/Sayang Fattah Amin pada Fazura bagaikan Song Joong Ki mencintai isterinya, Song Hye Kyo

Sayang Fattah Amin pada Fazura bagaikan Song Joong Ki mencintai isterinya, Song Hye Kyo

Akhbar Mingguan Malaysia pagi tadi melaporkan majlis akad nikah telah berlangsung antara bintang paling sensasi di Malaysia pada masa ini, Fattah Amin dengan Fazura, pelakon wanita tanah air yang berbakat pada 14 November lepas.  Mereka dikatakan akan membuat sidang media tentang hal berkenaan pada 23 November sebaik saja selesai mengerjakan umrah.

Tahukah anda? Susur galur bagaimana Fattah Amin mula menapak dalam industri seni dan menjalani hubungan mesra dengan pelakon Fazura mengingatkan penulis pada pasangan Song Joong Ki-Song Hye Kyo dalam berbagai aspek.

Fattah Amin memiliki paras rupa yang comel sewaktu awal kemunculannya dan mula menampakkan aura ketampanannya apabila usianya menginjak kepada 27 tahun. Ketika kali pertama memenangi Hero Remaja pada tahun 2012 sewaktu melanjutkan pelajaran di Universiti Utara Malaysia, tiada siapa sangka Fattah Amin mampu menjadi pelakon yang paling popular dekad ini. Begitu juga Song Joong Ki yang hanya berjinak-jinak dengan sesi fotografi di Sunkyunkwan University, membuatkannya terus memilih menjadi pelakon sepenuh masa. Masing-masing  mempunyai ijazah sarjana muda Pengurusan Industri Kreatif dan ijazah sarjana muda Pentadbiran Perniagaan dalam tangan.


Kedua-duanya memiliki wajah yang kacak dan digilai ramai.

Fattah Amin mula dikenali apabila membintangi drama Hello Mr. Perfect! digandingkan bersama Nur Ruhannies. Namanya terus mekar dibibir penonton tatkala disebut-sebut sebagai juruterbang yang sangat segak dan menggoda dalam drama bersiri Surihati Mr. Pilot digandingkan bersama pemenang Dewi Remaja dan usahawan tudung popular, Neelofa. Tanda pagar #lofattah seringkali menjadi catitan di setiap media sosial malaysia pada akhir tahun 2016. Malah, terdapat ura-ura mengatakan mereka juga turut bercinta tetapi dinafikan mereka. Fattah Amin terus mengambil peluang membintangi drama bersiri seterusnya, Hero Seorang Cinderella bersama pelakon wanita yang cantik dan berbakat, Fazura sekaligus meneruskan legasinya dalam bidang seni.

Bagi sesiapa yang mengikut perjalanan seni Song Joong Ki, tak kurang bezanya antara mereka.  Drama KBS Innocent Man telah menaikkan nama Song Joong Ki sebagai hero utama yang disegani sebelum melakonkan watak sojar dalam drama hit KBS Descendants of The Sun. Walaupun kedua-duanya kadangkala dikritik melakonkan watak yang klise dan memerlukan paras rupa sebagai tarikan, ianya tak mematahkan semangat mereka untuk terus berlakon dan digilai ramai peminat walaupun selepas melangsungkan perkahwinan.

Song Hye Kyo (kiri) dan Fazura (kanan) bukan sekadar cantik bergaya, mereka juga telah mencairkan hati ribuan perawan di luar sana di atas bakat lakonan dimiliki mereka.

Fazura pula telah lama menceburi bidang seni sejak berusia 21 tahun. Beliau tak menyertai mana-mana pertandingan ratu cantik seperti Song Hye Kyo lakukan pada usia mudanya, bakat lakonannya dikesan oleh pelakon veteran Datin Rosnani Jamil untuk membintangi filem Bicara Hati. Debut nya dalam layar perak telah melayakkan beliau menggondol anugerah Pelakon Harapan Wanita dalam Festival Filem Malaysia pada tahun 2004. Fazura terus menggungguli carta aktress muda berbakat pada masa itu sehingga mendapat nominasi pelakon wanita terbaik (“Best Actress”) terbanyak dalam kerjayanya belum lagi meniti usia 30 tahun. Filem Manisnya Cinta Di Cappadoccia merupakan kemuncak kerjayanya apabila merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik sepuluh tahun selepas itu.  Kejayaan bukan disandarkan pada bakat lakonannya semata-semata, terima kasih pada paras rupa cantik menawan dan kemahiran bergaya yang dimilikinya, beliau acapkali dijadikan model untuk jenama-jenama antarabangsa. Song Hye Kyo juga seringkali dinobatkan sebagai aktress tercantik pernah dihasilkan di Korea Selatan, dan seringkali menjadi rebutan untuk pengiklanan komersial dan juga model majalah. Mereka tak banyak beza dari segi kejayaan yang diraih baik sebagai pelakon mahupun model.

Tanpa boleh disorok lagi, cinta lokasi telah merapatkan saf perhubungan terjalin daripada kawan pada awalnya kepada teman yang begitu mesra. Song Joong Ki dan Song Hye Kyo mula mencintai satu sama lain sewaktu penggambaran drama KBS Descendants of The Sun, dan mengaku bercinta setahun kemudian. Mereka melangsungkan perkahwinan pada 31 October lepas. Begitu juga pasangan Fattah Amin-Fazura yang dikenali dengan sohor kini #fattzura di media sosial , telah pun dilaporkan oleh media tempatan, bernikah pada 14 November lepas setelah beberapa kali muncul sebagai pasangan “teman tapi mesra” dalam aktiviti-aktiviti bersama media. Drama bersiri “Hero Mr Cinderella” telah mengikatkan cinta lokasi antara mereka, seperti apa yang dialami pasangan Song-Song sebelum ini. Malah, jarak usia yang agak jauh antara kedua-dua pasangan merpati sejoli ini tidak menggugat kasih sayang terjalin antara mereka. Fattah Amin dan Song Joong Ki masing-masing berusia 27 dan 32 tahun manakala Fazura dan Song Hye Kyo pula masing-masing berusia 34 dan 35 tahun.

Apapun penjelasan tentang status nikah mereka akan dijelaskan secara rasmi pada sidang media 23 November ini. Sama-sama kita nantikan berita gembira daripada mereka. Pasti meletop “Wedding of The Year” lagi tahun 2017 ini.

Sumber: kmania1 , Utusan Melayu

Komentar

comments

Admin Kmania.