I-SEOUL-U menyatukan dua negara terpisah jauh antara benua – Malaysia & Korea

Tanggal 23 Mei 2017, telah berlangsung dengan jayanya Konsert I-SEOUL-U di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan Kementerian Pelancongan Korea sebagai penaja utama serta Astro sebagai media perantara. Walaupun konsert yang diadakan di awal minggu iaitu pada hari Selasa, konsert berdurasi selama dua jam ini telah berjaya menarik lebih kurang lima ribu (5000) penonton dari segenap lapisan masyarakat.

Pembukaan acara bermula tepat jam 7.05 petang oleh dua artis tempatan, De Fam & Altimet, dengan masing-masing mendendangkan dua buah lagu menghangatkan suasana. Persembahan diteruskan dengan persembahan ahli silap mata pendek yang didatangkan khas daripada Korea.
Ucaptama daripada Naib Datuk Bandar, Mr. Ryu Kyung-ki, menyatakan betapa bertuahnya beliau dalam membuat kunjungan balas ke Kuala Lumpur setelah menerima kunjungan daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur ke bandar Seoul pada bulan April yang lalu. Beliau meluahkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada rakyat Malaysia yang memberikan kasih sayang yang istimewa kepada Korea Selatan di mana pada tahun 2016 sahaja sudah lebih dari 240,000 rakyat Malaysia berkunjung ke Korea dengan menyatakan bahawa K-Wave Stars memberikan peranan yang besar kepada angka kunjungan tersebut dan berpendapat angka tersebut akan meningkat pada tahun ini.


Selain daripada tarikan K-Wave, beliau menekankan bahawa terdapat pelbagai jenis makanan tempatan, tempat-tempat menarik serta aktiviti-aktiviti lain yang boleh dilakukan sepanjang berada di Korea. Di antara contoh-contoh tempat tarikan pelancong adalah Bamdokkaebi Night Market, Hangang Summer Festival, Seoul International Fireworks Festival, Seoul Lantern Festival dan banyak lagi festival yang dijalankan untuk setiap musim di sana. Selain itu, beliau juga mempromosikan Sky Park Pedestrian Road yang baru sahaja dibuka kepada umum sejurus sebelum beliau bertolak ke Kuala Lumpur. Jambatan itu dibina pada tahun 1970-an untuk kegunaan kenderaan tetapi disebabkan oleh faktor keselamatan dan usia jambatan tersebut, ia telah diubah suai kepada laluan pejalan kaki sepenuhnya. Laluan tersebut yang diberi nama ‘Seoullo 7017’ dijangkakan akan menjadi salah satu tarikan pelancong di masa akan datang standing dengan tempat-tempat tarikan pelancong yang sedia ada seperti N Seoul Tower, Gyeongbokgung Palace, Dongdaemun Design Plaza dan banyak lagi.

View post on imgur.com

Sejurus selepas ucaptama daripada Naib Datuk Bandar, persembahan yang ditunggu-tunggu daripada artis yang diterbangkan khas dari Korea Selatan. Kumpulan idola wanita Rev Velvet telah diberi penghormatan selaku artis pertama untuk beraksi di atas pentas. Mereka yang dianggotai oleh lima (5) orang anak muda (Irene, Seulgi, Wendy, Joy dan Yeri) telah mendendangkan sebanyak empat (4) buah lagu popular mereka yang bertajuk Dumb Dumb, Little Little, Russian Roulette dan Rookie. Kelima-lima mereka yang berbusana serba merah & putih memberikan aksi yang bertenaga sepanjang berada di atas pentas. Ini merupakan kunjungan kedua mereka pada tahun ini di mana mereka baru sahaja berkunjung ke sini genap sebulan yang lalu dalam sesi mempromosikan album terbaru mereka berjudul “Rookie”. Walaubagaimanapun, ini merupakan kunjungan pertama buat salah seorang ahli kumpulan ini, Joy, di mana beliau tidak dapat turut serta dalam yang lalu kerana sedang sibuk dengan sesi penggambaran drama pertama beliau sebagai watak utama, The Liar And His Lover.


Kumpulan idola NCT 127, yang baru sahaja debut pada tahun lepas di bawah naungan syarikat rakaman yang sama dengan Rev Velvet (S.M. Entertainment) telah diberi kepercayaan penuh dalam bersama-sama menjayakan konsert I-SEOUL-U ini. Kesembilan anak-anak muda yang ada di antara mereka berasal daripada Jepun dan tanah besar China, telah menunjukkan persembahan yang tidak kurang hebat jika ingin dibandingkan persembahan daripada senior mereka sebelum ini walaupun mereka baru sahaja tiba di Kuala Lumpur pada petang yang sama. Empat (4) buah lagu yang mereka persembahkan adalah Fire Truck, Once Again, Good Thing dan Limitless. Ini merupakan kunjungan pertama mereka ke Kuala Lumpur dan mereka cukup terharu dengan sambutan hangat yang diberikan oleh peminat-peminat.

View post on imgur.com


Persembahan akhir bagi konsert ini adalah daripada salah seorang dari kumpulan idola Super Junior, yang terkenal dengan nama pentas Yesung yang bermaksud ‘Art of Voice’. Yesung dengan nama sebenar beliau, Kim Jongwoon, telah memberikan persembahan yang indah dan bertenaga walaupun cuma bergerak secara solo di atas pentas tanpa kehadiran ahli-ahli kumpulan yang lain. Lagu pertama yang didendangkan adalah lagu runut bunyi yang cukup popular dari drama Cinderella’s Sister, It Has To Be You, yang telah mengangkat beliau sebagai salah seorang daripada kumpulan idola yang berjaya dalam membawa lagu untuk runut bunyi. Persembahan beliau diteruskan dengan lagu-lagu daripada album solo beliau, Here I Am, Fly dan Paper Umbrella. Sebagai seorang penghibur yang telah bertapak di Korea selama lebih 10 tahun, fan-services yang diberikan oleh beliau cukup terbaik dan memberikan kenangan yang amat manis kepada peminat-peminat setelah hampir empat tahun tidak bertemu dengan peminat-peminat di Malaysia.

View post on imgur.com


Persembahan ketiga-tiga artis daripada Korea ini diiringi dengan sesi memperkenalkan diri kepada peminat yang hadir. Kesemua mereka memberikan pandangan dan berkongsi pengalaman sendiri berkenaan tempat-tempat menarik yang wajib dilawati sekiranya berkunjung ke Korea. Di antara tempat-tempat yang menarik yang mereka sebut dan cadangkan adalah Itaewon, Namsan, Myeongdong dan banyak lagi. Konsert diakhiri dengan sesi swafoto di antara Naib Datuk Bandar, tetamu kehormat YM Sultanah Hajah Kalsom dan anakanda tuanku serta Yesung dengan berlatar belakangkan seisi dewan KLCC yang hadir. Majlis berakhir sepenuhnya pada jam 9.05 malam.

Komentar

comments

You may also like...