempat yang mempunyai fasiliti yang agak hebat.

Julian Yee

Dan jika punya peluang, penulis ingin turut serta pada malam perasmian atau malam penutup bagi temasya berprestij ini yakni Sukan Olimpik Musim Sejuk PyeongChang 2018 di PyeongChang Olympic Stadium.  Bak kata pepatah, hanya sekali seumur hidup sudah memadai. Demikianlah ia akan menjadi kenangan yang terindah tambah-tambah lagi rakyat Malaysia turut serta menyertai temasya kali ini dengan penyertaan atlit Julian Yee untuk acara sukan ais. Melihat bendera Malaysia berkibar megah pastinya membuat diri ini terasa bangga.

Sekembalinya dari Jinbu ke stesen PyeongChang, penulis terasa ingin mencuba makan makguksu (buckwheat noodles) yang popular di PyeongChang. Bila lagi hendak merasa makanan yang bukan Malaysian taste kan.

Jadi, ini adalah tempat-tempat yang ingin dikunjungi dengan PyeongChang Korail Pass. Jika anda inginkan maklumat lebih lanjut mengenai perkhidmatan KORAIL ini adalah linknya;

    • maklumat mengenai KORAIL layari laman rasmi Visit KORAIL PASS
    • Untuk buat reservation KORAIL PASS dan PyeongChang KORAIL PASS layari lets KORAIL

 

Komentar

comments

You may also like...