/Drama Kriminal – Signal Mendominasi Kemenangan 5th CARI Kdrama Awards manakala Decendants Of The Sun dan Jealousy Incarnate Masing-masing Pungut Anugerah Popular Terbanyak

Drama Kriminal – Signal Mendominasi Kemenangan 5th CARI Kdrama Awards manakala Decendants Of The Sun dan Jealousy Incarnate Masing-masing Pungut Anugerah Popular Terbanyak

Pada Sabtu, 14 Januari 2017 akhirnya berlabuhlah tirai Anugerah K Drama Cari yang merupakan kali  kelima dianjurkan oleh Cari Forum dan yang pertama dianjurkan oleh Kelab Pengkritik dan Peminat Korea (KMania) sejak diperkenalkan pada tahun 2012. Setiap pencalonan yang dipilih adalah berdasarkan daripada ulasan drama yang dihantar oleh forumer CARI. Biasanya, selepas drama selesai, Majlis Pengkritik K Drama  Malaysia  diminta memberi ulasan kritikal dan panjang. Proses analisis yang telah dilakukan secara kritis tanpa sebarang prejudis atau berat sebelah yang mempengaruhi populariti atau impak sesebuah drama. Kami mengambil semua ulasan kdrama daripada tiga penyiar utama – KBS, SBS & MBC dan saluran kabel – TVN, JTBC, OCN. Manakala bagi kategori populariti, kami telah membuka proses pengundian supaya mereka boleh memilih kegemaran mereka.

Drama bergenre kriminal – Signal akhirnya dinobatkan sebagai Drama Of The Year di Majlis Anugerah K Drama CARI 2016 selain  memenangi enam daripada  8 pencalonan dalam 12 anugerah bagi kategori terbaik. Drama yang disiarkan disaluran kabel TVN sebanyak 16 episode telah berjaya mengenepikan pesaingnya seperti Age Of Youth, Beautiful Mind, Decendants Of The Sun, Shopping King Louie, Jealousy Incarnate, Another Oh Hae Young, Reply 1988 dan The Good Wife . Apa yang mengejutkan, Signal juga berjaya memenangi kategori Favorite drama setelah mengalahkan Decendants Of The Sun, Jealousy Incarnate, Another Oh Hae Young dan W-Two Worlds.

Drama Decendants Of The Sun dan Jealousy Incarnate masing-masing berjaya mengaut Anugerah Popular terbanyak bagi tahun 2016. Keputusan kali ini bagaimanapun dilihat berbeza penuh warna-warni kerana penggemar drama korea kini semakin matang dalam aspek pemilihan antara kualiti dan populariti.

[tvN] Signal yang dibintangi oleh Jo Jin Woong, Lee Je Hoon, Kim Hye Soo, Jang Hyun Sung, Jung Hae Kyun ini dinobatkan Drama of The Year, di samping memenangi Best Director, Best Screenplay, Best Actor, Best Ensemble Casts dan Best Original Score.

Drama Signal merupakan sebuah kisah penyiasatan yang mengambil inspirasi daripada kes-kes kriminal yang popular di South Korea terutamanya ‘cold case’ yang disadurkan dalam bentuk naratif yang tampak ‘unbelievable’ atau fantasi tetapi masih kekal realistik dan mengagumkan. ‘Unbelievable’ disini membawa maksud masa lalu dan masa kini disambungkan melalui sebuah walkie-talkie yang lama. ‘Cold case’ bermakna jenayah yang bertahun lamanya akan tetapi penjahat sebenar tidak dapat ditangkap /dakwa. Drama ini juga merupakan sebuah drama yang penuh emosi dan meninggalkan kesan yang mendalam dipengakhiran  cerita. Drama ini bekerja keras untuk menjadikan setiap plotline dan ruang-ruang kelihatan realistik sebaik yang mungkin,dan tidak pernah memberi peluang untuk anda berfikir yang lain. Selain dari karya dan pengarahan yang hebat, apa yang membuatkan drama ini nampak hebat adalah dari segi kekuatan para pelakonnya sehingga melayakkan drama ini meraih Best Actor menerusi lakonan mantap Jo Jin Woong.

Manakala bagi PD’s Awards For The Best Ensemble Cast pemenang kategori ini berkongsi kedudukan di antara dua buah drama yang menampilkan kredibiliti pelakon yang begitu cemerlang dan memberi impak kepada drama tersebut. Kategori ini turut dimenangi oleh Signal dan juga Reply 1988 yang menampilkan Park Bo Gum, Hye Ri, Sung Dong Il, Ryu Jun Hyeol, Choi Moo sung, Kim Sung Kyun, Ra Mi Ran, Ryu Hye Young.

Kategori Best Supporting Actor menampilkan kejutan apabila Nam Goong Min yang melakonkan Nam Gyun Man, seorang yang panas baran dan juga tak berperikemanusiaan dinobatkan sebagai pemenang menewaskan Kim Eui Sung (W) , Jin Goo (Descendants of The Sun) dan lain-lain. Ini kemenangan pertama beliau menerusi pencalonan kedua dalam kategori ini.

Lakonan hebat dan meyakinkan Jeon Do Yeon ( The Good Wife) telah melayakkan beliau memenangi anugerah Best Actress. Pelakon hebat Ra Mi Ran pula berjaya memenangi Best Supporting Actress menerusi Reply 1988.  Kategori Best Cinematography pula dirangkul oleh Moon Lovers : Scarlet Heart Ryeo setelah mendapat kritikan positif secara keseluruhan .

Untuk kategori komposisi runut-runut bunyi, Yoon Mirae – Always  (Decendants Of The Sun) dianugerahkan pemenang Song of The Year yang juga membawa pulang Best Album Production untuk drama yang sama. Hampir kesemua runut-runut lagu yang dimuatkan ke dalam drama berkenaan berjaya meraih posisi terbaik dalam carta Gaon dan Billboard Kpop Hot 100.

Untuk kategori popular, seperti katakan Decendants Of The Sun dan Jealousy Incarnate berjaya mengungguli kategori terbaik.

Kategori Favorite Lengthy Drama dimenangi oleh Six Flying Dragons. Drama yang berkisarkan sejarah ini mempunyai 50 episodes dan dibintangi pelakon handalan seperti Yoon Ah In berjaya memikat hati pengundi untuk melayakkan mereka menang kategori tersebut.  Uncontrollably Fond dipilih sebagai drama terburuk (Worst Overrated Drama) kerana naratif yang dikatakan hancur dan  kurang keserasian yang dibawa kedua-dua pelakon utama selain mendapat banyak kritikan negatif.

Gong Hyo Jin sekali lagi memenangi Popular Actress setelah 4 kali berturut-turut tercalon sejak 2nd Cari Kdrama Awards. Kali pertama, beliau memenanginya menerusi Master’s Sun.

Sesuatu yang luar biasa apabila watak sebagai Putera Wang So dalam  Moon Lovers:Scarlett Heart Ryeo telah melayakkan Lee Jun Ki memenangi Popular Actor sekaligus menewaskan pencabar terdekat, Jo Jung Suk dan Song Joong Ki.

Sekali lagi lakonan hebat Jo Jin Woong (Signal) dan Ra Mi Ran (Reply 1988, Come Back Mister) memastikan kemenangan mereka bagi kategori Popular Ahjussi dan Popular Ahjumma. Bagi kategori Popular Rookie Actor dan Actress dimenangi oleh Nam Joo Hyuk (Moon Lovers:Scarlett Heart Ryeo, Cheese In The Trap) dan Kim Go Eun (Cheese In The Trap). Drama mereka yang masih lagi bersiaran (Weightlifting Fairy Kim Bok Joo dan Goblin) membantu sedikit sebanyak kemenangan mereka. Popular Child Actor dan Actress pula dimenangi oleh adik Seol Woo Young (Jealousy Incarnate)  serta adik Heo Jung Eun(Moonlight Drawn By A Clouds). Walaupun masih muda, tapi mereka tetap mempamerkan lakonan yang baik. Siapa sangka momen ‘kissing’ yang penuh dengan hawa nafsu di bilik persalinan melayakkan Jealousy Incarnate memenangi kategori Best Kissing Scene. Pasti ramai yang menyukai momen tersebut.

Pasangan “Song Song” merupakan singkatan bagi Song Joong Ki dan Song Hye Gyo telah berjaya meraih Couple of The Year menumpaskan pesaing-pesaing yang lain menerusi drama hit mereka, Descendants of The Sun.

Walaupun gagal memenangi kategori utama, drama No.1 Korea yang telah disiarkan di 27 negara iaitu Decendants Of The Sun berjaya memenangi empat anugerah. Seperti yang telah dijangka dua Songs (Song Joong Ki dan Song Hye Kyo) berjaya merangkul anugerah Couple Of The Year dengan mengenepikan pesaing terdekat Jo Jong Suk dan Gong Hyo Jin.  Keserasian dua Songs juga melayakkan mereka memenangi Best Memorable Scene . Pasti penggemar drama ini masih ingat momen Broadcast Confession kerana ianya berkaitan pengakuan serta luahan cinta Dr.Kang terhadap Kapten Yoo Shi Jin yang penuh emosi melalui rakaman suara telefon bimbit Dr. Kang yang dipancarkan melalui pembesar suara . Pengundi juga telah memilih drama ini untuk memenangi kategori Drama Poster Choice. Poster yang agak simple tapi punyai mesej tersirat yang ingin disampaikan.

Kejayaan besar Signal dalam anugerah kali ini seperti memberi sedikit warna kepada dunia kdrama. Seolah penggemar kini sudah lebih terbuka dalam soal pemilihan drama yang ingin ditontoni.  Semoga keputusan anugerah ini dapat dijadikan panduan pada anda yang masih lagi mencari drama yang ingin ditontoni sepanjang tahun lalu. Teruskan menyokong kdrama kerana banyak drama menanti untuk tahun 2017 ini.

5th CARI Kdrama Awards disiarkan secara rasmi di laman Forum CARI Infonet. Untuk keputusan penuh sila klik DI SINI dan jika anda membaca ulasan drama yang telah dihantar oleh forumer CARI anda juga boleh klik link ini.

Komentar

comments