JI Chang-wook ke Malaysia untuk Tayangan Perdana Filem “Fabricated City”

Masih tidak percaya dengan apa yang anda baca? Pencuri hati ramai wanita di luar sana, aktor JI Chang-wook buat pertama kalinya akan berada di Malaysia bagi membincangkan filem terbaru beliau, “Fabricated City” pada 8 April 2017 ini! Filem ini dipersembahkan oleh tvN Movies, satu-satunya saluran filem Korea hebat di dunia yang telah dilancarkan di Malaysia melalui HyppTV (CH 222) pada 1 April 2017 yang lepas.

Sinopsis Filem

Diarahkan oleh pengarah tersohor, PARK Kwang-hyun, filem “Fabricated City” mengisahkan tentang seorang pemain permainan video tegar bernama Kwon Yu (JI Chang-wook) yang banyak menghabiskan masanya di sebuah kafe siber dek kerana keruncingan masalah pengangguran. Kwon pada asalnya merupakan seorang ahli Taekwondo kebangsaan namun disingkirkan kerana mengasari rakan sepasukannya. Hidup Kwon sekelip mata berubah apabila dia tiba-tiba ditahan dan berdepan hukuman penjara seumur hidup atas tuduhan membuat serangan seksual serta membunuh seorang gadis bawah umur yang dikatakan berlaku selepas Kwon memulangkan sebuah telefon bimbit terbiar kepada seorang pemanggil misteri. Dengan bantuan teman alam mayanya, Kwon dan rakan-rakannya merungkai konspirasi sebuah organisasi misteri dalam usaha untuk membebaskan dirinya daripada tuduhan jenayah itu. Filem ini turut dibintangi oleh AN Jae-hong (Reply 1988) dan SHIM Eun-kyung (Miss Granny, Tomorrow Cantabile).

Pengarah Puji Keupayaan JI Chang-wook

Pengarah PARK, yang sebelum ini mengarahkan filem hit ‘Welcome to Dongmakgol’ pada tahun 2005, memuji keupayaan pelakon drama hangat “The K2” (2016) dan “Healer” (2014) ini:

“JI Chang-wook berjaya memahami dan mempersembahkan lakonan serta babak aksi yang meyakinkan. Daripada melakonkan watak seorang lelaki yang kuat sehinggalah kepada seorang yang nampak lemah, spektrum lakonan beliau sangat luas”.

Filem “Fabricated City” ini juga merupakan filem debut pertama JI sebagai pelakon utama di layar perak selepas sebelum ini banyak membintangi drama-drama popular. JI akan berada di Kuala Lumpur bagi menjayakan tayangan perdana filem “Fabricated City” ini yang dijadualkan pada 8 April 2017 di GSC Cinemas, Pavillion Kuala Lumpur. Pihak media dan tetamu jemputan, termasuklah KMania sendiri akan berpeluang untuk bertemu dan berinteraksi dengan pelakon popular ini semasa sidang media dan tayangan perdana yang akan diadakan pada hari yang sama.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan wajah kacak JI Chang-wook dan aksi lasak penuh mendebarkan dalam filem “Fabricated City” yang akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 20 April 2017!

Komentar

comments

You may also like...