[Eksklusif] Temuduga Telefon Sempena Japan X Malaysia Friendship Concert Bersama Artis Jepun

Pada 3 Ogos 2017 yang lalu  team KMania bersama  tiga lagi wakil media telah dijemput untuk mengikuti temuduga eksklusif secara telefon bersama dua orang artis Jepun sempena Japan X Malaysia Friendship Concert 2017. Dua orang artis berkenaan adalah Ratu Rock Anna Tsuchiya dan An Cafe (Harajuku Dance Rock Band). Temubual pertama adalah bersama Anna Tsuchiya


Anna Tsuchiya

Anna Tsuchiya, Japanese-Amarican singer, bergerak secara solo sejak tahun 2005. Mula debut sebagai rock Duo Spin Aqua bersama gitaris K.A.Z pada 2002

Media : Apakah status terkini perjalanan karier anda?

Anna: Saya dan pihak produksi sedang merancang perjalanan Konsert  saya yang berjudul ‘COLORS’. Colors ini merujuk kepada kepelbagaian personaliti manusia yang mana setiap orang adalah berbeza. Saya akan luahkannya melalui lagu yang bakal saya sampaikan ketika konsert nanti.

Media : Apakah keistimewaan yang cuba anda sampaikan memandangkan tahun ini genap 15 tahun anda bergelar penyanyi?

Anna: Memandangkan ini adalah sambutan ke 15 tahun karier saya sebagai penyanyi, melalui konsert yang bakal diadakan ini saya ingin menghargai orang-orang yang pernah saya bekerjasama sebelum ini. Jika boleh saya ingin mereka terlibat dalam konsert saya ini. Saya juga akan memastikan persembahan saya kali ini adalah hebat dan luar biasa. Saya masih lagi cintakan bidang nyanyian dan seolah sudah sebati dengan diri saya ini dan saya akan terus menyanyi serta memberikan persembahan yang terbaik. Saya juga ingin meneroka genre-genre lagu lain bagi memvariasikan nyanyian serta persembahan saya.

Media : Adakah anda akan menghasilkan album baru? Mungkinkah anda akan memilih genre anime?

Anna: Saya ingin menghasilkan album baru tetapi semuanya bergantung kepada pihak pengurusan. Mungkin saya akan menghasilkan lagu berkaitan anime memandangkan anime ketika ini mendapat perhatian ramai tetapi segalanya masih bergantung pada pihak pengurusan.

Media : Apakah yang anda akan lakukan di Malaysia kelak?

Anna : Saya sangat sukakan laut dan pantai. Saya belum pernah ke Malaysia jadi saya  telah mencari maklumat mengenainya. Malaysia mempunyai bangunan yang cantik serta pelbagai jenis makanan. Selain itu saya suka menyelam dan saya ingin meneroka pelbagai tempat,budaya di Malaysia tapi sayangnya masa saya sangat terhad.

Media: Apa yang anda rancangkan bagi persembahan di Malaysia nanti?

Anna : Pertamanya saya ingin dendangkan lagu-lagu dari siri animasi ‘Nana’ (‘Rose’, ‘Kuroi Namida & ‘Stand By Me’) yang mana melalui siri animasi tersebut saya dikenali ramai. Kompilasi lagu animasi ‘Nana’ adalah berkonsepkan J-Rock jadi saya mahukan suasana yang bersemangat dan menghiburkan para peminat sebaiknya memandangkan ini adalah pengalaman pertama saya di Malaysia. Disebabkan konsert ini dibuat secara live, jadi saya tidak mahu terlalu merancang. Apa yang saya tahu naik ke atas pentas, dan berikan persembahan yang terbaik dan menghiburkan.

Media : Apakah anda ingin selitkan elemen Malaysia dalam persembahan anda kelak  seperti nyanyian lagu ‘Rasa Sayang’ tetapi mengikut style anda? ( sambil menyanyikan sedikit lagu tersebut)

Anna : Oh, saya pernah dengar  lagu  tersebut. Baiklah, saya sahut cabaran itu dan saya akan nyanyikannya mengikut style saya. Nantikan persembahan saya.

Sebagai penutup, Anna menyatakan keterujaannya untuk datang ke Malaysia dan membuat persembahan sulungnya di sini. Beliau juga berharap dapat berasa dekat dengan para peminatnya. Untuk pengetahuan, Anna mempunyai ramai peminat di Malaysia.


An Cafe

Dikenali sebagai An Cafe/ Antikku Cafe – Harajuku Dance Rock Band. Dianggotai oleh Miku (Vokal), Takuya (Gitar), Kanon (Bass), Yuuki (Keyboard) dan Teruki (Drum). Mula ditubuhkan pada 2003.

Media : Apa perasaan anda berkenaan konsert yang bakal diadakan di malaysia kelak?

An Cafe : Ini merupakan kali pertama kami akan ke Malaysia. Jadi kami ingin menjadikan perjalanan kami ini sebagai satu memori yang sangat berharga.

Media : Apa yang boleh peminat kamu di Malaysia jangkakan mengenai persembahan kamu?

An Cafe : Kami akan tunjukkan anda lebih dari yang anda pernah saksikan sebelum ini. Jadi, saksikan persembahan kami nanti.

Media : Apa projek terbaru kamu?

An Cafe : Kami baru sahaja menyiapkan single terbaru kami yang bakal dilancarkan pada 4.10.2017.

Media : Apakah kebarangkalian kamu akan menyanyikan single terbaru kamu di konsert nanti memandangkan ianya masih belum dilancarkan lagi?

An Cafe : Ya, kami akan nyanyikan lagu terbaru kami di konsert tersebut dan ini merupakan kali pertama lagu tersebut diperdengarkan di arena antarabangsa.

Media : Apakah style, fashion yang boleh dijangkakan sempena konsert tersebut?

An Cafe : Kami adalah sebuah kumpulan yang berwarna-warni dan ‘gorgeous’. Apa yang kami gayakan selama ini digayakan serta diilhamkan sendiri oleh kami. Tetapi kesemuanya adalah mengikut kesesuaian tempat dan imej kami.

Media : Apakah cabaran dalam penghasilan lagu terbaru kamu?

An Cafe : Cabarannya ialahkami perlu banyak menari kerana ianya adalah ‘the most danceable’ song. Jadi, kami telah meletakkan segala usaha kami untuk mengubah lagu tersebut agar ianya masih mengekalkan konsep harajuku Dance Rock. Untuk lagu kali ini,melodi serta baik lagunya saat mudah dihayati dan diingati.

Media : Bagaimanakah nama kumpulan kamu diwujudkan?

An Cafe : Pada mulanya, kami menamakan kumpulan kami sebagai ‘Manhattan Cafe’. Nama ini adalah sempena nama kuda lumba.Selepas kami mencari beberapa nama lain menerusi kamus berbahasa Inggeris, kami merasakan nama Antikku Cafe ini sesuatu yang bagus dan bersesuaian dengan kami. Jadi sehingga kini kami terus menggunakan nama Antikku Cafe atau An Cafe.

Sebagai penutup, An Cafe juga menyatakan keterujaannya untuk datang ke Malaysia dan menghiburkan peminat mereka disini. Jadi nantikan persembahan mereka yang pastinya cukup bertenaga dan berwarna-warni.

Akhir kata, pihak KMania mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengurusan Toybox Project dan IME Malaysia kerana memberi peluang berharga lagi eksklusif ini.

Laporan : Shida Rosli

Komentar

comments

You may also like...